Thursday, July 07, 2011

Hebatnya UTK-hanya satu tembakan Lelaki mengurung 30 kanak2 tewas

MUAR, 7 Julai – Seorang lelaki yang dipercayai menahan 30 kanak-kanak dan empat guru wanita sebagai tebusan cedera selepas ditembak polis dalam kejadian di pusat asuhan di Taman Sungai Abong, Jalan Sakeh, di sini pada Khamis.

Timbalan Ketua Polis Johor Datuk Jalaluddin Abdul Rahman berkata semua kanak-kanak yang berusia antara tiga dan lima tahun serta guru terbabit selamat dalam kejadian pukul 3.45 petang itu.

Kesemua mereka dihantar ke Hospital Sultanah Fatimah di sini untuk pemeriksaan lanjut, katanya ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian.

Dipetik laporan Bernama Online, Jalaluddin berkata lelaki terbabit pula berada dalam keadaan kritikal selepas terkena sedas tembakan di kepala dan dia juga dihantar ke hospital tersebut untuk rawatan.

Terdahulu, sepasukan polis dari Unit Tindakan Khas Bukit Aman bertindak menyerbu banglo dua tingkat itu selepas usaha membebaskan tebusan menemui jalan buntu.

Wartawan Bernama yang berada di lokasi kejadian turut mendengar bunyi tembakan dilepaskan.

Drama tebusan itu bermula kira-kira pukul 9.30 pagi Khamis apabila seorang lelaki bersenjatakan tukul dan parang menceroboh pusat asuhan tersebut.

No comments:

Post a Comment