Saturday, October 29, 2022

TIDAK MUDAH MEMUTUSKAN SENARAI CALON

HANYA parti-parti yang kurang aktif turun padang atau terlibat dengan aktiviti rakyat sahaja sangat mudah memutuskan calon-calon bagi mewakili parti masing-masing.

Manakala parti yang aktif apatah lagi melibatkan ramai individu, maka memperlambat proses memilih, kerana mereka yang ditugaskan membuat keputusan terpaksa memilih yang paling terbaik daripada yang terbaik. Dan bagi parti yang terlibat kerjasama rentas parti, prosesnya hampir serupa, kerana yang berbincang menghandalkan senarai panjang kelebihan parti masing-masing.

Ada yang kata lambat mengumumkan calon adalah satu strategi, untuk memerangkap pihak lawan, agar kurang persiapan menyerang kelemahan-kelemahan calon-calon yang dipilih, sedangkan pada hakikatnya bukan demikian.

Di Sabah walaupun dikatakan agihan kerusi antara GRS dan BN sudah dimuktamadkan, akan tetapi belum mengumumkan senarai calon, kecuali di kawasan-kawasan tertentu seperti Parlimen Kota Marudu dan Kimanis.

Dalam tempoh menunggu ini, bermunculan pula spekulasi, akan berlaku kemunculan semula Tan Sri Musa Aman bertanding di Parlimen Libaran. Parlimen tersebut, di mana DUN Sungai Sibuga terletak telah diwakili Musa sejak tahun 1994 sehingga tahun 2020. Pada PRN-16 negeri September 2020 beliau tidak mempertahankan DUN tersebut.

Timbulnya spekulasi kemunculan semula Musa untuk meredahkan suhu panas antara pemimpin GRS dan BN di kawasan tersebut, jika tidak ditangani dengan betul boleh membawa kekalahan.

Selain itu, penyertaan semula Musa menambah aura bagi GRS-BN untuk menang sebanyak mungkin kerusi bagi dua blok parti itu.

Sejauh mana spekulasi ini, akan terjawab apabila calon-calon diumumkan sebelum penamaan calon pada 5 November depan.

GRS-BN akan mengumumkan kawasan-kawasan berserta calon-calon secara serentak antara 1-3 November.

Pada PRU kali ini, walaupun hanya melibatkan kawasan parlimen, senario parti politik yang bertanding berbeza dengan PRU 14 dan PRN 16 Sabah, kerana hanya dua blok parti yang bekerjasama, iaitu GRS dan BN, manakala blok parti lain bergerak solo.

Kehadiran Musa dalam suasana yang berbeza ini, diperlukan untuk memperancak minat pengundi keluar mengundi, seperti mana berlaku pada PRN-16 Sabah, kawasan-kawasan yang turut disertai mantan Ketua Menteri itu turun berkempen bukan sahaja membuktikan peratusan yang keluar mengundi tinggi (walaupun dengan adanya ancaman Covid-19) akan tetapi calon-calon yang beliau sokong menang dengan majoriti yang besar.

Pun demikian, penyertaan Musa hanya merupakan spekulasi, kerana tiada tanda-tanda daripada Ketua Menteri terlama Sabah itu untuk aktif semula dalam arena politik, kerana tidak lagi mengeluarkan sebarang kenyataan berkaitan politik, walaupun secara senyap kekal menyantuni rakyat di kawasan Parlimen Libaran. Sama-sama kita tunggu, kerana, pokok tidak akan bergoyang tanpa tiupan angin.

No comments:

Post a Comment