TIDAK terbayang oleh pemimpin Umno, seorang Presiden yang memberi watikah untuk menjadi calon, tidak dapat bertanding atas sebab kehilangan hak menjadi calon.
Hakikatnya punca utama pembubaran parlimen untuk mengadakan PRU-15 mengejut, adalah untuk mengelak mahkamah membuat keputusan terlebih dahulu terhadap Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkaitan Yayasan Akal Budi.
Jika dalam kes UKSB, Presiden Umno itu masih yakin untuk terlepas, akan tetapi tidak untuk kes Akalbudi. Sebagai persiapan untuk kemungkinan buruk, maka tidak lain tidak bukan terpaksa mempengaruhi Perdana Menteri untuk memohon membubarkan parlimen.
Jika ada sebab lain seperti warkah yang diutus 12 Menteri daripada Bersatu dan Pas, serta kenyataan Presiden Bersatu, bahawa Umno musuh utama, sebagai alasan membubarkan parlimen, sebenarnya alasan tersebut hanya cubaan menutup sebab sebenar.
Pun demikian, pilihan raya diadakan pada masa yang tidak kondusif, kebetulan memberi kelebihan pada Umno, kerana hanya parti itu sahaja mempunyai ahli dan penyokong tegar teramai daripada semua parti-parti, apatah lagi jika dibandingkan dengan parti-parti baharu.
Pilihan raya dalam suasana yang tidak kondusif mempengaruhi peratusan pengundi yang keluar mengundi. Semakin rendah peratusan pengundi keluar mengundi semakin tinggi peluang Umno menang.
Jika Umno kembali berkuasa, bukan salah sesiapa akan tetapi salah parti-parti yang melawan, kerana bertindak seperti enau dalam belukar melepaskan pucuk masing-masing.
Para pemimpin yang melawan Umno, bukanpun tidak sedar, melawan secara solo, tiada kemungkinan untuk menang, kerana telah berbukti bergabungpun, hanya satu pilihan raya sahaja, iaitu PRU-14, Umno dapat dikalahkan, itu pun kerana faktor Tun Dr Mahathir dan Tan Sri Muhiyiddin yang berganding tenaga dengan PKR, DAP dan Amanah.
Kini, semua yang cuba mengalahkan Umno mempunyai haluan masing-masing, dan semakin terjaminlah kemenangan Umno, kesan perpecahan undi.
Kenyataan Tun Dr Mahathir bahawa Umno ingin segera diadakan PRU, mengharapkan mendapat semula kuasa, untuk menyelamatkan pemimpin dalam kluster mahkamah, bukan kenyataan politik, akan tetapi hakikat sebenar.
Dalam Perlembangaan Negara, jika seseorang terlebih dahulu dipilih sebagai wakil rakyat, kemudiannya disabitkan kesalahan, akan kekal sebagai wakil rakyat, sehingga proses perundangan berakhir di mahkamah Persekutuan, yang mengambil masa lama, dan dalam proses tersebut, boleh sahaja kerajaan yang berkuasa menarik balik atau membatalkan pertuduhan.
Jika lah terbukti pada PRU kali ini, Umno kembali berkuasa, membawa erti, bahawa mereka yang memberi kemenangan, jelas menyelamatkan pemimpin kluster mahkamah, supaya jangan mengikut jejak Datuk Seri Najib Razak yang terdahulu masuk penjara.
Selain itu, mereka yang memberi kemenangan tidak terkesan dengan dana awam yang diselewengkan, atas sebab ianya sudah berlalu, dan wangpun telah lesap.
No comments:
Post a Comment