HARUSNYA, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi memberi ruang pada pemimpin Sabah mengurus negeri termasuk menyelesaikan isu-isu politik menerusi Sabahan way.
Bermula tahun 1975 apabila pemimpin pusat campur tangan dalam urusan politik negeri, keadaan politik negeri tidak juga matang-matang, malah semakin bercelaru, termasuk mencipta fenomena, mengubah kerajaan bukan menerusi pilihan raya.
Campuran tangan pemimpin pusat, mengevolusi politik negeri, sehinggakan merebek di merata negeri termasuk Kerajaan Persekutuan, apabila kaedah menukar kerajaan bukan melalui pilihan raya berjangkit.
Mengubah kerajaan negeri bukan melalui pilihan raya bermula di Sabah pada tahun 1994.
Kerajaan negeri sudah MOVE ON, selepas merombak kabinet pada 11 Januari, termasuk adanya penjajaran politik baharu, berasakan perkongsian aspirasi yang sama, berpaksi pada hormat dan kepercayaan antara para ADUN yang menyokong kerajaan.
Sepatutnya, Datuk Seri Ahmad Zahid mengambil maklum, bahawa keputusan telah dibuat oleh pemimpin negeri, kerana sebelum itu, Presiden Umno itu juga, selain Perdana Menteri terlibat perbincangan berkaitan penyelesaian “kemelut” politik negeri yang sepatutnya tidak perlu timbul yang digerakan oleh Ketua Umno Sabah Datuk Bung Moktar Radin.
Untuk rekod, Bung adalah salah seorang Timbalan Ketua Menteri dan menteri kerja raya Sabah, dalam kerajaan GRS-BN yang dipimpin Datuk Seri Hajiji Haji Noor.
Rombakan kabinet Sabah selain menggugurkan Bung, juga dua menteri lain daripada Umno/BN, kesan tindakan menggulingkan kerajaan negeri yang digagalkan.
Tempoh penggal ke-16 Sabah berbaki tiga tahun lagi. Dalam tempoh ini lah, kerajaan negeri yang bervisi SABAH MAJU JAYA, perlu merealisasikan berbagai teras dalam hala tuju tersebut menjelang tahun 2025.
Ada lah tindakan wajar untuk tidak mengganggu fungsi dan perjalanan kerajaan di tengah jalan, untuk memberi ruang semua yang diberi amanah dan tanggungjawab dapat memberi perkhidmatan yang terbaik.
Zahid yang mempunyai pengalaman mengurus negara sepatutnya sangat mengerti, apabila sedikit sahaja perubahan dalam organisasi yang melibatkan individu di tengah jalan, akan berkesan pada perancangan, strategi, gerak kerja yang telah diatur. Akan tetapi, perubahan tidak dapat dielak, jika ada individu dalam organisasi bertindak sebagai musang berbulu ayam dan gunting dalam lipatan.
No comments:
Post a Comment