Saturday, September 24, 2022

PRU-15: RAKYAT SABAH KENA SEBUMBUNG

RAKYAT Sabah hanya lebih kurang 10 peratus daripada rakyat negara ini. Ertinya dalam demokrasi, tidak lah sangat signifikan. Pun demikian, jika semua sebumbung, boleh juga memberi kesan.

Rakyat negeri di bawah bayu seawal tahun 1999 menjadi perhatian pemimpin Barisan Nasional, sehinggakan diberi gelaran negeri simpanan tetap. Menjadi simpanan tetap, kerana rakyat sebumbung dalam politik, apabila bersama BN.

Kedudukan sebagai simpanan tetap (fixed deposit) musnah apabila pemimpin berpecah, saling menjatuhkan, dan terpahat pada PRU-14.

Perpecahan bukan dua akan tetapi tiga, kini sebahagian bersama Umno, Bersatu dan Warisan. Kerana pemimpin berpecah, rakyat juga berpecah, dan kini di antara para pemimpin, cuba menyatukan rakyat dalam satu bumbung.

Ujian penyatuan adalah PRN-16 Sabah. Menerusi pilihan raya tersebut lebih separuh daripada rakyat Sabah memilih Gabungan Rakyat Sabah (GRS), yang mana semasa pilihan raya tersebut hanya berupa persefahaman antara BN, PN dan PBS.

Atas sebab jenama GRS diterima rakyat, maka didaftarkan sebagai parti pada Mac 2022, dan seterusnya kerajaan Sabah pula dikenali sebagai Kerajaan GRS-BN Sabah.

Hakikat tidak boleh ditolak, antara GRS, BN dan Warisan mempunyai kekuatan dan kelemahan masing-masing, dan kekuatan salah satu daripada blok parti itu tidak sekuat seperti mana dahulu.

Di mana kekuatan GRS? Pemimpin tertentu kuat di kawasan masing-masing, ertinya sangat bergantung pada pemimpin. BN? Kerana jenama lama, dan menyeluruh, manakala Warisan sangat bergantung pada sosok seorang- iaitu Datuk Shafie Apdal. Kerana kekuatan dan kelemahan masing-masing ini bergabung sebelum tahun 2016, maka BN Sabah mendapat jolokan Fixed Deposit BN!!!.

Untuk menjadikan rakyat Sabah sebumbung bukan mudah, selagi para pemimpin tidak sebumbung. Hakikat ini adalah telah menjadi asam garam dalam politik.

Dalam senario politik Sabah sejak akhir-akhir ini, mungkin kerana kerajaan negeri diterajui GRS-BN Sabah, maka rakyat lebih cenderung pada kerjasama dua blok parti ini, berbanding Warisan atau parti-parti lain, kecuali di kawasan majoriti kaum cina.

Yang menjadi persoalan, apa kah para pemimpin dua blok parti ini menyedarinya? Atau juga lebih sedar, akan tetapi, atas sebab mahu menjadi lebih unggul, maka menolak kehendak rakyat, melainkan memilih memaksa rakyat kehendak mereka, menerusi apa yang dipanggil bergerak solo atau dalam bahasa pilihan raya, free contest.

Sekali lagi, PRU-15 yang membabitkan parlimen, menjadi ujian bagi pemimpin Sabah, apa kah mereka mampu menjadikan rakyat sebumbung? Kerana itu lah satu-satunya cara, Sabah kelihatan kuat di peringkat Persekutuan. Fikir-Fikirkan.

No comments:

Post a Comment