Thursday, September 21, 2023

ANUGERAH MANIS MEMARTABAT PENDIDIKAN-GHULAM

SEIRING usaha memartabat agenda pendidikan, Pejabat Daerah Papar mengadakan Majlis Anugerah Inspirasi Akademik (MANIS) Sektor Pembelajaran 2023 diadakan di sebuah hotel di Kota Kinabalu pada Rabu.

Majlis bertujuan memberi pengiktirafan dan penghargaan kepada pengetua, guru besar dan kepimpinan sekolah, dalam meingkatkan pencapaian akademik.

Anugerah diperkenal bagi memotivasi dan menginspirasikan pentadbir dan guru-guru mendidik murid serta pelajar di pelbagai peringkat.

Bertemakan “Guru Berkualiti Pemacu Kemenjadian Murid”, sebanyak 200 anugerah dan penghargaan disampaikan kepada penerima.

Anugerah MANIS kali kedua itu dirasmikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kawang, Datuk Ghulam Haidar Khan Bahadar.

Dalam ucapannya, Ghulam yang juga Pengarah Kumpulan Yayasan Sabah (KYS) memuji inisiatif Pejabat Pendidikan Daerah Papar memperkenalkan anugerah MANIS itu.

Beliau berkata sememangnya wajar jasa dan pengorbanan warga pendidik dihargai dan diiktiraf.

“Ini suatu langkah yang amat baik dan wajar diteruskan, seiring usaha meningkatkan agenda pendidikan negeri, meningkatkan prestasi pendidikan daerah”,katanya.

ADUN Kawang itu juga berharap penghargaan dan pengiktirafan itu menjadi pencetus semangat kepada semua sekolah di Daerah Papar untuk mengembeling tenaga memartabatkan kecemerlangan pendidikan.

Ghulam optimis Daerah Papar boleh menjadi HUB kecemerlangan pendidikan peringkat rendah hingga menengah dalam sedikit masa lagi.

Menurutnya, keputusan SPM dan STPM tahun 2022 bagi Daerah Papar sangat memberangsangkan dan mengatasi banyak daerah di Sabah.

Katanya, kejayaan itu tidak datang secara bergolek atau kebetulan, tetapi dengan kesungguhan, komitmen yang konsisten secara berterusan.

“Ia ditambah pula dengan sokongan dan dokongan Pejabat Daerah Pendidikan Daerah dengan Program yang berkesan dan strategik” katanya.

No comments:

Post a Comment