Monday, September 05, 2011

KJ bersedia berdebat dengan Mat Sabu di mana sahaja

Khairy Jamaluddin menerima cabaran berdebat berhubung kenyataan kontroversi Mohamad Sabu, yang menyentuh tragedi Bukit Kepong dan desakan bertubi-tubi agar dikaji semula fakta sejarah, dan bersedia untuk bertemu di kubu kuat PAS di Kelantan.

Ketua Pemuda Umno ini berkata beliau telah menerima jemputan yang dipanjangkan oleh kerajaan negeri Kelantan pimpinan PAS.

“Saya akan berada di sana,” kata Khairy menerusi mesej Twitter semalam sambil menambah, jemputaan untuk berhadapan dengan Timbalan Presiden PAS itu sudah pun diterima.Debat itu akan berlangsung di Balai Islam, Kota Baru akhir bulan ini.

“Tidak perlu mencari lokasi berkecuali. Sarang singa anda. Jumpa di sana, Mat Sabu,” kata Khairy (gambar) lagi menerusi Twitter.

Bagaimanapun tidak jelas sama ada ia debat yang disyorkan oleh Ketua Penerangan PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man semalam memandangkan Khairy berkata jemputan itu datang terus daripada kerajaan Kelantan.

Dalam satu kenyataan dikeluarkan petang semalam, Tuan Ibrahim berkata, PAS bersedia untuk berbahas dengan Umno berhubung kontroversi tragedi Bukit Kepong dan fakta sejarah negara — yang kini menjadi senjata terbaru parti Melayu itu untuk menyerang kepimpinan Mohamad.

Tuan Ibrahim berkata, ramai pejuang kemerdekaan yang tidak diiktiraf dalam sejarah termasuk Muhammad Indera atau Mat Indera, salah seorang yang terlibat dalam tragedi Bukit Kepong.

“Mat Indera dan ramai para pejuang kemerdekaan yang tidak diiktiraf dalam sejarah yang telah menjadi fokus utama serangan media perdana pro-Umno kepada PAS memerlukan satu penyelesaian konkrit.

“PAS berasa simpati kepada kesan mendalam kepada waris Mat Indera dan tokoh-tokoh pejuang kemerdekaan yang lain yang bangun menentang penjajah tetapi jasa mereka digugurkan dan tidak diiktiraf dalam sejarah akibat terpaksa menanggung pelbagai tuduhan liar ‘pejuang-pejuang pertahanan sejarah versi Umno’ tanpa ruang untuk menjawab,” katanya.

Tambah beliau, atas dasar menghormati hak rakyat untuk membuat pertimbangan dan penilaian sendiri melalui hujah-hujah daripada kedua-dua pihak, PAS melalui Lujnah Penerangan akan menghantar surat jemputan kepada Ketua Penerangan Umno dalam masa terdekat bagi menganjurkan satu perbahasan umum ilmiah untuk menangani isu “Siapakah layak digelar pejuang kemerdekaan sebenarnya?” dalam sejarah tanah air sebelum negara merdeka.

Dua hari lalu, Pergerakan Pemuda Umno mengumumkan program jelajah negara yang dikenali sebagai Pentas Patriot untuk menjawab perkara yang dibangkitkan oleh Mohamad ketika satu ceramahnya di Pulau Pinang 21 Ogos lalu.

No comments:

Post a Comment