Wednesday, July 13, 2011

Lim Guan Eng dapat kiriman anak babi-Ketua polis PP pula naik angin

Panggilan telefon mendakwa ada bom di Komtar, di Georgetown, petang semalam, yang memaksa polis mengosongkan bangunan itu membawa kepada penemuan tiga beg yang masing-masing mengandungi seekor anak babi, biawak dan itik hitam.

Beg berwarna biru, hitam dan merah itu ditemui ditinggalkan di depan pintu lif di tingkat tiga bangunan yang menempatkan pejabat kerajaan termasuk Pejabat Ketua Menteri.

Marah dengan perkara berkenaan, Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Ayob Yaakob berkata tindakan tegas akan diambil terhadap pihak yang bertanggungjawab melakukan perbuatan itu.

"Ini kerja gila dan kita akan siasat. Ini perbuatan tidak bertanggungjawab dan boleh mengundang padah. Saya bagi amaran kepada semua, jangan main-main. Ini sudah melampau," katanya ketika dihubungi.

Mengulas kejadian itu, Ayub berkata polis menerima panggilan ancaman bom kira-kira pukul 4 petang.

Susulan itu polis mengosongkan Komtar dan sepasukan Unit Pengesan Bom dan Unit Anjing Pengesan K9 dihantar ke situ.

Polis menemui tiga beg yang dalam keadaan mencurigakan, namun apabila dibuka masing-masing mengandungi tiga ekor anak haiwan terbabit.

Ayub berkata usaha mengesan pelaku sedang dibuat termasuk menerusi rakaman kamera litar tertutup.

Kejadian itu dipercayai dilakukan oleh pihak yang tidak berpuas hati dengan pemimpin kerajaan negeri berdasarkan tag nama mereka yang diikat pada beg terbabit.- Bernama

No comments:

Post a Comment