Saturday, July 22, 2023

NARATIF PENDAKWAAN TERPILIH

MUNGKIN secara kebetulan, mereka yang didakwa adalah pemimpin pembangkang, maka persepsi pendakwaan terpilih dianggap betul.

Kuasa Peguam Negara selaras dengan kuasa yang diperuntukan mengikut Perkara 145 (3) Perlembagaan, keputusan pendakwaan dilakukan berlandaskan teras integriti bagi memastikan mangsa, saksi, tertuduh dan orang awam memperoleh keadilan sewajarnya.

Oleh kerana naratif pendakwaan terpilih timbul sejak akhir-akhir ini, maka Jabatan Peguam Negara (AGC) terpaksa memberi penjelasan bahawa sebarang keputusan untuk mendakwa mana-mana individu adalah berdasarkan kepada keterangan dalam kertas siasatan dikemukakan agensi penguat kuasa tanpa memihak kepada sesiapa.

Namun begitu, uniknya di negara ini setiap kali ada pemimpin politik didakwa di mahkamah, maka akan timbul persepsi daripada tertuduh atau “orang sekelilingnya” mendakwa pendakwaan itu dilakukan secara terpilih oleh pihak kerajaan atas motif tertentu seperti melemahkan pengaruh lawan atau memburuk imej pemimpin terbabit.

Sedikit sebanyak, sentimen ini akan menjejaskan imej kerajaan dan agensinya khas Jabatan Peguam Negara (AGC).

Bukan sedikit kritikan dilemparkan terhadap jabatan kerajaan termasuk AGC apabila seorang pemimpin politik khasnya pembangkang didakwa di mahkamah.

Jabatan atau agensi terbabit akan dicop sebagai “alat” kerajaan untuk mengenakan tekanan terhadap pemimpin politik.

Namun tanpa sebarang preudis, sejak era pentadbiraan Tun Dr Mahathir Mohamad sehingga Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri, persepsi dan sentimen ini sukar dihapus daripada pemikiran masyarakat.

Apabila sesebuah parti menjadi kerajaan dan kebetulan pula berlaku pendakwaan terhadap pemimpin politik pembangkang, maka naratif “pendakwaan terpilih” akan berulang dan kerajaan akan berulang dan kerajaan akan dilabel sebagai “zalim” “penakut”, kejam dan pelbagai gelaran bersifat “draconian”.

Menyusuri sejarah berkaitan isu “pendakwaan terpilih” tidak dinafikan hanya berlaku dalam kalangan orang politik atau individu berada dalam lingkaran seseorang pemimpin politik.

Jika ada pun, ia memabitkan ahli perniagaan atau proksi yang akhirnya turut dikaitkan dengan figura politik tertentu.

Justeru, rakyat perlu berfikiran rasional dalam isu pendakwaan dikenakan terhadap pemimpin politik di negara ini.

Hakikatnya, puluhan pemimpin politik sama ada daripada parti kerajaan atau pembangkang pernah dan sedang didakwa di mahkamah atas pelbagai tuduhan seperti rasuah, salah guna kuasa dan jenayah.

Ada yang sudah dijatuhi hukuman, ada masih menanti keputusan hakim, masih dalam tempoh rayuan dan ada dilepaskan serta dibebaskan, tetapi tidak kurang juga dilepas tanpa dibebaskan.

Berdasarkan fakta ini, “pendakwaan terpilih” boleh dianggap sebagai sentimen dan perspektif dimainkan pihak tertentu bagi meraih simpati. Apatah lagi jika didakwa itu adalah pemimpin atau figura politik.

Maka rakyat dan masyarakat tidak seharusnya terlalu emosi dengan naratif kononnya kerajaan mengamalkan pendakwaan terpilih terhadap pemimpin politik.

Jika berlaku pendakwaan pun, ia masih berpandukan prinsip keadilan jenayah “seseorang tidak bersalah selagi belum dibuktikan bersalah”.

No comments:

Post a Comment