Friday, May 30, 2025

ASAS RUNDINGAN KERJASAMA: GRS-PH DAN PH-BN:

DI atas meja, asas rundingan yang dipegang GRS adalah tidak mengusik status quo, iaitu kerusi yang disandang masing-masing parti dikekalkan.

Status quo sangat jelas, intimnya kerjasama antara parti-parti tempatan dan nasional atau dengan pengertian luas hubungan antara negeri dan Persekutuan.

Sebelum DUN Sabah dibubar, kedudukan parti-parti adalah GRS 38/73; Parti Warisan 16/73; BN 10/73; PH 7/73 dan KDM 2/73.

Oleh kerana Parti Warisan dan KDM diluar liputan kerjasama, maka di atas meja, kedudukan kerusi-kerusi adalah GRS 38/73; TANPA PEMILIK 18/73; BN 10/73 dan PH 7/73.

Jika semua pihak mengikut saranan PMX, maka jika kerjasama GRS-PH dan PH-BN dapat direalisasikan, maka agihan kerusi di 38/73; 10/73 dan 7/73 atau 55/73 kekal, dan  pembahagian kerusi hanya di 18/73.

Akan tetapi, secara praktikal, bentuk agihan tersebut sukar dilaksana, jika masing-masing parti mengekalkan jumlah kerusi yang ditandingi.

Untuk sementara, berdasarkan laporan masing-masing parti telah mengumumkan jumlah kerusi yang ditandingi, iaitu GRS 50/73; BN 40/73; PKR 13/73; UPKO 10/73; DAP 10/73 dan Amanah 4/73.

Apa yang penulis nampak, “at the end of day” perkara utama yang diputuskan oleh masing-masing parti, adalah mempertahankan status quo. Apabila keputusan sedemikian berlaku, maka penulis melihat GRS tidak akan berganjak dengan kerusi-kerusi yang disandang, iaitu 38/73, ertinya baki 35/73 selepas ditolak kerusi PH 7/73, kerusi-kerusi yang dirundingkan adalah 28/73.

Jika GRS berhasrat juga bertanding 50/73, maka 16/28 ditandingi rakan kerjasama. Jika berpandukan pada niat asal, dalam konteks mempertahankan status quo parti-parti yang menerajui kerajaan negeri, 23 kerusi ditandingi PH. Dengan 23 kerusi, maka tambahan kerusi PH meningkat 228.57%, berbanding GRS 31.58%.

Melihat kehendak masing-masing untuk mendapat “portion” besar, benar lah, kemungkinan berlaku pertandingan terbuka, ertinya memberikan PELUANG kepada 1.7 juta pengundi Sabah untuk membuat pilihan.

Penulis cenderung, supaya rakyat Sabah memberi pilihan, berbanding dicaturkan oleh pemimpin. Kerusi adalah milik rakyat, bukannya parti.

Setiap parti perlu akur dengan kata kiasan, jika batu tenggelam, jika sabut timbul, kerana apapun diputuskan parti tidak semestinya selari dengan keputusan rakyat.

PRN-17 Sabah pada pandangan penulis, adalah referendum sentimen parti tempatan dan nasional, apa tah lagi, sejak akhir-akhirnya adanya kecenderungan “menakluk” Sabah, kerana pemimpin nasional akan berkampung di Sabah semasa PRN-17, untuk mempengaruhi rakyat untuk terus berpecah.

No comments:

Post a Comment