Thursday, April 14, 2022

SIAPA KHIANAT?

PENULIS merasa terpanggil mengulas tomahan dan dakwaan sesetengah aktivitis politik Umno bahawa pemimpin Bersatu itu terdiri daripada kumpulan pengkhianat hanya kerana sebahagian besar daripada mereka itu adalah mantan-mantan pemimpin atau wakil rakyat Umno.

Jika parti DAP,PKR dan Amanah bertindak demikian, maka masuk akal, kerana atas tindakan Bersatu dan kumpulan Datuk Azmin Ali daripada PKR, telah menyebabkan kerajaan mereka tumbang.

Apabila kerajaan mereka tumbang (PH), Umno sebagai parti pembangkang diajak oleh pemimpin Bersatu untuk membentuk kerajaan, sehingga lah pemimpin parti itu menjadi Perdana Menteri semula pada Ogos, 2021.

Kembalinya Umno menerajui kerajaan disebabkan mantan pemimpin parti itu sanggup membakar diri menyusup parti lawan, dikala Umno tidak berkuasa lagi. Senario berbeza, jika tiada wakil rakyat parti itu menyertai parti lawan semasa Umno tidak berdaya, melainkan hanya sebagai parti pembangkang di Dewan Rakyat, dan seterusnya perlu menunggu PRU-15 untuk menyerahkan nasib pada rakyat.

Sepatutnya, para pemimpin Umno perlu berterima kasih, kerana tidak perlu menunggu sepenggal untuk menjadi kerajaan, bukannya menuduh yang membantu atau yang menggapai tangan dikala sedang tenggelam sebagai pengkhianat.

Para pemimpin parti itu, perlu menerima hakikat, sebaik sahaja kerajaan BN tumbang, parti yang berkomponenkan 13 parti, hanya berbaki 4 parti- Umno-MCA-MIC-PBRS, manakala 11 komponen telah keluar, lalu membuat pendirian mesra kerajaan Persekutuan (Kerajaan PH).

Tiada siapa yang meramalkan, bahawa BN akan bangkit begitu cepat, jika tidak berlaku gerakan politik seperti mana berlaku selepas itu. Gerakan sebahagian wakil-wakil rakyat Umno mesra kerajaan, gerakan menubuhkan Muafakat Nasional (MN), menubuhkan Gabungan Parti-Parti Sarawak (GPS), gerakan menubuhkan Perikatan Nasional (PN), adalah sebahagian daripada proses dan penyebab mengapa Umno dan BN cepat bangkit.

Perjalanan politik selepas PRU-14 sungguh unik, kerana telah berlaku, wakil-wakil rakyat yang bersama kerajaan bertindak menumbangkan kerajaan masing-masing. Tindakan pertama, adalah kerajaan BN Sabah tumbang, apabila beberapa ADUN Umno menyeberangkan menyokong parti pembangkang untuk menubuhkan kerajaan. Kemudiannya diikuti wakil rakyat Bersatu dan sebahagian wakil rakyat PKR mengajak PAS, BN dan GPS membentuk kerajaan Persekutuan, kemudian itu, wakil rakyat Umno menarik sokongan daripada kerajaan Melaka, sehingga terpaksa diadakan PRN.

Melihat pada senario politik pasca PRU-14, tiada seorangpun wakil rakyat Bersatu sekarang khianat pada Umno yang menyebabkan kerajaan yang diterajui parti itu tumbang. Apa yang berlaku, wakil rakyat Bersatu, senantiasa membawa parti itu untuk berkuasa. Semangat yang di bawa Bersatu, sesuai dengan Kongres Maruah Melayu pada Oktober, 2019. Malangnya semangat kongres tersebut, tidak diterima pakai oleh parti itu, sebaliknya, menganggap Bersatu sebagai musuh utama.

Pada PRN-16 Sabah sebagai bukti, tiada satupun kawasan yang ditandingi Umno ditandingi Bersatu, melainkan yang berlaku sebaliknya, Umno bertanding pada kawasan yang ditandingi Perikatan Nasional (PN). Sepatutnya, tidak timbul tuduhan pada para pemimpin Bersatu sebagai kumpulan khianat, sebaliknya para pemimpin atau wakil rakyat Bersatu lah menjadi penyelamat pada Umno dan BN.

No comments:

Post a Comment