Tuesday, November 22, 2011

Hampir 6,000 perwakilan hadiri AGM Umno bermula 29 November

Seramai 5,447 perwakilan akan menghadiri Perhimpunan Agung Umno 2011 yang akan diadakan di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di Kuala Lumpur dari 29 Nov hingga 3 Dis ini.

Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata mereka terdiri daripada 2,627 perwakilan dari 191 bahagian di seluruh negara, 944 perwakilan Wanita, 942 Pemuda dan 934 Puteri.

Beliau berkata buat pertama kali juga, Setiausaha Bahagian menjadi perwakilan secara automatik, bagi mengiktiraf perkhidmatan sepenuh masa yang mereka sumbangkan.

Bercakap dalam sidang media, semalam, Tengku Adnan berkata perhimpunan yang akan dirasmikan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang juga Presiden Umno, akan membahaskan tiga usul iaitu ucapan dasar presiden, ekonomi serta agama, pendidikan dan sosial.

Timbalan Perdana Menteri yang juga Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin akan merasmikan serentak perhimpunan pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri pada 29 Nov di Dewan Merdeka yang akan berlangsung selama dua hari.

Stesen Radio dan Televisyen Malaysia (RTM) akan menyiaran secara langsung majlis perasmian perhimpunan oleh Najib serta perhimpunan Wanita, Pemuda dan Puteri.

Ucapan penggulungan Presiden Umno di akhir persidangan akan turut disiarkan secara langsung, kata Tengku Adnan.

Beliau berkata seramai 58 delegasi luar yang mewakili 23 parti politik dari 20 buah negara akan turut menghadiri perhimpunan kali ini.

Ia termasuk enam orang wakil dari Parti Komunis China, 11 dari Parti Mamafisoa, Madagascar, tiga dari Pergerakan Pembebasan Kebangsaan Palestin (Fatah) dan dua dari Persidangan Tetap Parti Politik Amerika Latin dan Caribbean, Coppal.

Tengku Adnan berkata semua 74 Kelab Umno Luar Negara masing-masing menghantar seorang wakil.

Mengenai liputan media, beliau berkata seramai 1,540 petugas media dari 83 agensi, 74 agensi tempatan dan sembilan antarabangsa telah mendaftar untuk membuat liputan.

Beliau turut mengingatkan pihak media supaya bertanggungjawab dalam membuat liputan dan tidak memutarbelitkan fakta mengenai isu-isu yang dibangkitkan semasa perhimpunan.

"Apa yang penting adalah ucapan penggulungan perhimpunan oleh Presiden Umno Datuk Seri Najib Razak yang akan menjawab segala isu yang dibangkitkan dalam perhimpunan," katanya.

Tengku Adnan berkata Umno juga akan menganjur forum antarabangsa selama dua hari mulai 28 Nov bertajuk "Politik Transformasi Ekonomi dan Sosial di dalam Era Krisis Global" yang akan dirasmikan Perdana Menteri yang akan turut menyampaikan ucaputama pada majlis itu.

Forum berkenaan akan ditutup oleh Muhyiddin pada 29 Dis.- Bernama

No comments:

Post a Comment