Monday, August 26, 2013

Naib Presiden Umno: Kenapa Safie Gelabah?

JAWATAN NAIB PRESIDEN PARTI- Belumpun Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman membuat keputusan sama ada mahu mempertahankan jawatan ahli majlis tertinggi Umno atau bertanding jawatan Naib Presiden Umno, tetapi salah seorang penyandang jawatan itu yang mahu mempertahankan jawatannya "telah" gelabah.

Adalah mengejutkan apabila salah seorang penyandang jawatan itu Datuk Seri Shafie Apdal berkata, “Kalau ada (pemimpin) datang dari Sabah, pilihlah yang lebih afdal. Tapi saya yakin tak ada. Kalau ada, pilihlah yang afdal, kalau tak keberatan,” katanya dalam satu Majlis di Negeri Sembilan minggu lalu.

Adakah Menteri Pembangunan Luar Bandar itu lebih AFDAL dari Musa Aman? Apakah maksud beliau berkata demikian seolah-olah beliau yang lebih afdal dari Musa yang telah terbukti berjaya memacu ekonomi negeri Sabah sejak mengetuai pimpinan negeri lapan tahun lalu.

Perseteruan di antara Musa dengan Shafie bukan rahsia lagi. Musa masih berdiam diri tetapi kenapa Shafie perlu mengeluarkan kenyataan seperti itu?

Apakah kejayaan Shafie yang boleh dibanggakan di Kementerian Pembangunan Luar Bandar? Adakah prestasinya lebih baik dari Musa? seharusnya Shafie tak perlu mengangkat bakul sendiri  seolah-olah beliau lebih afdal dari Musa.

Memanglah mengendalikan kementerian di peringkat pusat memberi kelebihan kepada beliau untuk meraih undi tetapi perwakilan sudah matang dalam memilih Naib Presiden Umno kali ini.

Selain dari Shafie, Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Bung Moktar Radin turut mengeluarkan kenyataan yang bersifat rungutan. Beliau yang juga ahli Majlis Tertinggi Umno berkata beliau “tidak nampak sebab besar” mengapa Musa perlu bertanding jawatan ketiga tertinggi dalam hiraki parti itu.

“Kalau boleh, pada pandangan saya, wajar kita memberi (peluang) kepada pemimpin yang telah berada di situ untuk memastikan kesinambungan dalam kepimpinan tertinggi parti, demikian kata MP Kinabatangan itu.

“Kalau dua calon dari Sabah, saya nampak, (peluang) kedua-dua mereka pasti terjejas. Perwakilan mungkin tidak akan memberi sokongan kepada pemimpin dari Sabah untuk menerajui pimpinan yang lebih tinggi,” katanya.

Nampaknya Shafie dan Bung Mokhtar membuat kesimpulan yang bersifat mendahului, sedangkan Musa tidak pernah mengesahkan akan bertanding walaupun didesak oleh 21 Bahagian di Sabah.

Di dalam soal ini, AYT memuji  ulasan Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Seri Salleh Said Keruak yang berkata mana-mana pihak tidak seharusnya membuat rumusan awal memandangkan Musa masih belum membuat apa-apa keputusan.

“Saya ingin menekankan bahawa Musa yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah masih belum membuat sebarang keputusan mengenai perkara ini. Jadi, persoalan mengenai bertanding tidak timbul,” katanya ketika ditemui dalam majlis Rumah Terbuka Aidilfitri UMNO Kota Belud Sabtu lalu yang bertempat di Dewan Datuk Musbah Kg Taungusi. Pada majlis itu Musa dan mantan Ketua Menteri Melaka Datuk Ali Rustam turut hadir.

Menurut Salleh, masih terlalu awal untuk mana-nama pihak membuat kesimpulan sama ada Musa akan bertanding atau tidak jawatan itu

Katanya, UMNO Sabah hanya menyatakan sokongan padu kepada Musa sekiranya beliau memutuskan untuk bertanding dan apa sahaja keputusan Musa akan diterima baik.

Sebelum ini Salleh yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Usukan menyatakan Musa adalah antara calon terbaik untuk bertanding jawatan itu dan mendapat sokongan daripada UMNO Sabah, menyusul cadangan daripada pihak-pihak tertentu agar beliau bertanding jawatan Naib Presiden, atas sebab keupayaannya dalam segi waktu dan jadual serta kemampuan beliau mengayumi bahagian-bahagian Umno terutama di Sabah.

Perebutan jawatan Naib Presiden UMNO dijangka sengit apabila tiga penyandangnya  telah menyatakan mempertahankan jawatan masing-masing pada pemilihan parti 19 Oktober ini.  Selain Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi , mantan penyandang jawatan itu Tan Sri Mohd Isa Samad akan turut bertanding. Seorang lagi mantan penyandang jawatan itu Datuk Ali Rustam juga mengintai jawatan yang pernah disandangnya itu.

Bagi AYT, sesiapa sahaja yang bertanding, berilah peluang kepada perwakilan untuk memilih Naib Presiden Umno yang benar-benar afdal dan dapat membantu Presiden dan Timbalan Presiden bagi menyusun hala tuju parti akan kekal relevan sepanjang masa demi kepentingan bangsa, agama dan negara.

1 comment:

  1. Kejayaan afdal shafie adalah mengkayakan kontraktor cina terutama di Sarawak , siapa org umno undi afdal shafie adalah bodo belaka

    ReplyDelete