Monday, October 11, 2021

JANGAN SAMPAI RAKYAT MENOLAK PARTI KERAJAAN

SETIAP Kerajaan berusaha sungguh-sungguh membawa pembangunan dan kemajuan pada rakyat dan negeri. Kerana itu, rekod sangat panjang mengenainya. Akan tetapi, dengan berbekal rekod yang sebegitu, berbanding parti lawan, parti kerajaan ditolak rakyat semasa pilihan raya. Ada apa di sebalik penolakkan ini?

Faktornya adalah faktor individu. Kerana perbuatan sekumpulan individu yang terkait dengan kerajaan dan parti, maka menjadikan kerajaan atau parti yang memerintah dihukum, bagai kata peribahasa, kerana nila setitik rosak susu sebelanga, kerana seekor kerbau membawa lumpur semua terpalit.

Rakyat yang menyokong sesebuah parti atau kumpulan parti, bukan sahaja mengharapkan pembelaan daripada segi kemajuan dan pembangunan, juga mengharapkan layanan dan penghormatan. Selain itu, mereka juga mengharapkan perubahan kehidupan, sebagai hasil sokongan yang menyebabkan sesebuah parti atau kumpulan parti menjadi kerajaan.

Malangnya, apa yang berlaku, mungkin “keterujaan” kumpulan individu tertentu yang jumlahnya bukan ramaipun, dan jika menyertai pilihan raya, jumlah mereka, pasti hilang deposit, berlagak, bahawa kerajaan “ana yang punya”.

Para pemimpin yang diberi amanah untuk ditunaikan dipagar, dikawal, dan diusahakan seminumum mungkin dapat bersua dengan penyokong; sebaliknya, hanya memberi ruang, pada mereka yang tergolong “mengambil’ kesempatan, kuasa dan kedudukan, untuk memperluas, menjamin, membuka peluang baharu sebagai upaya memperkasa empayer masing-masing.

Mengapa ini berlaku? Kerana golongan ini mempunyai nilai material, berbanding penyokong tegar, yang hanya berbekalkan air liur dan semangat.

Tindakan kumpulan individu ini, menyebabkan pemimpin yang disokong rakyat semakin jauh dengan mereka. Akibatnya, penyokong membawa diri, dan pulang kampung, membawa cerita yang sukar dilupakan, dan menunggu pilihan raya, dan meluahkan perasaan mereka pada peti undi. Kerana faktor ini, calon-calon yang dikategorikan sebagai “winnable candidate” kecundang, bukan pada calon ternama, akan tetapi, pada calon-calon tanpa rekod perjuangan, tanpa rekod yang boleh dinilai oleh pengundi. Mengapa? Hanya kerana menghukum!!!.

Latar belakang politik Sabah penuh dengan catitan yang sama-sama kita jadikan iktibar. Kerajaan parti Berjaya, pimpinan Datuk Harris Salleh (kini Tan Sri), kalah teruk pada PRN Sabah tahun 1985, walaupun menang besar pada pilihan raya sebelumnya. Malah Harris, kalah di kawasan beliau pada calon pendatang baharu yang tidak ternama.

Demikian juga pada PRU-14, calon-calon yang dikategorikan sebagai “winnabale candidate” tumpas, kerana para penyokong di kawasan-kawasan tersebut membawa diri, impak dijauhkan sebelumnya. Secara jujurnya, bukan silap calon-calon atau pemimpin kerajaan, akan tetapi, sikap sekumpulan individu tertentu yang terkait dengan mereka dan kerajaan yang bertindak sudu lebih daripada kuah sehinggakan menjauhkan rakyat dengan pemimpin dan kerajaan.

Tulisan kali ini, hanya suatu ingatan pada para pemimpin, jangan sampai pisang berbuah dua kali, kesilapan yang sepatutnya tidak berlaku, tetapi berlaku. Para pemimpin perlu juga jengok-jengok di luar pagar rumah, mungkin terdapatnya, mereka yang sedang berpanas, berhujan, menunggu mendapat peluang bertegur sapa dengan pemimpin pujaan mereka.

Jangan biarkan rakyat, hanya dapat melihat pemimpin pujaan di dada-dada akhbar, skrin telepon pintar, atau di laman-laman sosial, seolah-olah tersangat dekat, tetapi sebenarnya tersangat jauh.

Yakin lah sentuhan antara manusia, mempunyai nilai yang cukup besar, berbanding, senarai rekod panjang. Syogianya, rekod panjang wajib dibarengi (diiringi) dengan sentuhan kasih, sentuhan sesama.

Syukur lah, ada pemimpin yang kalah pada PRU-14, peka dan cepat menyedari karenah orang-orang sekeliling, sehinggakan mereka memecah pagar tersebut, dan impaknya, rakyat kembali menyokong.

Pada pemimpin yang belum mengalami pengalaman sedemikian, perlu menjadikan kejadian lalu sebagai iktibar, dan jangan sekali atas faktor kesilapan, rakyat boleh menolak kerajaan. Fikir-Fikirkan.

No comments:

Post a Comment