Tuesday, February 14, 2012

Whitney Houston korban arak, dadah

LOS ANGELES: Whitney Houston dilaporkan mati akibat campuran sejumlah ubat-ubatan termasuk pil merawat tekanan dikenali dengan nama dagangan Xanax dan alkohol.

Sumber berkata, pegawai koroner Los Angeles memberi tahu keluarga Whitney, kandungan air di paru-paru penyanyi popular itu tidak mencukupi untuk menganggap dia lemas dalam tab mandi di bilik Hotel Beverly Hilton.

Malah, kata sumber itu, koroner percaya Whitney mati sebelum kepalanya tenggelam di dalam tab berkenaan.

Laman sesawang gosip TMZ melaporkan, mayat Whitney sebenarnya ditemui ibu saudaranya, Mary Jones, bukan pengawal peribadi seperti dilaporkan kelmarin.

Pada Khamis, Whitney dilihat berpesta sehingga mabuk dan sempat bergaduh dengan pengawal keselamatan pusat hiburan berkenaan.

Petang keesokan harinya, Whitney sekali lagi berpesta secara melampau.

Kata sumber, beberapa botol Lorazepam, Valium, Xanax dan ubat tidur ditemui di bilik Whitney.

“Ubat itu dipercayai bertindak sebagai penenang, menyebabkan Whitney tertidur dalam tab mandi sebaik saja ia bercampur dengan alkohol yang diambil petang sebelumnya,” katanya.

Pejabat koroner Los Angeles secara rasmi enggan memberi komen terhadap khabar angin mengenai penemuan air dalam paru-paru Whitney yang boleh mengaitkannya dengan insiden lemas.

Maklumat lanjut mungkin hanya dikeluarkan selepas semua siasatan disiapkan dan ia dijangka mengambil masa antara satu hingga dua bulan.

Polis juga tidak membenarkan sesiapa melawat mayat berkenaan selagi ia berada dalam kawalan mereka.

TMZ melaporkan, pada peringkat awal ramai pihak percaya mayat Whitney ditemui bekas teman lelakinya yang muda 17 tahun, Ray-J.

Namun, Ray-J mendakwa dia tidak berada “di mana-mana tempat berhampiran lokasi kejadian” tetapi tetap bersedih.

“Dia ada menghubungi saya melalui telefon tetapi tidak sempat dijawab,” katanya.

Ketika Whitney mati, bekas suami penyanyi itu, Bobby Brown, berada di Nashville.

Walaupun dilaporkan menangis akibat kematian Whitney, Brown tetap muncul di pentas bersama kumpulannya, New Edition, dan sempat menjeritkan “Aku sayang kamu, Whitney!” ketika konsert berkenaan. - DM

No comments:

Post a Comment