Friday, April 16, 2010

Implikasi Ditolaknya G Pananivel Sebagai Calon BN

September tahun lepas ketika Samy Vellu dipilih semula sebagai presiden MIC, dia berjanji akan melepaskan jawatan presiden sebelum PRU-13 untuk membolehkan Timbalannya mengemudi sebagai peneraju MIC bagi menghadapi pilihanraya umum.

Namun berasaskan perkembangan semasa, terutama isu pemilihan calon bagi mewakili MIC bagi menghadapi PRK Hulu Selangor, walaupun nama Timbalan Presiden MIC sejak awal-awal lagi dicadangkan oleh Samy Vellu sebagai calon tunggal MIC, namun reaksi akar umbi dan para pemimpin MIC dan komponen BN terutama Umno menggambarkan, bahawa Timbalan Presdien MIC itu telah kehilangan sokongan ekoran kekalahannya pada PRU-12 lalu dan rekodnya yang kurang menyerlah semasa menjadi wakil rakyat walaupun mencapai 4 penggal.

Berdasarkan perkembangan terkini, implikasi kepada penolakkan G Palanivel berakibat kepada plan perubahan kepimpinan MIC sebelum PRU-13 akan menjadi status quo.

Dalam politik adalah terlalu sukar bagi seseorang yang telah ditolak terutama penolakkan oleh akar umbi untuk kembali semula. G Palanivel selain ditolak oleh akar umbi, dia juga secara tidak langsung ditolak oleh kepimpinan BN. Selain itu, G Palanivel tidak mempunyai kawasan lagi.

Jika P Kamalanathan menang pada 25 April ini, maka buku G Palanivel sebenarnya sudah tertutup.

Dalam perkembangan lain, P Kamalanathan yang telah diumumkan oleh Timbalan Perdana Menteri sebagai calon BN bagi PRK Hulu Selangor berjanji akan berusaha sedaya upaya untuk mengembalikan kerusi parlimen itu kepada BN, dan menjadikan kejayaan itu sebagai hadiah MIC kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

"Calon kali ini bukan calon BN sahaja tetapi calon 1Malaysia. Kita berpegang teguh kepada konsep 1Malaysia ini dan akan memperkukuhkan konsep ini di Hulu Selangor," katanya kepada pemberita di Hulu Selangor.

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini mengumumkan Kamalanathan, 44, yang juga Ketua Penerangan MIC dan Penyelaras Nasional bagi pergerakan Putera MIC, sebagai calon BN untuk pilihan raya kecil bagi kerusi parlimen itu yang akan diadakan pada 25 April ini.

Sambil berjanji tidak akan mengecewakan BN, beliau turut mengucapkan terima kasih kepada Najib, Muhyiddin, dan semua ketua-ketua parti komponen BN di atas kepercayaan penuh yang diberikan mereka.

"Perjuangan BN biasanya kalau nak bersihkan sungai, dimulakan dari hulu. Kita mulakan dari Hulu Selangor ini untuk membersihkan Selangor," katanya.

Kamalanathan, atau dikenali lebih mesra dengan panggilan Kamal, bukanlah muka baru dalam politik, di mana blogger aktif itu menyertai MIC sejak 25 tahun lalu.

Beliau dicalonkan bagi merebut kerusi parlimen Hulu Selangor, yang pernah dimenangi oleh Timbalan Presiden MIC Datuk G. Palanivel yang menjadi Anggota Parlimen kawasan itu selama empat penggal, iaitu dari 1990 hingga 2008, sebelum kalah pada pilihan raya umum Mac 2008.

Kamalanathan yang mengendalikan blog http://www.pkamalanathan.com/ pernah berkhidmat sebagai Pegawai Perhubungan Awam di Majlis Penggalakan Minyak Sawit Malaysia (Mpoc) sebelum menyertai syarikat Serba Wangi Sdn Bhd (JATI),(anak syarikat Bernas) pada 2001.

Pada tahun 2004, beliau diberi penghormatan oleh Institut Perhubungan Awam Malaysia yang memberi pengiktiradan terhadap usahanya membangunkan "Majlis Pelbagai Kaum Terbaik di Malaysia bagi tahun 2004".

Kamalanathan dilantik sebagai ketua penerangan MIC pada perhimpunan agung parti itu September lepas sebagai sebahagian daripada langkah presiden parti Datuk Seri S. Samy Vellu untuk mengukuhkan parti.

Beliau yang berkahwin dengan S.Shobana, seorang pengurus kanan perhubungan awam sebuah hospital swasta, memulakan kariernya sebagai kerani di Associated Pan Malaysia Cement Sdn Bhd pada 1985 sebelum menjadi pegawai perhubungan awam dengan MPOPC selama enam tahun.

Beliau juga pernah bertugas sebagai pengurus perhubungan awam bagi syarikat Carotino dan lain-lain syarikat milik kerajaan.

Beliau memiliki sijil dalam bidang perhubungan awam dari London Chambers of Commerce and Industry in England dan juga diploma dalam bindang penterjemahan (Dewan Bahasa dan Pustaka), dan Ijazah Sarjana Muda dalam Perhubungan Awam.

Kamalanathan juga merupakan Anggota Majlis Perbandaran Selayang dari 2004 hingga 2006.

Baru-baru ini beliau menghasilkan sebuah dokumentari yang bertajuk 'The Truth' untuk RTM yang memaparkan kejayaan dan pencapaian komuniti India di Malaysia.

No comments:

Post a Comment