Tuesday, February 07, 2012

Mengapa wang KWSP untuk penduduk KL sahaja?

Kerajaan tidak pernah berbincang dengan ahli-ahli lembaga Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) berhubung pemberian pinjaman berjumlah RM1.5 bilion kepada pembeli rumah yang tidak berkemampuan, kata seorang wakil kesatuan sekerja.

Bekas setiausaha agung Kesatuan Sekerja Komersial Sabah (SCEU) Rebecca Chin berkata beliau tidak dimaklumkan tentang cadangan skim pinjaman perumahan terbaru semasa menghadiri mesyuarat ahli lembaga KWSP.

“Kami seharusnya diberitahu melalui mesyuarat,” katanya kepada The Malaysian Insider semalam. “Saya merupakan wakil untuk SCEU hingga 31 Januari, tapi saya langsung tidak dimaklumkan berkenaan hal tersebut. Kami tidak sedar tentang perkara itu sehingga pengumuman dibuat dan kami hanya membacanya melalui akhbar.”

Chin pernah mewakili kesatuan sekerja dari Sabah di lembaga KWSP dari 2007 hingga 31 Januari.

Ditanya sama ada itu adalah perkara biasa pihaknya tidak dimaklumkan berkenaan skim baru, Chin menjelaskan dengan berkata “kami maklum sistem kerajaan, dan bagaimana ia berjalan ... Saya berhak dimaklumkan berkenaan hal itu.”

Kenyataannya itu dikeluarkan selepas Menteri Pembangunan Wilayah dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin, minggu lepas berkata kerajaan telah mendekati beberapa pembiaya yang berpotensi sebelum mengumumkan projek itu, dan KWSP dikatakan secara sukarela “menawar diri” bagi membiayai skim pinjaman rumah berkenaan.

Namun beliau tidak menjelaskan mengapa kerajaan tidak menggunakan dana sendiri bagi membiayai skim baru itu, dengan berkata pinjaman RM1.5 bilion akan dikeluarkan daripada KWSP secara “berperingkat”.

“Apa yang kami tahu tentang skim ini? Terlalu banyak persoalan yang bermain di fikiran kami... sekiranya saya bukanlah sebahagian daripada KWSP, adakah saya dibenarkan untuk mengeluarkan duit daripada KWSP?

“Malah, sekiranya anda bercerita mengenai dana yang seharusnya digunakan dalam skala nasional, kenapa pinjaman hanya untuk mereka yang berada di Kuala Lumpur? Bagaimana dengan rakyat Sabah? Berapa kadar minimum pendapatan mereka? Kami pun tidak mempunyai duit,” kata Chin.

“Sebagai wakil daripada Sabah, adakah ini adil untuk penduduk Sabah?” tambahnya. sedangkan ramai penduduk Sabah masih menyewa, atas sebab tidak dapat pinjaman bank kerana berbagai masalah seperti muflis, tidak berpendapatan tetap dan sebagainya. Kalau kerajaan adil, perkara ini perlu dijadikan polisi, agar supaya tiada rakyat yang dianak tirikan.

Chin berkata beliau inginkan pemegang saham berbincangkan sebelum kerajaan mengumumkan skim pinjaman itu.

Mereka yang lain yang dipilih menduduki lembaga KWSP termasuk presiden Kongres Kesatuan Sekerja (MTUC) Mohd Khalid Atan, setiausaha agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Loke Yim Pheng, presiden Kesatuan Pekerja Bank Sabah (SBEU) Hadiah Leen dan setiausaha agung SCEU yang baru dilantik, Azlin Awang Chee.

Mohd Khalid berkata kepada The Malaysian Insider bahawa MTUC tidak mengetahui berkenaan skim tersebut, oleh sebab itu pihaknya tidak “mengingati” isu yang dibincangkan dalam mesyuarat bersama-sama wakil kesatuan yang lain.

“Agak sukar untuk saya memberikan penjelasan. Saya kurang sihat sejak beberapa waktu tahun lepas, dan hanya baru-baru ini menyertai mesyuarat pada Jun atau Julai. Tapi sejak itu, saya tidak mengingati sama ada dimaklumkan berkenaan perancangan itu ketika mesyuarat.

“Ia tidak begitu jelas buat kami... Saya hanya mengetahuinya apabila ia dilaporkan akhbar, bersama dengan pengumuman yang dibuat perdana menteri,” jelas presiden MTUC.

Menurut Mohd Khalid, MTUC yang mewakili 802,323 pekerja daripada 390 kesatuan sekerja tidak dijemput untuk taklimat khas skim pinjaman perumahan yang diuruskan oleh Raja Nong Chik di Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) Jumaat lepas, dan kesatuan tidak maklum dengan perancangan termasuk terma skim berkenaan.

“Sekiranya ini merupakan pinjaman kepada kerajaan, mungkin lebih selamat. Tapi ia bukan seperti itu, kami tidak tahu menahu dengan lebih lanjut... KWSP harus menjelaskannya. Kami mahukan keselamatan.

“Secara keseluruhannya, tiada pihak yang akan gembira dengan jaminan keselamatan,” tambah Mohd Khalid.

Menurutnya lagi, MTUC telah mengaturkan perjumpaan dengan lembaga pengarah KWSP 16 Febuari ini.

“Kami telah mengaturkan perjumpaan, bagi membincangkan perkara ini. Kami mahukan penjelasan, oleh itu, sebagai pekerja KWSP, kami sedar apa yang berlaku

MTUC telah mengecam pelaksanaan skim pinjaman berkenaan sepanjang minggu ini dengan mengatakan kerajaan sendiri mampu untuk membiayai projek pembangunan perumahan berkenaan.

Setiausaha agung NUTP, Lok Yim Peng, bagaimanapun enggan memberikan sebarang penjelasan berhubung perkara itu dan memberitahu The Malaysian Insider, beliau hanya akan mengeluarkan kenyataan selepas mengadakan perjumpaan dengan lembaga pengarah KWSP.

Cubaan The Malaysian Insider untuk menghubungi wakil lembaga KWSP yang lain masih lagi tidak berjaya buat masa ini.

Pakatan Rakyat (PR) telah menuduh Putrajaya menyalahgunakan dana daripada KWSP sebagai topeng semata-mata untuk menyembunyikan kadar hutangnya dengan melakukan kerja “mulia” untuk projek perumahan untuk masyarakat berpendapatan rendah.

Namun begitu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak Jumaat lalu menjelaskan dana RM1.5 billion daripada KWSP terhadap pinjaman berkenaan tidak memudaratkan pencarum KWSP.

Menurutnya, hal ini kerana jumlah tersebut tidak terlalu tinggi jika dibandingkan dengan dana KWSP.

Najib berkata, Raja Nong Chik akan diminta untuk menjelaskan skim berkenaan kepada masyarakat, dan menambah pinjaman itu diberikan kepada mereka yang tidak layak mendapat pinjaman perumahan daripada institusi kewangan.

Raja Nong Chik sendiri berjanji kerajaan akan memastikan kepentingan KWSP akan terjaga, dan berkata perjanjian tersebut akan menguntungkan KWSP.

Beliau sebelum ini berkata dana KWSP akan digunakan untuk membantu 20,000 masyarakat yang masih menyewa di bandaraya ini untuk membeli rumah di bawah Yayasan Wilayah Persekutuan.

No comments:

Post a Comment