Wednesday, September 06, 2023

SELEPAS KES ZAHID KINI KES BERAS PUTIH PULA

RUPANYA harga beras sangat anjal, belum pun apa-apa harga mula naik. Ada yang kata, hanya harga beras putih import yang naik, beras tempatan tidak. Rupanya harga beras tempatan pun ikut naik bukan calang-calang lebih 30%.

Kalau melihat paparan media sosial kilang-kilang membungkus, seperti ular tukar kulit, kerana menggantikan bungkusan kerana menukar harga.

Untuk bungkusan yang tidak dicetak harga, kekal dengan bungkusan yang sama.

Penulis petang tadi membeli 5kg AAA harga sejak tahun lepas RM25, tapi petang tadi (maksudnya petang semalam) RM36 (harga reaksi segera),naik RM9 (36%) atau RM7.20/kg daripada RM5/kg.

Bagi penulis 5kg beras boleh dimakan selama 14 hari, ertinya hanya RM2.57/hari, jauh lebih murah berbanding sepinggan nasi di kedai makan di sekitar Taman tinggal penulis yang berharga RM3, itupun bukan beras jenis AAA akan tetapi beras tempatan.

Begitu pantasnya kesan kenaikkan beras (tersangat anjal) harga ayam penyet minggu lepas di restoran kecil yang biasa penulis langgan, naik daripada RM8 ke RM10. Untuk nasi putih penulis belum semak, apa kah kekal dengan RM3 sepinggan atau juga turut naik harga.

Bagi penulis semahal mana pun harga beras tidak lah membebankan kerana menu berkaitan beras sangat minumum. Yang membebankan adalah harga roti berserta partnernya, sayur mayur, lauk pauk terutama ikan.

Pun demikian, oleh kerana beras adalah makan ruji rakyat negara ini, kenaikkan tidak terkawal boleh menyebabkan keresahan rakyat. Ada yang kata makan ubi, sedangkan ubi lebih mahal berbanding beras. Mungkin mereka tidak sedar harga sekilogram ubi antara RM10-15, kalau dinisbahkan dengan harga beras jauh lebih mahal berbanding beras wangi AAA.

Kalau mendengar jaminan pemimpin utama negara, bagaikan putus urat leher menegaskan harga beras putih tempatan tidak akan naik, yang naik beras putih import. Akan tetapi, seperti biasa di negara ini, mengambil keuntungan daripada stok lama adalah keuntungan yang jarang-jarang diperolehi, maka diambil peluang semaksimum mungkin.

Biasa stok penimbal beras import boleh mencukupi untuk 3 bulan, ertinya beras import yang ada di pasaran sekarang adalah stok lama, bukan stok baharu yang lebih mahal. Akan tetapi, yang naik harga itu adalah beras import,mengapa kah harga tempatan turut naik? Ertinya antara beras tempatan dan beras import bukan barang pengganti, melainkan barang komplimen, yang mempunyai keanjalan harga yang sama.

Harga beras tempatan naik, sepatutnya harga padi juga naik. Jika harga padi naik, maka petani merasa juga hasil titik peluh. Jangan kerana hasil titik peluh petani perai/pemborong/peruncit juga yang untung besar termasuk peniaga restoran.

Mengapa tajuk tulisan ini mengaitkan nama Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dengan beras putih? Sebabnya kedua-dua isu memberi kesan pada rakyat negara ini, yang satu memberi kesan pada politik yang satu lagi memberi kesan pada kos sara hidup.

No comments:

Post a Comment