Thursday, January 17, 2013

PRU-13: Orang Melayu Hanya Boleh Salahkan Diri Sendiri Kalau Hilang Kuasa

Di sebalik demam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) semakin dirasai, Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini mengingatkan orang Melayu bahawa mereka bukan sekadar bakal berhadapan dengan pilihan raya umum biasa, sebaliknya bakal menentukan percaturan survival masa depan.

Dalam mencapai matlamat itu, bekas Perdana Menteri berkata, orang Melayu sebenarnya boleh membuat keputusan sama ada yang akan mendatangkan kebaikan ataupun keburukan terhadap masa depan bangsa mereka sendiri.

PRU13 dilabel sebagai ibu kepada segala pilihan raya umum negara ini.

Malah katanya, “orang Melayu boleh membuat pilihan yang akan memberi kebaikan hanya pada masa ini tetapi masa depan yang akan terkubur.

“Jadi, apa yang kita nak ramal untuk masa depan kita?

“Saya berpendapat, orang Melayu cuma mempunyai dua pilihan.

"Bagi yang sedar, mereka akan mempertahankan kedudukan mereka dan bagi yang tidak sedar, mereka akan berkata keadaan adalah biasa... kami orang Malaysia dan kita tidak perlu kaitkan diri kita dengan Melayu lagi, kita juga akan berjaya,” 

Beliau berkata demikian pada program Bicara Minda Tun Dr Mahathir Mohamad bertajuk "Masa Depan Melayu & Islam Selepas PRU13" di Kompleks Kumpulan Media Karangkraf, Shah Alam hari ini.

Dr Mahathir dilantik sebagai Perdana Menteri dan telah memimpin Barisan Nasional pada PRU 1982, 1986, 1990, 1995 dan 1999 dan tidak pernah Bn kehilangan kuasa 2/3 Dewan Rakyat.

Menyentuh pelbagai aspek berkaitan dengan masa depan politik orang Melayu, Dr Mahathir berkata, masa depan orang Melayu adalah berdasarkan apa yang difikirkan dan kebolehan bangsa itu membuat pertimbangan, terutamanya sejauh mana kecekapan mereka untuk meneka apa dan akan berlaku berasas pada apa yang sudah berlaku.

Katanya, tidak ramai yang membuat kajian sendiri mengenai perkara seperti ini dan rata-rata apabila orang Melayu berasa marah, mereka sekadar melepaskan rasa marah.

“Kita tidak bertindak untuk mengatasi masalah, sebaliknya kita hanya marah.

"Mengapa kita kata begitu... tak baik, itu sahaja, sebaliknya kita perlu bertindak bukan untuk mengganas seperti di negara-negara yang lain dengan mengikat bom pada badan dan letupkan diri kita.

“Hanya yang dikehendaki, kita harus berfikir secara mendalam tentang masa depan kita dan bagaimana menyelamatkan dan memajukan masa depan kita,” jelas beliau.

Dr Mahathir yang juga bekas Presiden Umno menambah, sebagai sebuah negara demokrasi, keputusan banyak bergantung kepada pemilihan orang Melayu termasuk pemilihan tentang siapa yang mampu mentadbir negara.

Ujarnya lagi, jika orang Melayu bertindak berasaskan emosi dan terutamanya kebencian, beliau yakin masa depan orang Melayu tidak akan terjamin.

“Sebaliknya, jika berfikir secara mendalam, berasaskan kepada pengalaman kita berasaskan keadaan, sejarah dan keadaan yang kita lihat sekarang, saya yakin kita akan membuat pilihan bijak.

"Pilihan yang bijak akan menentukan masa depan kita akan terselamat," katanya.

Dr Mahathir, seorang doktor perubatan sebelum menceburi politik dan pernah menghasilkan buku Dilema Melayu yang popular berkata:

"Kita juga harus ingat orang Melayu ini juga yang beragama Islam."

"Kalau orang Melayu gagal, disingkir dan diketepikan dan menjadi kaum yang termiskin dalam negara kita ini, percayalah agama Islam juga akan menghadapi masalah," kata beliau.

No comments:

Post a Comment