Wednesday, October 12, 2022

HASRAT UMNO MENGADAKAN PRU-15 MENGEJUT AKHIRNYA TERCAPAI

HASRAT Umno mengadakan PRU-15 sebelum tamat penggal akhirnya tercapai, kerana parti itu bersama Parti Pas dan GPS memilih bubar parlimen semasa pusingan pertama penamaan Perdana Menteri ke-8 pada Februari 2020. Namun hasrat itu tidak tercapai, sebaliknya akur dengan penamaan Perdana Menteri.

Hakikatnya tumbangnya Pakatan Harapan pada Februari 2020 ekoran langkah Sheraton, telah membawa berbagai kesan pada keadaan politik tanah air, antara lain pergantian kerajaan di peringkat negeri secara langsung tanpa pilihan raya mahupun pilihan raya.

Kerajaan negeri yang berganti menerusi pilihan raya adalah Sabah, kemudian Melaka dan Johor, sementara Perak dan Kedah, secara tidak langsung.

Pergolakan politik tanah air berlaku pasca PRU-14, yang menjadi katalis penjajaran baharu parti politik, seperti wujudnya Gabungan Parti-Parti Sarawak (GPS) apabila keluar daripada Barisan Nasional (BN), terwujudnya Perikatan Nasional (PN) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS). Bukan itu sahaja, parti baharu juga timbul seperti MUDA, Pejuang dan PBM.

Pasca PRU-14 juga menunjukkan kedinamikkan politik tanah air, apabila berlaku kerjasama antara GRS-BN di Sabah, selain menjadi kerajaan secara bersama, juga akan berhadapan dengan PRU-15 secara bersama, berbeza pendekatannya di Semenanjung, apabila parti-parti komponen samada daripada GRS mahupun BN saling berlawan antara satu sama lain.

Bagi politik Sabah, bukan perkara baharu, mempunyai pendekatan yang berbeza antara Negeri dan Persekutuan, kerana sebelum ini pun pernah berlaku, semasa era Kerajaan Sabah diterajui Parti Berjaya, di peringkat negeri Parti Berjaya dan Parti USNO berlawanan, akan tetapi di peringkat Persekutuan sepasukan. Untuk era ini pula, antara Umno dan Bersatu di peringkat negeri sepasukan, akan tetapi sebaliknya di peringkat Persekutuan.

Sempena PRU-15, di Sabah, mana-mana kerusi yang dimenangi atas tikit GRS, diperingkat Persekutuan mewakili Perikatan Nasional, manakala yang dimenangi atas tikit BN, secara automatik mewakili Barisan Nasional.

Selepas pembubaran parlimen, apapun ulasan, dakwaan mengenainya tidak relevan lagi, sebaliknya, mana-mana parti yang inginkan mandat rakyat, perlu bersiap sedia apapun keadaan kerana semua pihak berhadapan situasi yang sama.

Jika suasana yang tidak kondusif diadakan pilihan raya, dan dilihat memberi kelebihan pada sesebuah parti, maka itu lah fitrah demokrasi, mana-mana yang mempunyai kelebihan, maka akan menang.

Tiada mana-mana pihak yang tiada kelebihan, akan tetapi mengharapkan keputusan yang berbeza, misalnya pilihan raya diadakan pada masa yang bersesuaian, tanpa gangguan banjir atau bencana, maka akan berpihak pada pihak-pihak yang lemah, hanya kerana bersandar pada rekod lampau.

Untuk sementara memang benar, apabila diadakan pilihan raya pada masa yang tidak kondusif, maka peratusan pengundi keluar mengundi,khususnya daripada pengundi pasif dan atas pagar tersangat rendah, dan mendapati mereka yang menunaikan tanggungjawab hanya terdiri daripada ahli dan penyokong tegar parti-parti politik.

Memandangkan Umno-BN, adalah parti yang teramai ahli dan penyokong tegar, maka parti itu lah menjadi pemenang, seperti mana dibuktikan pada PRN Melaka dan Johor.

Oleh kerana senario demikian, maka parti-parti selain Umno-BN menetang diadakan pilihan raya pada masa yang tidak bersesuaian seperti musim tengkujuh, kerana diramalkan dalam keadaan sedemikian pengundi bukan penyokong politik tidak akan keluar mengundi, dengan demikian, peluang mendapatkan undi daripada golongan ini menjadi kosong, sedangkan daripada golongan ini lah parti-parti yang melawan Umno-BN mendapat undi, seperti mana rekod-rekod lampau termasuk pada PRU-14.

Dalam keadaan peratusan keluar mengundi rendah lah sandaran utama bagi Umno-BN, atas sebab mudah bagi parti itu untuk memastikan penyokong-penyokong mereka keluar mengundi sehingga ke tahap boleh membawa setiap pengundi ke tempat pembuangan undi.

Umno mengambil iktibar kemenangan pada PRN Melaka dan Johor serta beberapa PRK pasca PRU-14, yang semuanya dimenangi kerana faktor peratusan keluar mengundi yang rendah.

Bagi parti-parti yang mengambil bahagian pada PRU kali ini, seperti Pakatan Harapan (PH), Perikatan Nasional (PN), Pejuang, tidak akan mampu bersaing secara solo dengan jentera Umno-BN, termasuk jumlah ahli.

Bertembung berbagai parti, tidak akan mengurangkan undi Umno-BN, melainkan, undi yang diperolehi yang melawan, akan berlaku pergerakan undi dari satu parti ke parti lain, yang hanya melemahkan kesemua parti-parti itu.

Tidak dinafikan, parti-parti yang melawan Umno-BN akan menang dikawasan tradisi masing-masing, akan tetapi jumlah kerusi yang dimenangi jauh daripada cukup untuk mendapatkan majoriti mudah.

Bagi Umno-BN pula, selain menang dikawasan-kawasan tradisi, akan turut menang di kawasan-kawasan marjinal, atas sebab mendapat kelebihan sistem First Past The Post.

Apapun strategi parti-parti yang melawan Umno-BN, selagi berlaku bertembungan berbagai penjuru,apatah lagi disertai peratusan yang keluar mengundi rendah, maka akan memberi kelebihan pada parti itu,kerana satu faktor, parti itu mempunyai keahlian yang teramai antara semua blok parti.

Yang boleh menyebabkan parti itu kalah, jika hanya jika ada ahli dan penyokong tegar berpaling tadah, hanya kerana mahu menyelamatkan negara dan rakyat secara umum daripada perbuatan pemimpin mereka yang lupa daratan.

Dalam senario sekarang, sukar sudah ahli dan penyokong tegar parti itu berpaling tadah, seperti mana dibuktikan pada PRN Melaka dan Johor.

Pada PRU-14, jika tidak berlaku berpaling tadahnya ahli dan penyokong parti itu, ditambah dengan ramainya pengundi pasif dan atas pagar keluar mengundi, tidak akan Umno-BN tumbang.

Terpulang pada mana-mana blok parti yang melawan parti itu, untuk mengurangkan kerusi yang bakal dimenangi parti itu, dan jika strategi mengena, tidak mustahil, parti itu hanya akan menang 50 kerusi sepertimana pandangan mantan Ketua Menteri Melaka- Tan Sri Rahim Thamby Chik.

Bagi pandangan penulis, Umno-BN akan menang banyak kerusi berbanding parti-parti lain, bukan kerana parti itu disokong majoriti rakyat, akan tetapi oleh ahli dan penyokong tegar sahaja, jika memang berlaku peratusan keluar mengundi yang rendah, apatah lagi dibantu berpecahnya undi kesan pertembungan berbagai penjuru.

Kebarangkalian tinggi peratusan keluar mengundi rendah, kerana mungkin, semasa pilihan raya berlaku bencana banjir, sehingga mengekang keluarnya pengundi bukan penyokong mana-mana parti politik untuk menunaikan tanggungjawab.

Penulis melihat, tiada mana-mana parti yang boleh mengajak ahli dan penyokong tegar parti itu berpaling tadah, seperti mana berlaku pada PRU-14, kerana terperangkap pada keadaan yang dikejar tak dapat yang digendong berciciran.

Bagi pengundi atas pagar pula yang keluar beramai-ramai, matlamat mereka sudah tercapai, pemimpin yang mencuri,merompak, salah guna kuasa, ada yang sudah dijatuhi hukuman, ada yang sedang dibicarakan.

Hanya sekarang, parti-parti yang meminta mandat daripada rakyat, bertujuan untuk menghalang parti itu berkuasa semula, sebagai cara untuk menoktahkan atau menguburkan peluang pemimpin yang terkait isu moral berkuasa semula, kerana dibimbangi apabila mendapat kuasa semula, maka jejak buruk mereka akan dipadam, dan sukar dijejaki lagi.

Malangnya parti-parti yang melawan itu bagaikan enau dalam belukar melepaskan pucuk masing-masing, sedangkan mereka sedar, bergerak berasingan, tidak akan mampu melawan.

Sebagai misalan, mengadakan pilihan raya pada musim tengkujuh, sudah menjadi kemenangan pusingan pertama bagi Umno-BN. Kemenangan berikutnya apabila peratusan keluar mengundi rendah. Kemenangan seterusnya apabila menang kerusi terbanyak.

Pada PRU kali ini, tiada isu magic yang boleh diguna, seperti mana pada PRU-14 yang berlegar-legar pada wang RM2.6bilion, isu Datin Rosmah Mansor yang menyebabkan kemarahan rakyat.

Paling-paling pun, tindakan Umno mengadakan pilihan raya di musim tengkujuh, yang menyebabkan kemarahan rakyat, akan tetapi kemarahan yang tidak dapat menarik mereka berbondong-bondong ke peti undi.

Isu-isu seperti LCS, walaupun dirasakan isu besar, akan tetapi, tidak menjadi pembangkit kemarahan yang mendorong mereka turun mengundi, jika hari mengundi berlaku banjir atau hujan lebat.

Nampak gayanya, rakyat negara ini, akan kembali diperintah Umno-BN untuk sepenggal lagi, dan mungkin beterusan untuk jangka masa yang panjang.

Hakikat perlu diterima, parti yang telah berakar umbi, bukan mudah dimusnahkan, selagi ada kader-kader yang meneruskan perjuangan.

Realiti politik tanah air perlu diterima dengan lapang dada, dan jika merasa tiada kemampuan melawannya, maka ikut serta lah.

No comments:

Post a Comment