Tuesday, February 08, 2022

ISU KELUAR PARTI ASAM GARAM TIAP KALI ADA PILIHAN RAYA

KELUAR parti, sebenarnya merupakan asam garam tiap kali tiba pilihan raya.

Kalau dikaji dengan teliti, impak keluar parti diambang sesebuah pilihanraya, tidak lah signifikan sangat, akan tetapi ianya dijadikan sebagai senjata perang saraf oleh parti yang disertai.

Kita banyak mendapat pengajaran, pada sesebuah pilihan raya, jika seseorang calon menarik diri daripada pencalonan, dan mengistiharkan menyokong calon lain. Sepatutnya, penyokong calon yang menarik diri itu akan menyokong calon yang dia sokong. Tetapi apa yang berlaku, tidak lah demikian.

Banyak fakta pilihan raya boleh kita cari, jika kita rajin meneliti keputusan-keputusan pilihan raya yang lalu-lalu, khususnya pada pusat-pusat daerah mengundi (PDM). Tidak jarang berlaku, jumlah undi yang menyokong sesebuah parti yang disertai beramai-ramai menjelang pengundian jauh lebih sedikit berbanding jumlah ahli baharu yang menyertai sesebuah parti.

Hakikatnya, walaupun penyertaan ahli-ahli parti lain yang keluar pada parti-parti tertentu, meningkatkan sokongan moral secara umum pada parti yang menerima, akan tetapi lain impaknya pada PDM-PDM yang disertai, kerana berlakunya kecelaruan gerak kerja, kerana berlakunya konflik antara ahli lama dan yang baharu. Mengapa keadaan ini berlaku? Sebabnya, ahli baharu bertindak lebih sudu daripada kuah, selain pemimpin yang menerima, lebih akomodatif pada ahli-ahli baharu ini.

Bagi parti yang ditinggalkan, jangan lah kecewa sangat kerana ditinggalkan, demikian juga parti yang menerima, jangan lah terlampau gembira, kerana impak tindakan sedemikian tidak lah signifikan sangat pada keputusan pengundi di sesebuah kawasan mengundi.

Pada asasnya, kemenangan sesebuah parti pada sesebuah pilihan raya, apabila berlaku keputusan bersama secara kolekktif pada sesebuah kawasan, mungkin kerana menyokong sesebuah parti atau menyokong calon, ataupun kerana isu-isu setempat yang bersesuaian dengan aspirasi pengundi di kawasan-kawasan tersebut. Tidak semestinya, para pengundi terpengaruh, kerana adanya tindakan keluar beramai-ramai daripada sesebuah parti, maka menjadi penyebab, parti yang ditinggalkan akan gagal mendapat undi yang diperlukan. Demikian juga parti yang disertai, tiada jaminan akan mendapat sokongan. Apa yang jelas, para penundi di negara ini, sudah masak, dengan tindakan keluar parti menjelang adanya pilihan raya.

No comments:

Post a Comment