Sunday, April 18, 2010

PRK Hulu Selangor: BN Berdepan Dengan Kerajaan Pakatan Negeri Selangor: Muhyiddin

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada hari Sabtu mengarahkan jentera Barisan Nasional bagi Pilihan Raya Kecil Parlimen kerusi Hulu Selangor bekerja lebih keras kerana pertembungan kali ini bukan sesuatu yang mudah.

Beliau yang juga Timbalan Pengerusi BN berkata, pertembungan itu juga diumpamakan seperti mendaki bukit kerana BN bakal berdepan dengan lawan yang menguasai kerajaan negeri.

"Kita perlu baca sikap pengundi, laporkan situasinya setiap hari. Dalam tempoh 'peperangan' lapan hari ini kita perlu satu sikap yang tegas kerana kita tahu bakal berhadapan dengan kekuatan yang dianggap sebagai tugas mencabar di mana lawan kita yang menguasai kerajaan negeri akan menggunakan segala cara untuk mengekalkan kemenangan di sini.

"Kita berhadapan dengan satu keadaan seperti mendaki bukit. Jadi kita tidak boleh bermain-main dalam setiap gerak kerja yang dijalankan. Kita perlu selaraskan tugasan agar setiap langkah yang dibuat akan berkesan, jangan membuang masa, boleh berbual tetapi hasilnya mestilah memberi kesan kepada parti," katanya dalam ucapan sulungnya memperkenalkan P. Kamalanathan kepada jentera parti selepas pengumuman calon di markas mini BN Kuala Kubu Baru di sini.

Hadir sama Pengarah Pilihan Raya Hulu Selangor Datuk Seri Noh Omar, Presiden MIC Datuk Seri S. Samy Vellu dan beberapa pemimpin komponen BN yang lain.

Sehubungan itu, Muhyiddin berkata, BN memerlukan satu gerakan yang berstrategik bagi memastikan segala langkah yang dibuat dapat menawan hati seluruh pengundi di Hulu Selangor.

Beliau juga mengingatkan jentera parti bahawa dalam mana-mana pilihan raya, pengundi adalah raja kerana apa yang diputuskan mereka akan memberi makna kepada parti-parti yang bertanding.

Untuk itu, katanya, jentera parti perlulah pandai membawa diri untuk memujuk dan memastikan setiap pengundi mengundi memenangkan calon BN.

"Menjadi satu kewajipan dan tanggungjawab yang perlu digalas oleh setiap kita untuk memastikan setiap pengundi yang ada di Hulu Selangor menyokong, memangkah dan mengundi calon BN.

"Ertinya setiap strategi kita perlu ditumpukan untuk menawan hati setiap pengundi tanpa kira, Melayu, Cina, India ataupun orang Asli. Tanggungjawab kita adalah untuk pastikan hati mereka tertawan untuk menyokong calon kita," katanya.

Beliau berkata, jentera parti juga tidak boleh lagi memandang ke belakang sebaliknya perlu kekal fokus kerana BN mempunyai isu yang mencukupi untuk menangkis setiap serangan yang akan dilakukan pembangkang.

Katanya, beliau yakin dalam tempoh berkempen ini pakatan pembangkang, khususnya Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim akan membuat pelbagai pendedahan yang selalunya diputar belit bagi meraih sokongan selain mengalih tumpuan terhadap permasalahan yang dihadapi parti itu.

"Waktu kita berperang dalam tempoh lapan hari ini akan timbul pelbagai cerita dan dakwaan (terhadap kerajaan) yang kebanyakannya lebih kepada perkara buruk. Jadi saya mahu setiap jentera jangan pandang ke belakang. Saya tahu di pihak sana BN mempunyai bahan-bahan yang boleh digunakan untuk mematahkan isu yang dikemukakan,"katanya.

Muhyiddin juga mengingatkan jentera BN agar menjaga hubungan sesama anggota komponen kerana dalam tempoh pilihan raya ini akan timbul pelbagai spekulasi negatif yang boleh menimbulkan suasana tertekan sesama anggota parti.

"Anggaplah itu perkara biasa bagi sebuah pilihan raya. Dalam keaadan ini kita perlulah bekerja siang dan malam sebagai satu pasukan sehingga selesai tugas, iaitu apabila diumumkan pada malam 25 April ini bahawa calon BN menang dengan cemerlang,"katanya.

Pilihan raya kecil yang diadakan berikutan kematian penyandangnya Datuk Dr Zainal Abidin Ahmad dari PKR pada 25 Mac lalu menyaksikan pertandingan empat penjuru antara calon BN yang juga Ketua Penerangan MIC Pusat P. Kamalanathan, bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Zaid Ibrahim dari PKR, bekas Naib Pengerusi MIC Hulu Selangor V.S Chandran dan Johan Mohd Diah, seorang AJK Pemuda Umno Bahagian Shah Alam.

No comments:

Post a Comment