Saturday, March 19, 2022

PRESEPSI TERHADAP GRS TANPA UMNO

SEBELUM ini, penulis berpendapat, bahawa jika Gabungan Rakyat Sabah (GRS) didaftarkan sebagai sebuah parti, maka akan sama kedudukannya dengan Gabungan Parti-parti Sarawak (GPS).

Penulis terlepas pandang bahawa perlembagaan parti Umno tidak membenarkan parti itu menyertai lebih satu gabungan secara rasmi, melainkan hanya menerusi persefahaman dengan parti-parti lain.

Oleh kerana telah diumumkan bahawa Bersatu dan STAR, adalah komponen dalam gabungan tersebut, sedangkan pada masa yang sama juga komponen Perikatan Nasional (PN), membawa erti, bahawa perlembagaan parti-parti itu tidak menghalang menyertai lebih satu gabungan.

Untuk sementara, kedudukan Kerajaan Negeri Sabah, tidak tergugat, walaupun terdaftarnya GRS sebagai parti politik, tanpa Umno, atas sebab pada asasnya kerajaan yang dibentuk adalah hasil persefahaman antara parti-parti atau gabungan parti-parti, menjelang PRN-16 Sabah, pada September, 2020.

Persefahaman antara Umno dengan parti-parti dalam GRS dan kini dirujuk pula sebagai persefahaman antara Umno dan GRS akan kekal, mungkin sehingga tamat penggal Sidang Dun Sabah ke-16.

Persoalannya apa kah persefahaman ini akan juga berlaku pada PRU-15 yang hanya membabitkan kawasan parlimen di Sabah? Memandangkan, perseteruan antara Umno dan Bersatu, sudah berpatah arang berkerat rotan, seperti mana berlaku pada PRN Melaka dan Johor.

Memandangkan Bersatu sudah menjadi komponen GRS bersama-sama tiga parti lain, dan akan menggunakan gabungan tersebut untuk bertanding pada PRU-15, apa kah juga Umno berpatah arang berkerat rotan dengan GRS, kerana isu parti Bersatu?

Faktor ini lah yang perlu dirungkai oleh kedua belah pihak, kerana jika tidak dicapai satu kesepakatan yang jitu yang menjurus kepada pendekatan menang-menang, maka akan berakibat buruk pada kedua belah pihak, kerana parti lain akan mendapat keuntungan, samada parti Warisan atau mungkin juga Pakatan Harapan.

Melihat senario politik semasa, merujuk pada keputusan PRN Melaka dan Johor, nampaknya Umno khususnya, sukar bekerjasama dengan mana-mana gabungan yang ada elemen parti Bersatu, kerana parti itu, telah membuat kesimpulan, bahawa parti berlambang bunga raya tersebut, merupakan pesaing utama di kalangan pengundi kaum melayu di Semenanjung.

Pandangan penulis, apa pun bentuk persefahaman ianya hanya berbentuk sementara, dan akan tamat apabila sampai ke suatu masa tertentu.

Matlamat kewujudan GRS sebagai entiti tunggal di Sabah seperti mana GPS, berhadapan ranjau-ranjau dan onak duri, kerana terpaksa terus bersaing dengan Umno menerusi Barisan Nasional (BN).

Rakyat Sabah akan berhadapan dilema, samada mendokong GRS atau BN, khususnya di kawasan-kawasan bumiputera islam.

Dua parti tersebut, walaupun bergerak dalam satu pasukan seperti mana PRN-16, masih gagal merampas kawasan-kawasan yang dimenangi Parti Warisan atau PKR. Jangan cerita lah di kawasan kaum cina, GRS atau BN, ternyata masih belum mampu mengatasi cengkaman parti DAP.

Akan tetapi, hakikat yang perlu diterima, menerusi GRS, akan berlaku kebangkitan parti-parti berasaskan KDM, dan dijangkakan, kalaupun bukan semua kawasan-kawasan majoriti kaum itu akan menyebelahi GRS,akan tetapi sebahagian besar.

Nampaknya politik Sabah, akan terus diwarnai persaingan antara parti-parti utama, yang sepatutnya perlu dinoktahkan, demi kestabilan dan pembangunan negeri dan rakyat.

Sabah sekian lama dihantui perbalahan antara parti, yang telah menjadi penyebab kerapnya bertukar kerajaan. Akibat pertukaran kerajaan yang silih berganti, telah menyebabkan kemajuan dan pembangunan Sabah ketinggalan.

Kudo pada Kerajaan Barisan Nasional yang telah bertahan selama 24 tahun bermula tahun 1994, dan kesinambungan teraju kepimpinan selama 15 tahun yang bermula pada tahun 2003, yang membolehkan Sabah mengejar ketinggalan yang begitu jauh berbanding negeri-negeri lain atau wilayah lain dalam Persekutuan Malaysia.

Impak pada kesinambungan kepimpinan yang menggariskan HALATUJU SABAH, dan telah menjadi landasan kukuh untuk diteruskan menerusi SABAH MAJU JAYA, setidak-tidaknya Sabah, terus maju dan membangun, malah perolehan dan KDNK negeri terus meningkat dari setahun ke setahun.

Apa yang dibimbangkan, landasan kukuh yang telah diketakkan, akan terbantut, seperti mana berlaku selama 26 bulan, semasa era Parti Warisan, antara Mei, 2018- Julai, 2020, jika masih berlaku perbalahan antara parti-parti, hanya kerana memenuhi ego masing-masing untuk berkuasa.

Sudah tiba masanya, para pemimpin Sabah menentukan hala tuju sendiri, tanpa bergantung pada mana-mana pihak, kerana tiada yang lebih tahu dan faham, menjaga rumah sendiri, melainkan pemilik rumah. Fikir-Fikirkan.

No comments:

Post a Comment