Monday, February 13, 2012

Isu NFC: Sebaiknya keluarga Shahrizat bayar balik pinjaman RM250 juta: Nazri

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abd Aziz menasihatkan ahli keluarga rakan kabinetnya, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil supaya membayar balik RM250 juta yang dipinjamkan kepada syarikat milik keluarganya bagi menjalankan projek ternakan lembu itu.

Bercakap kepada wartawan di kawasan parlimennya di Padang Rengas, semalam, Mohamed Nazri berkata tindakan itu adalah penyelesaian terbaik bagi masalah berkenaan tanpa perlu Shahrizat meletak jawatan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

“Beliau (Shahrizat) tak perlu letak jawatan. Apa yang paling utama, kembalikan semula wang itu kepada kerajaan,” katanya dipetik akhbar Sinar Harian hari ini.

Menurut Nazri, dengan penyelesaian seperti itu, kerajaan masih boleh meneruskan projek NFC tetapi mencadangkan tender terbuka dijalankan bagi mengelak masalah hal yang tidak diingini.

NFC dibidas pelbagai pihak termasuk dari Umno, apabila PKR membuat pendedahan demi pendedahan bahawa syarikat itu, di mana suami Shahrizat, Datuk Seri Mohd Salleh Ismail, adalah pengerusinya menyalah gunakan dana RM250 juta yang diperuntukkan sebagai pinjaman mudah oleh kerajaan.

Ini termasuk pembelian dua unit kondominium mewah di Bangsar, Kuala Lumpur, tiga lagi unit kondominium mewah di Singapura, dua bidang tanah di Putrajaya, pembelian kereta mewah serta pakej percutian untuk keluarganya.

NFC sepatutnya untuk membekalkan lembu bagi memenuhi permintaan daging tempatan untuk rakyat di negara ini.

Pada masa ini, syarikat itu sedang disiasat Unit Jenayah Komersial, Bukit Aman dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.

Shahrizat yang juga Ketua Wanita Umno juga dipanggil oleh SPRM pada hari Rabu lalu untuk membantu siasatan yang diklasifikasikan di bawah seksyen 23 Akta SPRM atas kemungkinan tuduhan salah guna kuasa.

No comments:

Post a Comment