Tuesday, March 06, 2012

PRU-13- Najib boleh bawah BN menang cemerlang: Daim

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dilihat sudah bersedia untuk membawa negara ke hadapan setelah diuji dengan pelbagai dugaan serta ranjau yang paling sukar, kata bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin.

Beliau berkata, sejak 1976 sehingga kini, Najib telah menunjukkan kebolehan menyelusuri dan mengasah bakat dalam arena politik, berkemahiran, mempunyai kelebihan senioriti, pengalaman serta mempunyai rangkaian yang lebih baik berbanding mereka yang seusia mahupun yang lebih senior dengannya.

"Jika anda membezakan ciri-ciri antara kedua-dua pemimpin, Anwar (Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim) dan Najib, anda akan terdorong untuk memberi markah yang lebih tinggi kepada Najib. Najib pada hemat saya telah mendapat banyak manfaat sebagai anak kepada Tun Razak.

"Beliau telah berada dalam Pemuda Umno beberapa tahun sebelum kemasukan Anwar, beliau telah biasa dengan personaliti dan isu-isu yang melanda dan terbukti pemikirannya amat tajam di dalam mesyuarat tertutup, beliau sangat berkeyakinan dan mampu untuk berdepan dengan khalayak ramai,” katanya dalam satu wawancara yang disiarkan oleh Mingguan Malaysia semalam.

Daim berkata demikian ketika diminta mengulas perkembangan politik tanah air pada tahun 2012.

Sambil melahirkan rasa optimis dengan suasana politik pada tahun ini, beliau berkata, pembaharuan politik yang diamalkan oleh kerajaan kelihatan lebih berkesan terutama dengan pemansuhan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

"Pihak kerajaan telah mengambil beberapa inisiatif dan tindakan yang dahulunya akan diambil oleh pihak Pakatan (Rakyat) seperti langkah memansuhkan ISA. Saya melihat Akta Perhimpunan Aman adalah pemangkin utama perubahan.

"Pada mulanya, ia mencetus pelbagai kritikan tetapi keputusan untuk membenarkan penyokong Anwar berkumpul di luar mahkamah pada 2 Jan lepas, dalam semangat akta baru yang pada ketika itu belum diwartakan, telah menyebabkan para pengkritik terdiam," katanya.

Daim, yang juga bekas Bendahari Umno selama 17 tahun, berkata isu paling penting pada masa ini adalah sama ada Barisan Nasional (BN) bersedia untuk bergerak ke hadapan bersama-sama Najib.

Mengenai pilihan raya umum ke-13, Daim berkata beliau percaya BN mempunyai kelebihan yang lebih baik untuk mendapat keputusan lebih cemerlang sekarang berbanding tahun-tahun sebelumnya.

"Jika anda menonton perlawanan tenis, maka saya akan berkata BN mempunyai kelebihan; ia adalah seperti Nadal vs Federer atau Nadal vs Djokovic. Ini adalah perlawanan hebat, yang pada akhirnya, siapa membuat kesilapan yang kurang akan memenangi perlawanan," katanya.

Mengenai kempen Anwar memburukkan kerajaan di luar negara, Daim berkata ia bukanlah perkara baru memandangkan Anwar telah berbuat demikian sejak zaman pentadbiran Tun Dr Mahathir Mohamad lagi.

"Di satu sudut, Najib-Anwar tidaklah membangkitkan satu situasi seperti mana banyaknya episod Mahathir-Anwar. Sebahagiannya kerana Najib tak ambil peduli pun untuk menyatakan sentimen yang kuat untuk menentang Anwar," katanya.

Daim berkata mungkin terdapat pelobi yang menjelajah ke luar negara untuk bercakap dari sudut berita Najib-Anwar untuk memastikan berita itu tidak surut. Bernama

No comments:

Post a Comment