Thursday, October 04, 2018

6 ANGGOTA BOMBA MAUT DIKENAL PASTI

ENAM bomba yang lemas ketika operasi menyelamat remaja di lombong di Puchong dikenal pasti dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pelabuhan Klang dan BBP Shah Alam.

Empat anggota BBP Pelabuhan Klang iaitu Mohd Fatah Hashim, 34: Izatul Akma Wan Ibrahim, 32; Mazlan Omarbaki, 25, dan Yahya Ali, 24.

Dua lagi, anggota dari BBP Shah Alam iaitu Adnan Othman, 33, dan Muhammad Hifdzul Malik Shaari, 25.

Jurucakap bomba Selangor berkata, sebelum kejadian, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian lemas membabitkan seorang remaja lelaki, pada jam 5.19 petang tadi.

“Seramai 10 anggota bersama dua jentera dari BBP Cyberjaya dan Shah Alam dikerahkan ke lokasi kejadian selain dibantu beberapa anggota Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) dari BBP Shah Alam dan BBP Pelabuhan Klang.

“Bagaimanapun, ketika operasi SAR, enam anggota PPDA terbabit dilaporkan lemas,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Katanya, pasukan perubatan yang berada di lokasi memberi bantuan pernafasan kecemasan (CPR) kepada semua mangsa.

“Namun, kesemua mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian dan mayat mereka dihantar ke Hospital Serdang untuk bedah siasat,” katanya.

Bagaimanapun, remaja lelaki yang dilaporkan lemas di lokasi berkenaan masih belum ditemui.

No comments:

Post a Comment