Friday, February 09, 2024

JAWATAN POLITIK MEMPERMUDAH URUSAN

HAKIKATNYA jawatan politik adalah jawatan memendekan urusan birokrasi.

Jika jawatan politik sama seperti jawatan awam yang bergantung skim perkhidmatan atau peraturan perkhidmatan, maka serahkan semua urusan pada penjawat awam.

Apa yang dilarang berkaitan jawatan politik, apabila tindakan/keputusan ada unsur pilih kasih, ada unsur kepentingan peribadi, sebaliknya jika kepentingan awam atau umum, maka ianya diperlukan, kerana dengan cara demikian, masalah dapat diselesaikan dalam masa segera.

Mereka yang berjawatan politik mempunyai tanggungjawab umum termasuklah pada rakan dan penyokong tidak berjawatan, kerana tanpa dokongan mereka itu, seseorang pemimpin yang berjawatan tidak akan mendapat jawatan itu.

Sesuatu jawatan terhad jumlahnya, kerana itu untuk suatu jawatan penting atau utama hanya seorang yang dilantik.

Mereka yang diberi peluang, perlu ingat, jawatan itu bukan jawatan sendirian berhad, apatah lagi menganggap jawatan yang diduduki atas merit/kapasiti peribadi.

Pemimpin politik terutama mereka yang berstatus wakil rakyat kena ingat, tanpa dokongan pemimpin lain atau pendokong tidak akan kemana, atas sebab itu, mereka yang menjadi punca wakil rakyat itu menjadi wakil rakyat kena mengiktiraf punca itu sebagai keluarga politik.

Demikian juga untuk tujuan pembentukan kerajaan, diperlukan sekumpulan wakil rakyat yang mana jumlah mereka lebih ramai berbanding kumpulan lain atau dalam istilah kerusi mempunyai jumlah majoriti mudah, untuk membolehkan membentuk kerajaan.

Apa ertinya keadaan ini? setiap wakil rakyat memerlukan sokongan satu sama lain secara kolektif, atau dengan kata lain, wakil rakyat kuat di kawasan sendiri, akan tetapi kawan di kawasan lain lemah dan gagal menterjemahkan sebagai kerusi, maka tiada makna menang 100 peratus undi di kawasan sendiri, akan tetapi tidak menjadi kerajaan.

Atas sebab itu, mana-mana wakil rakyat diberi tanggungjawab jawatan politik mempunyai tanggungjawab moral terhadap wakil rakyat separti yang hanya “backbencer” termasuk bertanggungjawab dengan pendokong/penyokong di kawasan-kawasan yang diwakili “backbencer” tersebut.

Hakikat yang perlu dihadam, mereka yang dilantik ke jawatan politik mewakili pemimpin separti dan penyokong untuk mempermudah membantu/membela mereka yang tidak berpeluang termasuk rakyat secara umum tanpa melihat fahaman politik.

Apa yang menyebabkan pemimpin politik berjawatan membawa sama parti yang mereka wakili ditolak rakyat, kerana berpunca daripada pemimpin dan penyokong yang mereka lupa, atas sebab itu, apabila tiba pilihan raya, mereka yang dilupakan itu menghukum parti.

Penulis yakin, semua pemimpin sedar akan keadaan ini, kerana di Sabah bukan sekali parti yang menerajui kerajaan berganti.

Kadangkala tidak dapat diterima kekalahan sesebuah parti kerajaan apabila menghadapi pilihan lengkap dengan trek rekod, berbanding parti lawan yang hanya berbekalkan air liur, malah punca kekalahan itu adalah pemimpin berjawatan atau berkedudukan gagal mempertahankan kerusi.

PRU14 menyaksikan bukan sedikit pemimpin berkedudukan kalah, dan yang menyedihkan kalah pada calon yang tidak bernama.

Jangan berulang, Ketua Menteri, Timbalan Ketua Menteri, Menteri kalah dalam pilihan raya.

Atas asas apa penulis membangkitkan isu berkaitan pemimpin politik yang berjawatan? kerana melihat perbuatan itu berlaku pada segelintir pemimpin yang berubah dengan drastik sekali berbanding sebelum mendapat kedudukan.

Perbuatan mereka itu boleh mengundang padah, kerana kesan seekor kerbau membawa lumpur semua terpalit.

Sebelum terlambat, mengingat PRN17 berbaki satu setengah tahun lagi, mereka yang terkait itu kena berubah, kembali pada garis di mana bermula, kerana pada titik itu lah punca jawatan diperolehi. Fikir-Fikirkan.

No comments:

Post a Comment