Tuesday, April 09, 2019

APA YANG CUBA DILAKUKAN WARISAN?

TERCERMIN sangat bahawa Datuk Seri Shafie Apdal, TIDAK dapat menerima kemasukan PPBM ke Sabah. Sudah lah beliau tidak hadir semasa perasmian, meskipun dijemput, malah kerusi VVIP telah disediakan oleh penganjur. 

Ketidak gembiraan Shafie, terlihat sungguh di wajahnya, semasa menyambut ketibaan Tun Dr Mahathir pada 6 April. Melihat wajah Ketua Menteri Sabah daripada beberapa sudut yang ditularkan di media sosial, bukan sahaja muka muncung, malah seolah-olah menahan geram yang amat sangat.

Pada Ahad selepas merasmikan Mesyuarat Agung Parti beliau di Bahagian Semporna, apabila diminta memberi komen berhubungan kemasukan PPBM ke Sabah, beliau dengan jelas menyatakan bahawa kerjasama Warisan dan PPBM hanya diperingkat Pusat.

Melihat ketidak sudian Shafie terhadap kehadiran PPBM ke Sabah, akan mencabar para pemimpin parti itu di Sabah, kerana kemungkinan mereka ini akan hilang sabar, kerana huluran persahabatan (olive branch) tidak bersambut.

Melihat komen-komen penyokong dan pemimpin pertengahan parti itu di laman sosial, mengambarkan betapa tidak senangnya mereka terhadap kehadiran PPBM, malah ada yang terlepas kata, mereka tidak mahu campur tangan parti import, sehinggakan mereka terlupa sedang berpelukan dengan parti import, DAP dan PKR.

Bagi penulis, satu perkara sahaja mengapa Warisan phobia sangat dengan PPBM, atas sebab Warisan dan PPBM berebut ikan daripada kolam yang sama. Warisan mahu merebut ahli-ahli Umno, demikian juga PPBM. 

Sebenarnya, perebutan antara dua parti ini daripada kolam yang sama, akan menguntungkan mereka yang direbut itu, kerana sudah tentunya tawaran yang lebih baik akan diikuti atau disokong. Beruntunglah ahli-ahli Umno, kerana direbut oleh tiga parti yang berpotensi menjadi peneraju kerajaan negeri, termasuk tunjang kerajaan Persekutuan (Umno dan PPBM).

Dalam perebutan ini, sudah tentu, pihak mana yang boleh memberikan tawaran yang lebih baik akan menjadi pilihan. 

Pengalaman politik Sabah, parti tempatan akhirnya akan kecundang seperti mana dialami PBS. Selepas kejatuhan PBS, untuk pertama kalinya kerajaan Sabah tidak bertukar selama 24 tahun, sedangkan sejak merdeka, setiap 9 tahun bertukar kerajaan.

Mengambil pengalaman kerajaan Sabah yang diterajui Umno bertahan selama 24 tahun, seharusnya Shafie, bukan sahaja menyambut huluran persahabatan PPBM, akan tetapi seharusnya beliau menyambut kedatangan parti itu, seperti kata peribahasa, kecil tapak tangan, nyiru ditadahkan.

Shafie kena ingat, politik itu sendiri merupakan seni. Para pemimpin PPBM Sabah yang diterajui Datuk Hajiji Haji Noor merupakan pakar-pakar seni politik. Mereka ini, seperti juga beliau mempunyai kemampuan mempengaruhi rakyat, mempengaruhi pengundi, apa tah lagi, Hajiji merupakan wakil rakyat 7 penggal, malah mempunyai dua kelulusan politik, pertama daripada Universiti Usno dan kedua Universiti Umno.

No comments:

Post a Comment