Sunday, October 24, 2010

Hayati lah transformasi UMNO

TEKAD berjuang habis-habisan oleh segenap lapisan ahli dan kepemimpinan UMNO untuk mempertahankan Putrajaya dizahirkan pada segmen akhir Perhimpunan Agung UMNO Ke-61, semalam. Itulah permata dan jiwa bangsa Melayu yang perlu dipertahankan.

Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) menyaksikan ikrar mereka yang kental dan menyedari usaha parti pembangkang untuk menduduki Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan yang dibangunkan Barisan Nasional (BN) itu, perlu dihalang dengan apa juga.

“Putrajaya mesti kita pertahankan!” demikian kenyataan tegas Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak, ketika menggulung perbahasan pada perhimpunan itu.

Mempertahankan Putrajaya membawa beberapa simbolik, mesej dan tindakan segera. Antaranya, pusat pentadbiran itu adalah simbol kekuasaan politik Melayu dan bukti kemajuan yang mampu dibawa oleh parti.

Putrajaya adalah maruah UMNO dan Melayu, bukti perpaduan rakyat yang mendukung BN serta simbol dinamik dan majunya masyarakat majmuk yang mengizinkan kemakmuran, sekali gus menjadi pemangkin pembangunan.

Namun setakat laungan dan tekad tidak cukup untuk mempertahankan Putrajaya. Lantas Najib menggariskan tujuh perkara yang mesti dilakukan UMNO untuk tindakan serta-merta. Ia adalah:

1. memastikan kepentingan dan maruah parti daripada peribadi

2. mengelakkan wujud kumpulan dalam parti tetapi bertindak sebagai satu pasukan

3. memenangi hati dan pemikiran rakyat

4. menjuarai media baru

5. mensasarkan empat juta pengundi muda yang belum mendaftar supaya memihak kepada BN

6. UMNO menuju sifar masalah dan

7. UMNO mesti mendahulukan rakyat.

Tujuh tindakan itu adalah fasa ketiga transformasi UMNO iaitu fasa melaksanakan gerak kerja untuk memulihkan parti, mengembalikan keyakinan dan sokongan rakyat serta menggenggam kemenangan besar dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 akan datang.

Fasa pertama transformasi UMNO ialah keberanian mengakui kelemahan; dan kedua, tuntutan melakukan muhasabah diri dan mencari penawar mujarab. Kedua-dua fasa ini sudah bermula dengan pindaan Perlembagaan UMNO tahun lalu yang turut menjadi sejarah besar dan terpenting parti.

Najib turut mengulangi ketegasan dan jaminan bahawa hal Melayu dan bukan Melayu terkunci dan tersimpul mati dalam perlindungan Perlembagaan.

Menggambarkan tekad UMNO, beliau memberi gambaran bahawa hak Melayu tidak akan berubah biarpun langit pecah berkecai dan UMNO akan bermati-matian mempertahankan masa depan bangsa itu. UMNO akan memastikan agenda Melayu tercapai.

Pada masa sama, Najib turut tegas dalam soal keadilan sosial apabila berkata bahawa adalah tidak adil jika majoriti rakyat negara ini memilik ekuiti yang sedikit, tetapi minoriti menguasai bahagian yang besar.

Mesej ini perlu direnung kaum minoriti yang menikmati kemakmuran juga atas sokongan dan sikap baik UMNO selama ini.

Di sebalik semua komitmen dan tekad ini, UMNO perlu berani mengatakan kepada rakyat bahawa kemajuan dan kemakmuran yang dinikmati rakyat adalah hasil perjuangan UMNO. Andai tidak ada keberanian untuk menyatakan hakikat itu, maka jadilah apa yang berlaku sekarang apabila parti pembangkang berjaya menukar minda sebahagian rakyat bahawa UMNO bukan lagi pejuang rakyat.

No comments:

Post a Comment