Monday, November 28, 2022

KEPUTUSAN PRU-15: PETANDA AKAN WUJUD SISTEM DUA PARTI.

POLITIK negara berubah sangat drastik pasca PRU-14, ini kerana, situasi politik yang tidak pernah berlaku telah berlaku, antaranya perubahan tiga kerajaan dalam masa sepenggal yang juga menyaksikan pertukaran tiga Perdana Menteri; kemudian itu, keputusan pilihan raya yang menyebabkan parlimen tergantung; dalam masa 5 tahun terakhir, 5 Perdana Menteri telah dilantik.

Keputusan PRU-15 menunjukkan bagai mananya terpisahnya pengundi di negara kita ini, kepada dua blok parti yang berbeza.

Berpandukan keputusan PRU kali ini, jelas sekali, dua blok parti berpengaruh, iaitu Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN). Barisan Nasional (BN), walaupun masih menang 30 kerusi, ianya hanya kemenangan “token” sebagai parti gergasi di negara ini.

Pola pengundian yang telah berubah, tidak dapat diadaptasi oleh BN khususnya Umno, kecuali oleh sesetengah pemimpin parti itu, seperti Khairy Jamaluddin Abu Bakar yang bertanding di Parlimen Sungai Buloh, walaupun kalah tipis di kubu kuat PH, yang juga kawasan hitam bagi BN semenjak tahun 2008.

Umno walaupun menyenaraikan calon-calon muda seperti Sharil Hamdan di Parlimen Alor Gajah dan Ketua Pemuda Parti itu di Parlimen Grik, akan tetapi tewas, kerana pengundi melihat mereka, hanya dilihat sebgai pembesar suara pada pemimpin tertentu dalam parti.

Pengundi kaum melayu khususnya, secara jelas telah menolak BN, kerana terbukti parti itu ditolak secara mutlak di Pulau Pinang, Perlis, Kedah, Kelantan, Terengganu, malah di Melaka.

Melihat taburan kerusi-kerusi antara PH dan PN, boleh menyerupai taburan penguasaan antara Demokrat dan Republican di Amerika Syarikat, yang mengamalkan sistem dua parti, juga hampir sama taburan kerusi antara parti Buruh dan Konservatif di United Kingdom.

Keputusan PN untuk kekal sebagai pembangkang, bukan mempunyai niat tidak baik, akan tetapi demi kesuburan demokrasi dan semak dan imbang, seperti mana dilakukan di negara-negara lain,khususnya negara-negara ibu demokrasi seperti Amerika dan UK.

Namun, tindakan semak dan imbang, memerangkap beberapa negeri, terutama di Perlis, Sarawak dan Sabah, di mana tiada lagi parti yang termasuk dalam parti pembangkang, kerana keseluruhannya dinaungi parti yang memerintah baik negeri mahupun Persekutuan. Namun di Sabah, ada duluan sebelum ini, semasa era Kerajaan PBS, parti-parti yang saling membangkang di peringkat negeri akan tetapi sepasukan di peringkat Persekutuan.

Untuk sementara, di Perak dan Pahang, suara wakil rakyat pembangkang cukup kuat, di Perak, daripada 59, suara pembangkang berjumlah 26, manakala di Pahang, daripada 41 kerusi (1 kerusi belum ditentukan), 17 kerusi mewakili pembangkang.

Kedudukan kerusi-kerusi parlimen dan DUN Perak dan Pahang, adalah indikasi di masa akan datang, akan wujud sistem dua parti, yang mana setiap pilihan raya, parti yang keluar sebagai pemenang, sangat bergantung pada swing voters.

Akan dilihat nanti, pada 6 PRN tertangguh, apakah bibit-bibit sistem dua parti masih berterusan. 

No comments:

Post a Comment