Sunday, September 12, 2021

MERDEKA: SATU PENGAKUAN ANAK KAMPUNG


TAHUN 1963, penulis hanya berumur 3 tahun. Pada peringkat itu, tiada apa-apa yang boleh dikongsikan.

Penulis hanya ingat tahun 1965 berlakunya banjir besar. Mengapa ingat? Sawah-sawah yang biasanya tiada air, penuh air. Lembu, kerbau, kuda, biasanya liar, jadi jinak, malah, banyak yang mati.

Perahu biasanya digunakan di sungai atau laut, digunakan sehingga ke tangga rumah.

Orang kampung menjemur padi di atas “paga” dapur sebelum ditumbuk. Menumbuk padi bukan lagi di atas tanah tetapi di beranda rumah.

Makanan selain nasi juga jagung dan pisang sabah, di masak sama. Lauk tiada masalah, ikan telapia, karuk dan ikan tawar lain, cukup banyak, termasuk haruan.

Tahun 1965, masuk 3 tahun Sabah merdeka. Akan tetapi, bagi boca kecil seperti saya, tidak pernah mendengar perkataan merdeka. Mungkin kerana perkataan tersebut, perkataan melayu. Lagi pun, masa itu, tiada bahasa luar yang pernah di dengar, selain bahasa bajau-sama, dusun tabilong dan suluk.

Berita luar, bukan sahaja langsung tiada, kerana masa itu, tiada seorangpun penduduk kampung mempunyai radio, malah tiada siapa yang mengenalnya.

Buku yang dikenal hanya mukadam dan Al-qur’an. Itu sahaja buku yang bercetak yang dikenal, termasuk juga penulis. Jika ada tulisan jawi lain, kerana catitan ayah saya, yang memang suka menulis. Arwah ayah menulis, pada sebuah buku tebal berukur 12 x6 ini, mungkin catitan diari beliau. Ayah menulis, menggunakan bulu ayam, yang dicelup dengan pewarna buatan sendiri, ada yang berwarna hitam, merah dan hijau. Ramuan warna itu, kemudiannya diketahui penulis, daripada berbagai campuran kulit kayu yang dimasak sehingga menjadi cecair seperti dakwat.

Antara tahun 1965-1970, penulis pertama kali melihat kereta atau lori. Kereta atau lori tersebut adalah milik askar gorkha yang tinggal di Sorob (kini Kem Paradise). Askar gorkha masuk kampung kerana bermain di pantai. Kerana perbuatan mereka, banyak sangat perahu-perahu nelayan pecah, kerana mereka gunakan tanpa izin untuk bermain dengan ombak laut.

Di kampung, memang ada jalan tanah kampung yang dihubungkan ke tepi laut. Penulis tidak ingat bila kah jalan tersebut dibina.

Terus terang, penulis hanya tahu soal Sabah merdeka tahun 1963, pada tahun1977 apabila terbaca surat khabar lama, bahawa Sabah, Sarawak, Singapura dan Persekutuan Malaya membentuk Persekutuan Malaysia pada 16 September, 1963. Sebelum itu, penulis hanya tahu, bahawa Malaysia merdeka pada tahun 1957, apabila British memberi kemerdekaan. Juga sebelum itu, anggapan penulis, bahawa Sabah dan Sarawak serta Persekutuan Malaya, merupakan satu entiti semasa diberi kemerdekaan oleh penjajah.

Terus terang minat untuk mengetahui soal-soal kemerdekaan langsung tidak menarik minat penulis, kerana daripada awal lagi, samada di peringkat sekolah rendah atau menengah, tiada penekanan berkaitan kemerdekaan. Dalam buku sejarah, hanya berisikan cerita-cerita pejuang-pejuang yang melawan British, dan kemudiannya tarikh kemerdekaan, iaitu 31 Ogos, 1957, yang diproklamasikan oleh Tunku Abdul Rahman Al-Haj.

Ada lah satu kerugian penulis, kerana tiada mengikut pelajaran sejarah. Pelajaran sejarah hanya hingga ke tingkatan 3, itu pun, sehingga kini, penulis tidak ingat apa yang dipelajari, walaupun semasa LCE (semacama SRP), penulis mendapat skor kredit 3 (Masa itu, semakin kecil skor, maka semakin baik).

Penulis mula membaca sejarah tanah air, termasuk Sabah, selepas berjinak-jinak dengan penulisan pada tahun 1985, khususnya berkaitan politik Sabah. Bermula daripada tahun tersebut, penulis menggali sebanyak mungkin laporan atau peristiwa-peristwa politik Sabah, kerana hanya satu sebab, untuk mengisi masa lapang, kerana hanya hadir ke pejabat untuk merekodkan kehadiran, tanpa sebarang tanggungjawab yang diberikan.

Kerana memenuhi masa, maka penulis terbaca lah berkaitan 20 Perkara, Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), kemudiannya buku-buku yang ditulis oleh Dr Jeffery G Kitingan, Pandikar Amin Haji Mulia berkaitan dengannya.

Semakin banyak membaca buku-buku berkaitan Sabah, khususnya berkaitan 20 Perkara dan MA63, kemudiannya, membandingkan keadaan Sabah dan Semenanjung, maka secara perlahan-lahan, penulis menyadari, mengapa mereka yang lahir sebelum kemerdekaan, timbulnya perasaan cemburu, dan kemudiannya kecemburuan tersebut menjadi isu politik yang berlarutan sehingga kini.

Kerana faktor kecemburuan tersebut, maka telah menyebabkan, kerapnya pertukaran kerajaan di Sabah.

Isu kecemburuan muncul, kerana memang berlaku ketimpangan antara Sabah dan Semenanjung, di semua peringkat kehidupan, jika dilihat daripada pengertian kemerdekaan.

Kampung penulis, hanya mendapat bekalan elektrik pada tahun 1991, itu pun kerana adanya pilihan raya kecil Usukan, yang mana, Umno bertanding julung kalinya di bumi Sabah. Semasa kempen, Allahyaraham Encik Ghafar Baba, sungguh terkejut, kerana di merata kampung di kawasan Usukan tiada bekalan elektrik. Beliau mengumumkan bekalan elektrik perlu dipasang dengan segera. Hanya 3 hari, selepas pengumuman sebelum pembuangan undi, tiang-tiang elektrik berdiri, pendawaian berjalan dengan rancak, dan hebatnya sebelum pembuangan undi, elektrik secara rasmi masuk kampung. Menerusi tindakan tersebut, penulis membuat kesimpulan, kemudahan seperti itu mudah sahaja masuk kampung, jika ada keinginan daripada pemimpin atau kerajaan.

Kampung penulis, hanya kurang setengah jam untuk sampai ke pekan utama, dan hanya 16 kilometer daripada loji air, namun hanya tahun 2013, bekalan air bersih masuk kampung, itu pun, hanya berbentuk pemasangan paip. Orang kampung sehingga kini, masih bergantung pada “tube Well” sebagai sumber air.

Sempena Hari Malaysia yang disambut pada 16 September, 2021, dan Sabah sekali lagi menjadi Tuan Rumah.

Tidak dinafikan kerana adanya kemerdekaan, maka ramai sudah anak-anak Sabah pasca merdeka menjadi orang, walaupun mereka, masih berhadapan dengan kemudahan asas yang diperlukan bagi sebuah negeri merdeka.

Baru-baru ini, penulis terbaca, ADUN Karambunai, secara sinis meminta Pengarah Jabatan Air Sabah meletakkan jawatan, kerana gagal mengatasi masalah air di kawasan Sepanggar, kawasan moden atau kawasan maju di kawasan ibu negeri, Kota Kinabalu. Cuba bayangkan, di kawasan bandar atau kawasan maju pun berhadapan dengan masalah air dengan teruk, apa tah lagi kawasan-kawasan di pedalaman, dan sudah tentunya termasuk kampung penulis.

Pendek kata, walaupun negeri merdeka selama 58 tahun, isu kemudahan asas, merupakan isu utama, bukan sahaja isu air, malah bekalan elektrik dan jalan-jalan raya.

Mungkin atas sebab faktor-faktor ini, isu kecemburuan di kalangan penduduk Sabah atau rakyat Sabah, tidak akan padam dalam masa singkat, selagi keseimbangan pembangunan tidak tercapai.

Ada lah perjuangan pemimpin semasa Sabah, untuk mengwujudkan keseimbangan pembangunan antara Semenanjung dan Sabah, jika tidak, faktor kecemburuan ini, akan terus berkumandang, dan menjadi isu utama dalam politik.

Bayangkan dalam keadaan pandemik Covid-19 pun, walaupun Sabah menjadi punca mencanak naiknya jangkitan ekoran PRN-16 Sabah pada September tahun lalu, kadar pemvaksinan Sabah tercorot dalam negara. Tercorotnya kadar pemvaksinan, bukan kerana kerajaan negeri tiada kemampuan memberi vaksin, akan tetapi kekakangan kekurangan vaksin pada awal program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).

Pada awal PICK, apabila ada penduduk yang tiada temu janji datang ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV), pada awalnya di klinik-klinik kesihatan atau hospital terpilih, awal-awal lagi barisan hadapan memberi tahu “no walk-in” vaksin. Anda semua perlu mendaftar terlebih dahulu, dan tunggu panggilan. Bayangkan yang mendaftar pada 23 Februari, 2021, hanya mendapat jadual pada Julai, 2021, 5 bulan selepas itu.

Jika sekiranya 58 tahun kemerdekaan, benar-benar digunakan membangun, menyediakan kemudahan kepada rakyat, sudah tentunya, kesulitan-kesulitan yang dihadapi masa ini, tidak akan berlaku.

Tulisan ini, hanya menceritakan sepintas, pengalaman penulis, tidak mewakili sesiapa, jika ada yang kebetulan mempunyai pengalaman yang sama, maka kita geng!!!.

Walaupun apapun, penulis mengucapkan Selamat Hari Malaysia Tahun 2021!!!.

No comments:

Post a Comment