Thursday, December 01, 2022

TUTUP EPISOD PEMILIHAN PM-10

APA-APA pun alasan berkaitan pemilihan PM-10, sepatutnya tidak berbangkit lagi, kerana individu yang mendapat perkenan YDP Agong telah pun selesai mengangkat sumpah jawatan pada petang 24 November 2022.

Jika mana-mana pihak masih bercakap berkaitan pemilihan Perdana Menteri, tentunya PM-11.

Pemilihan PM-11, hanya akan berlaku pada PRU-16, iaitu 5 tahun daripada sekarang, atau PM-10 hilang sokongan majoriti, dan terpaksa meletakkan jawatan.

Episod yang berlaku, semasa pemilihan PM-10, khususnya yang membabitkan ahli parlimen Barisan Nasional (BN), tidak boleh dijadikan sebagai sebab musabab gagalnya Tan Sri Muhiyiddin Yassin mendapat angka 112 kerana penyebab sebenar adalah ‘TERPUTUSNYA’ komunikasi antara pihak yang saling memerlukan.

Apabila menjelang pagi 20 November, SPR mengumumkan tiada mana-mana blok parti mendapat lebih 50% daripada 221, atau dengan kata lain parlimen tergantung, blok parti yang sangat berkeyakinan mendapat sokongan majoriti mudah adalah Perikatan Nasional (PN), walaupun secara jelas, jika bergabung dengan semua kerusi parti kecil termasuk bebas dan GPS, belum mencapai angka 112, melainkan perlu sokongan daripada Barisan Nasional (Bn).

Penekanan, para penyokong parti itu, NO BN, telah memakan diri sendiri, walaupun secara senyap-senyap 10 ahli parlimen parti itu menandatangani Surat Akuan Bersumpah (SD) menyokong Tan Sri Muhiyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri ke-10. Oleh kerana sokongan tersebut berbentuk senyap-senyap, maka akhirnya gagal, apabila menarik SD mereka.

Kini, apapun kejadian pada episod pemilihan tersebut perlu dilipat dalam catitan liku-liku pemilihan PM-10.

No comments:

Post a Comment