Saturday, September 29, 2018

APA HALATUJU UMNO SABAH?

Penulis terbaca beberapa kenyataan pemimpin Umno Sabah, bahawa sebahagian asas kepada parti itu meminta autonomi daripada UMNO Pusat, kerana dua isu, iaitu Bangsa Melayu dan kerjasama dengan Parti Pas.

Berkaitan dengan "Bangsa Melayu" menjadi punca parti Umno Sabah memisahkan diri dengan Umno Induk, kerana terpengaruh dengan anggapan bahawa kekalahan ramai calon parti itu pada PRU-14 kerana jenama parti Malaya, sinonim dengan bangsa melayu yang hanya "ada" di Semenanjung. Benar kah demikian? Bagi pendapat penulis, anggapan itu tidak semestinya benar, kerana melihat kepada keputusan PRU-14.

Parti DAP adalah parti Malaya, namun menang 100% pada kawasan yang ditandingi, termasuk mengalahkan calon-calon parti tempatan.

Sebagai rekod, PRU-2004, 2008 tiada calon Umno Sabah yang tewas, keculai pada PRU 2013, di DUN Klias, calon parti kalah kepada mantan pemimpin parti, pun demikian kekalahan hanya 179 undi. Pada PRU lalu kawasan itu ditawan semula.

Kawasan-kawasan DUN Umno yang kalah pada PRU lalu adalah Banggi, Karambunai, Petagas, Pantai Manis, Sindumin, Bongawan, Sindumin,Gum-Gum, Sekong, Tungku, Lahad Datu, Kunak, Sulabayan, Senallang dan Bugaya.

Melihat rekod lalu, kawasan-kawasan ini adalah kubu kuat parti Usno, yang mana semasa parti itu menguasai kawasan-kawasan itu Usno bertindak parti pembangkang Sabah, akan tetapi ahli komponen Bn Pusat yang diterajui Umno.

Demikian juga semasa Umno mula melebarkan sayapnya ke Sabah pada tahun 1990, secara rasminya pada tahun 1991, kawasan-kawasan yang kalah itu, adalah kawasan-kawasan yang dimenangi Umno sehinggalah pada PRU-13.

Kalau isu, bahawa kekalahan calon-calon Umno di kawasan itu kerana faktor "malaya" atau "bangsa melayu" mengapa Dun Karanaan  dan Kemabong yang majoritinya KDM, dimenangi calon Umno?

Kalau lah alasaan utama, keinginan Umno Sabah meminta status autonomi, kerana faktor malaya atau bangsa melayu, penulis yakin, keputusan itu menyimpang daripada keputusan rakyat Sabah secara amnya. Sebabnya, berasaskan kemudahan telekomunikasi masa ini, adalah mustahil 17 kawasan lain yang dimenangi Umno tidak menerima tempias pengaruh Sabah For Sabahann dan Sabahan for Sabah.

Penulis juga melihat kepada kemenangan 5 calon UPKO dan 6 PBS pada PRU itu, tidak kan kawasan itu tidak ditembusi oleh slogan Parti Warisan Sabah? kerana dua parti itu rakan Umno!!!

Kekalahan teruk calon-calon parti Parti Gabungan Sabah (STAR, SAPP, HR) yang jelas fokus kepada Sabah, menidakkan anggapan, bahawa kekalahan calon-calon Umno kerana faktor parti Malaya dan Bangsa melayu.

Bagi konteks Sabah, hakikat yang perlu diterima faktor penentu adalah pertembungan antara personaliti dan suku kaum para pemimpin Sabah. Jika dilihat kawasan-kawasan Umno yang dirampas Parti Warisan Sabah, lebih tertumpu kepada personaliti dan bangsa Sabah bukannya berasaskan isu-isu yang kini menjadi asas Umno Sabah meminta autonomi, iaitu isu parti malaya dan bangsa melayu.

Melihat kepada keputusan PRU-14, argumentasi para pemimpin Umno Sabah meminta autonomi kepada isu yang disebutkan (isu parti Malaya aka bangsa melayu ), tidak mempunyai signifikasi yang kuat, dan kalau diuji hipotesa itu, ianya tidak akan dapat dibuktikan sebagai benar.

Mungkin para pemimpin Umno Sabah masih tidak yakin, bahawa punca utama kawasan-kawasan Umno ditawan parti Warisan, punca utamanya adalah isu 1MDB dan dana RM2.6bilion, selain pertembungan personaliti dan bangsa ditambah dengan mengkambingkan GST, juga aktor pemecatan Datuk Shafie Apdal daripada kabinet Kerajaan Persekutuan. 

Faktor pemecatan pemimpin sangat sensitif kepada rakyat Sabah, di mana sebelum ini sebuah kerajaan dihukum kerana pemecatan pemimpin kaum. Juga, kemenangan Datuk Lajim Ukin di DUN Klias pada PRU-13, ada hubungkait dengan pemecatan. Faktor Lajim tidak memberi impak besar, kerana beliau tidak dipecat melainkan meletakkan jawatan.

Berkaitan dengan faktor 1MDB dan dana RM2.6bilion salah satu penyebab penolakan terhadap calon-calon Umno ianya dapat dibuktikan apabila dua pemimpin Umno Sabah yang bersatus menteri kanan Persekutuan yang dijoloki sebagai pembela utama 1MDB dan dana RM2.6bilion kecundang pada PRU lalu.

Penulis sehingga kini masih percaya, bahawa kekalahan calon-calon Umno bukan kerana faktor parti itu parti yang didaftar di Malaya dan membawa nama "bangsa melayu", akan tetapi lebih kepada penolakan rakyat terhadap pemimpin parti yang terpalit dengan isu 1MDB dan dana RM2.6bilion, selain pertembungan personalti dan suku bangsa para pemimpin Sabah sendiri.

Fakta yang menyokong, bahawa kekalahan calon-calon Umno bukan kerana faktor asal parti, dapat diihat pada kekalahan teruk calon-calon LDP kepada DAP.

Sayogianya, alasan muktabar Umno Sabah meminta autonomi, adalah supaya parti dapat mencatur, menggariskan halatuju sendiri, sesuai dengan aspirasi dan kepentingan rakyat Sabah, tanpa terikat dengan pemimpin di luar Sabah, kerana pemimpin Sabah lah yang tahu serba serbi berkaitan rakyat Sabah, bukannya alasan parti malaya atau bangsa melayu.

Berkaitan dengan hasrat Umno Sabah itu, penulis ingin mengimbau kembali pemerintahan PBS 1985-1994 yang berorentasikan 100% Sabahan, walaupun sebahagian daripada parti komponen Bn, sehingga tahun 1990, namun perihal negeri sama sekali tidak tertakluk kepada mana-mana pemimpin luar, pun demikian PBS kehilangan kuasa bermula daripada tahun 1994 sehingga 2004, hanya selepas PRU-2004, PBS dilantik dalam Kabinet Sabah, walaupun menyertai semula Bn pada tahun 2002.

Boleh kah Umno Sabah berkempen dan memberi tahu rakyat, bahawa KAMI SEKARANG BUKAN LAGI PARTI MALAYA, BUKAN PARTI BANGSA MELAYU, maka sokong lah kami? Jika cara ini digunapakai, maka menjadi tertawaan Parti Warisan Sabah, kerana pendekatan itu bagaikan menembak merata, tanpa mengena sasaran.

Sebenarnya, hakikat kepada keinginan UMNO Sabah mendapatkan autonomi, bukan kerana soal Bangsa Melayu atau kerjasama dengan parti Pas, akan tetapi lebih kepada autonomi membuat keputusan.

Faktor pembuat keputusan ini timbul semula, apabila tertubuhnya parti Warisan Sabah yang membawa pendekatan Sabah for Sabahan, Sabahan for Sabah, sesuai dengan Perjanjian Pembentukan Malaysia Tahun 1963.

Parti pimpinan Shafie itu pada awal penubuhannya, berdegar-dengar bukan sahaja tidak mahu bekerjasama dengan parti daripada luar Sabah, akan tetapi mencangkan bahawa pemimpin negeri tidak boleh dicatur oleh mana-mana pemimpin di luar Sabah, melainkan Sabah bebas membuat keputusan sendiri, halatuju sendiri sesuai dengan kepentingan dan kemahuan rakyat.

Hakikatnya, berjayanya parti Warisan Sabah mendapat 15 kawasan Umno bukan kerana faktor slogan parti itu, kerana slogan itu termansuh dengan sendirinya apabila parti pimpinan Datuk Seri Shafie Apdal itu berkolaborasi dengan parti malaya, Pakatan Harapan.

Pada pandangan penulis, rakyat Sabah menentukan pilihan pada PRU lalu berasaskan faktor personaliti antara pemimpin Sabah, faktor 1MDB dan dana RM2.6bilion, faktor pemecetan Datuk Seri Shafie Apdal, dan faktor-faktor sampingan seperti GST dan isu-isu tempatan lain.

Penulis masih yakin, rakyat Sabah masih memberi pertimbangan kepada personaliti pemimpin kemudiannya parti pada PRU-15 akan datang.

Umno Sabah, PBS dan STAR, perlu mengambil iktibar keputusan PRU-14, beberapa personaiti tewas, bukan kerana ditolak, tetapi rakyat melihat, garis masa mereka sudah luput!!!!

Apabila Umno Sabah mendapat autonomi, maka tidak terikat lagi dengan isu-isu nasional, tetapi hanya tempatan, atas sebab itu, rakyat masa itu akan tertumpu sepenuhnya kepada personaliti.

Jelas di pihak Parti Warisan Sabah personalitinya adalah Datuk Shafie Apdal, di pihak Umno Sabah pula adalah Datuk Hajiji Haji Noor. Pertembungan personaliti ini lah yang bakal mencorak politik Sabah dalam 5 tahun sehingga PRU-15, kerana parti yang menguasai kawasan bumiputera islam akan menentukan Kerajaan Negeri.

No comments:

Post a Comment