Saturday, October 01, 2022

PRU-15: TOP5 UMNO KATA TAHUN INI JUGA

TIADA sesiapa yang boleh menghalang pembubaran parlimen dalam masa terdekat untuk diadakan PRU-15 pada tahun ini juga, sesuai keputusan TOP5 Umno, kecuali Agong.

Jika Agong mengambil maklum musim tengkujuh seperti mana pandemik Covid-19, apabila tidak memperkenankan pembubaran parlimen pada Ogos 2021, kemungkinan juga menolak pembubaran parlimen, jika Perdana Menteri menyembah memohon pembubaran.

Musim tengkujuh kali ini diramal lebih dahsyat kesan fenomena La Nina sehingga boleh berakibat banjir besar di kawasan-kawasan yang kerap dilanda banjir, tidak terkecuali kawasan-kawasan lain, apabila berlaku hujan lebat berterusan.

Mengadakan pilihan raya dimusim tengkujuh, bukan sahaja tidak kondusif akan tetapi menyusahkan rakyat, dan kemungkinan cukup tinggi, peratus pengundi yang keluar mengundi rendah.

Jika peratus pengundi yang keluar rendah, maka kerajaan yang bakal dibentuk tidak mencerminkan kehendak majoriti rakyat.

Apa ertinya kerajaan yang memperintah bukan sokongan majoriti? Dalam keadaan demikian apa kah kestabilan politik yang diharapkan terwujud?

Jangan asyik dengan pandangan sesetengah pihak, bahawa mereka yang tidak keluar mengundi, juga merupakan sokongan pada parti yang menang, sedangkan mereka yang tidak keluar mengundi bersebab, kerana pesta demokrasi yang dirai, bukan berbentuk pesta, akan tetapi suasana yang tidak kondusif dan menyusahkan.

Dalam keadaan yang tidak kondusif dan menyusahkan, hanya ahli dan dan penyokong tegar parti akan bersusah payah keluar mengundi agar undi mereka tidak sia-sia dan pada masa sama mengharapkan calon parti menang, manakala pengundi pasif dan atas pagar, bukan sahaja tidak teroja akan tetapi tidak akan bersusah payah. Tambahan lagi, mereka yang tergolong undi-18, sebahagian besar sedang sibuk mengikut kelas masing-masing, malah mungkin tidak berada di PDM masing-masing, kerana bersekolah di kawasan-kawasan lain, demikian mereka yang tergolong mahasiswa, mengikuti pengajian di kawasan-kawasan termasuk luar negara.

Bagi penulis, maksud dan tujuan diadakan PRU-15 di musim tengkujuh, tidak lain dan tidak bukan, agar pengundi tidak berparti atau bukan penyokong tegar tidak keluar mengundi, kerana ini lah cara parti yang mempunyai ramai ahli menang.

Telah terbukti, apabila peratus pengundi keluar mengundi tinggi, parti yang menerajui kerajaan pun tumbang. Apabila peratus keluar mengundi rendah, jumlah pengundi yang sama ketika kalah, bertukar menang.

Untuk menang dalam politik berbagai helah dilakukan. Tetapi jangan jadikan helah menghalalkan cara  bertukar memuakkan dan membosankan rakyat, sehinggakan amalan demokrasi ditolak. 

No comments:

Post a Comment