Friday, December 02, 2011

Kepada Perwakilan Umno: Nostaliga Keputusan PRU-12

Saya menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi pada jam 9.00 pagi dan hanya berjaya tidur pada jam 5 pagi hari berikutnya selepas hampir semua keputusan diperoleh.

Mengejutkan. Pembangkang meraih 82 kerusi Parlimen dan menawan 5 buah negeri termasuk Kelantan.

Di Kuala Lumpur, pembangkang juga membentuk pakatan hebat apabila menang 9 Parlimen. BN hanya menang di Parlimen Setiawangsa. Jika KL boleh diiktiraf sebagai sebuah negeri, anggap sahaja pembangkang menawan 6 negeri sekarang!

Di Kelantan, rakyat Kelantan memberikan kemenangan selesa 40 kerusi kepada PAS dan KeADILan.

Pulau Pinang disahkan negeri pertama jatuh ke tangan pembangkang- malaysiakini menyiarkan pada jam 8 malam, manakala media arus perdana hanya berani menyiarkan berita ini sekitar jam 10 malam.

Di Kedah, pakatan PAS dan KeADILan membentuk kerajaan negeri. Mantan Menteri Penerangan, Zainuddin Maidin terpaksa menelan kata-katanya yang berazam menghilangkan deposit lawannya.Keputusannya, dia sendiri kehilangan kerusi.

Selangor " MB" penyapu tumbang, dan menyaksikan Tan Sri Khalid Ibrahim sebagai Menteri Besar baru.

Perak menyaksikan pertarungan sengit antara BN dan pembangkang, dan menjelang jam 5 pagi barulah disahkan bahawa pakatan pembangkang membentuk kerajaan negeri Perak yang baru. Jurutera daripada PAS, Ir Muhd Nizar Jamaluddin dijangka diberi laluan oleh DAP (DAP memenangi 18 kerusi, KeADILan 6 dan PAS 5) untuk memimpin Perak.

Negeri Perlis memperlihatkan penguasaan Umno masih kekal di situ. Terengganu pula menyaksikan PAS menambah kerusi, daripada 4 kepada 8 kerusi. Berlaku penurunan margin majoriti setiap calon BN yang menang di Pahang, di mana hampir 15 buah kerusi DUN di Pahang dimenangi di bawah 2500 undi.

Pembangkang juga mengejutkan negeri-negeri seperti Negeri Sembilan dan Johor, apabila di Negeri Sembilan pembangkang berjaya menawan 15 kerusi daripada 35 kerusi. Johor menyaksikan PAS berjaya memperoleh 2 DUN dan DAP 4 DUN.

Melaka kekal dikuasai BN, tetapi DAP berjaya menawan kembali Parlimen Kota Melaka dengan majoriti besar dan memenangi 5 kerusi DUN.

MIC dan Gerakan adalah dua parti yang paling teruk menerima tempias kekalahan ini, di samping MCA juga hanya menang di 15 kerusi daripada 40 kerusi yang dipertanding.

Samy Vellu menerima hadiah harijadi paling sadis dalam hidupnya apabila tersingkir daripada kerusi Sungai Siput.

Koh Tsu Koon, meskipun tewas dalam percubaannya membariskan diri sebagai Menteri kanan dalam kabinet Pak Lah, saya sanjung profesionalisme beliau apabila menerima kekalahan di Pulau Pinang dan mengiktiraf DAP dan KeADILan sebagai kerajaan negeri baru. M Kayveas pula meranapkan harapan PPP apabila langsung tidak memenangi satu-satunya kerusi amanah BN untuk PPP di Taiping.

Pada waktu itu Lim Kit Siang berkata, ini adalah tsunami politik . Sementara Dato Seri Anwar Ibrahim yakin bahawa ini petanda harapan baru buat Malaysia.

Saya bukan penganalisa politik. Tetapi saya merumuskan beberapa perkara yang boleh dilihat daripada keputusan mengejut ini:

a. Berlaku penurunan majoriti ketara di kebanyakan kerusi Parlimen dan DUN seluruh Malaysia.

b. Rakyat telah menunjukkan bahawa majoriti senyap sangat tidak bersetuju dengan tekanan ekonomi yang menekan mereka.

c. Media alternatif telah berjaya mengambil alih potensi media arus perdana untuk memainkan peranan semak-dan-imbang dalam saluran informasi kepada khalayak.

d. Rakyat muak dan jelak dengan informasi berat sebelah yang disajikan media arus perdana.

e. Pembangkang mempunyai potensi untuk membentuk pakatan yang baik sekiranya wujud persefahaman yang tinggi.

f. Pemerintah perlu kembali menyemak semula dasar-dasar yang menekan rakyat seperti kekangan ekonomi (harga minyak dan petrol) dan isu-isu hak asasi.

g. Di Kelantan, rakyat tidak boleh terima kempen agresif dan terlalu melangit. Kata orang Kelantan, jangan bersikap ‘agah’.

h. Anwar Ibrahim kekal faktor utama politik Malaysia.

Semoga keputusan PRU-12 menjadi iktibar kepada para perwakilan UMNO yang sedang bersidang.

Bawalah seberapa banyak maklumat ke kawasan masing-masing agar peristiwa PRU-12 yang berulang.

No comments:

Post a Comment