Tuesday, September 26, 2023

KERJASAMA ANTARA PARTI KOMPONEN DALAM GRS

PENULIS tertarik pada pandangan Penasihat Perdana Parti PBS- Tan Sri Pairin Kitingan, yang mengulas berkaitan cadangan kerjasama dengan Parti STAR salah satu komponen GRS, bahawa kerjasama itu bukan semestinya bergabung, akan tetapi kerjasama untuk mengelak/menghalang elemen sabotaj antara satu sama lain khususnya dalam pilihan raya.

Pemahaman penulis, apabila parti-parti bergabung dalam parti gabungan, seperti Parti Gabungan Rakyat Sabah (GRS), maka, semua parti, sudah menoktahkan elemen sabotaj antara satu sama lain dan seterusnya bergerak sebagai satu pasukan, terutama dalam pilihan raya.

Apabila tiba pilihan raya, semua parti berstuju menggunakan logo seragam dengan pengertian calon parti Gabungan adalah mewakili semua.

Di Sabah, memang kerap berlaku, antara parti komponen, untuk kawasan-kawasan tertentu yang diintai lebih daripada dua parti, maka akan berlaku elemen sabotaj, yang menyebabkan kawasan yang sepatutnya “sure” kawasan yang boleh menang, boleh kalah kerana elemen sabotaj.

Kerjasama antara parti dalam satu gabungan, elemen sabotaj sepatutnya tidak timbul, kerana jika masih wujud, maka ianya menjadi faktor kelemahan.

PBS dan STAR adalah antara tujuh komponen GRS selain PGRS, SAPP, USNO, PHRS dan LDP.

Antara 7 parti komponen ini, memang PBS dan STAR dihandalkan untuk kawasan-kawasan Bumiputera bukan Islam, PGRS dan USNO untuk kawasan Bumiputera Islam, sementara SAPP dan LDP di kawasan kaum cina, sementara PHRS lebih bersifat “anak bulan”.

Jika kerjasama PBS dan STAR, berbentuk kerjasama antara parti dalam GRS, hanya untuk mengelak elemen sabotaj, bagai mana pula dengan parti-parti lain dalam gabungan itu?

Pengertian penulis, apabila berlaku kerjasama parti-parti dalam satu Gabungan, ertinya berlaku sokongan “patak-patak” atau kumpul-kumpul penyokong, supaya menjadi satu kekuatan yang menghasilkan jumlah majoriti dalam pilihan raya.

Jika masih terdapat elemen sabotaj, maka tujuan kerjasama itu tidak membawa erti apa-apa, melainkan, menjadi kelemahan termasuk membawa kekalahan.

Penulis melihat, kerjasama antara PBS dan STAR adalah untuk menjamin, tidak lagi berlaku ketidak puas hatian, dalam soal agihan kerusi semasa pilihan raya, yang kadangkala menyebabkan ada pemimpin yang tidak terpilih sebagai calon, lalu bertanding sebagai calon bebas, menentang calon Parti Gabungan.

No comments:

Post a Comment