Thursday, August 15, 2013

Kenapa Perlu Wujud Kerajaan Perpaduan?

KEPUTUSAN Pilihanraya Umum merupakan tolok ukur kehendak rakyat. Melalui pilihanraya umum rakyat telah membuat keputusan, kerajaan yang bagai mana yang dikehendaki. Untuk itu, parti mana yang mampu mendapat kerusi terbanyak dan seterusnya membentuk kerajaan, perlu dipertahankan sesuai dengan aspirasi rakyat.

Sekiranya keputusan yang dibuat oleh rakyat diubah suai oleh mereka selepas sesuatu piliahnraya umum, seolah-olah parti  atau pemimpin yang menang itu tidak menghormati aspirasi dan kehendak rakyat.

Pada PRU-13 lalu, rakyat sudah berbicara dan telahpun membuat keputusan dengan memberikan 133 kerusi Parlimen kepada Barisan Nasional dan 89 kerusi Parlimen kepada PKR-DAP-PAS. Melalui keputusan itu, rakyat negara ini mahu mengwujudkan satu kerajaan yang tidak boleh melakukan sesuka hati bagaimana mengurus kerajaan terutama yang berkaitan dengan kekayaan negara.

Rakyat telah memutuskan satu kerajaan yang mempunyai kuasa majoriti bukan kuasa 2/3, kerana rakyat telah maklum, bahawa kerajaan yang mempunyai kuasa tradisi itu, mempunyai kecenderungan membuat sesuatu tindakan yang melampui aspirasi rakyat yang memberi mandat.

Rakyat telah melihat, sejak tahun 2008, selepas kuasa tradisi 2/3 tidak dimiliki parti yang membentuk kerajaan, maka rakyat benar-benar diberi perhatian dan mengembalikan kuasa rakyat di tempat yang sepatutnya.

Kini, selapas tahun 2008, pendekatan kerajaan terutama para pemimpinnya telah berubah dan menyahut kehendak rakyat. Bahkan, para pemimpin telah mengubah pendekatan, daripada taraf VVIP kepada taraf mesra rakyat, dan mengambil pendekatan yang pro-rakyat umpamanya pendekatan "turun padang"; "tanpa permaidani merah" (tanpa bunga manggar"; pemimpin bertemu rakyat tanpa protokol yang ketat dan seumpamanya.

Sebenarnya menurut pemerhatian AYT, para pemimpin sudah berubah secara menyeluruh; hanya yang belum berubah adalah para pegawai yang dilantik membantu para pemimpin. Sifat-sifat "lebih sudu daripada kuah" masih berlaku. Sekiranya sifat-sifat ini terhapus, maka rakyat akan senang hati dan sudah tentunya memperpanjang hayat setiap pemimpin dalam dunia politik.

Pada PRU-13 lalu, para pemimpin BN yang tidak mesra rakyat telahpun dihukum oleh rakyat dan sekaligus menamatkan kerajaya mereka dalam jawatan politik; walaupun bukan kesemuanya, seperti Mantan Ketua Menteri Melaka dan Johor.

Ura-ura "pembentukan Kerajaan Perpaduan" sepertimana ditulis di berbagai media seharusnya tidak timbul. Sekiranya diwujudkan kerajaan perpaduan atau apapun istilahnya antara Parti yang menang dengan yang kalah selepas pilihanraya umum, maka erti mandat daripada rakyat seolah-olah diperlekeh dan tidak dihormati.

Seharusnya kerajaan yang diberi mandat perlu menghabiskan tempoh yang diberikan dan jika sekiranya wujud perundingan, maka ianya diadakan sebaik tempoh itu akan berakhir dan masa kembali kepada rakyat untuk meminta mandat semula.

Jangan sama sekali mengkhianti mandat dan kepercayaan rakyat; kerana ianya akan membawa padah yang sangat pedih.

No comments:

Post a Comment