Wednesday, October 13, 2010

Pembunuh sadis! Akhirnya didakwa

Peguam, N Patmanabhan dan tiga yang lain yang digambarkan sebagai pembunuh sadis abad ini selain Mona Fendy akhirnya dituduh di Mahkamah Majistret di Banting, membunuh jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga individu lain.

Mereka dituduh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang tidak boleh diikat jamin.

Peguam berusia 41 tahun itu didakwa bersama-sama pekerja ladang T Thilaiyalagan, 19, R. Matan, 20, dan R. Khatavarayan, 30.

Majistret Hurman Hussain menetapkan 16 Disember ini untuk sebutan semula kes tersebut.

Tiga daripada mereka dibawa ke mahkamah itu untuk menghadapi pertuduhan dengan sebuah van manakala Patmanabhan dibawa dengan kereta Waja yang tiba di perkarangan mahkamah kira-kira 8.30 pagi.

Beberapa minit kemudian pasukan pendakwaan yang mengandungi Timbalan Pendakwaraya Ishak Mohamad Yusof, Idham Abdul Ghani and Saiful Edris Zainuddin tiba di mahkamah.

Peguam tertuduh, Amer Hamzah Arshad dan Ravi Nekoo tiba sebelum itu kira-kira jam 8.30 pagi.

Sosilawati 47, bersama tiga lelaki iaitu pemandu peribadinya, Kamaruddin Shansuddin, 44, pegawai bank CIMB cawangan Kampung Baru, Kuala Lumpur, Noorhisham Mohammad, 38, dan peguam peribadi, Ahmad Kamil Abdul Karim, 32, dilaporkan hilang sejak 30 Ogos lalu selepas dikatakan ke Banting, Selangor, untuk urusan pembelian tanah.

Polis kemudian mengesahkan keempat-empat mangsa dipukul sampai mati sebelum mayat mereka dibakar dan abu dibuang ke dalam sungai berdekatan Ladang Gadong, Banting.

Hasil siasatan, Unit Forensik Polis menemui beberapa objek termasuk serpihan tulang dan sampel rambut dipercayai milik mangsa-mangsa. Bahan bukti kes pembunuhan itu diserahkan ke Jabatan Kimia untuk dianalisis

No comments:

Post a Comment