Tuesday, April 06, 2010

PKR Ubah Fikiran: Umum Calon PRK Ulu Selangor 2 Hari Lebih Awal

Parti Keadilan Rakyat (PKR) akan mengumumkan calonnya 13 April ini, dua hari lebih awal berbanding Barisan Nasional (BN).

Pengarah Pilihan Raya PKR Selangor Abdullah Sani Abdul Hamid berkata, tarikh itu dipilih dengan mengambil kira beberapa pertimbangan.

“Lagipun ia tarikh yang sesuai untuk semua pihak,” kata beliau yang juga Ahli Parlimen Kuala Langat.

Pengumuman dijadual dibuat di kawasan Serendah oleh Ketua Umum Pakatan Rakyat Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan dihadiri Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Penasihat DAP Lim Kit Siang.

Ditanya alasan dua hari lebih awal berbanding tarikh BN yang akan membuat pengumuman calonnya pada 15 April sepertimana yang diumumkan oleh Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhuiddin Yassin 3 hari lalu, Abdullah Sani memberitahu, “kami sudah membuat persiapan dari awal, kami tidak gementar untuk menghadapi cabaran... tiada masalah.”

Mengenai calon yang bakal diturunkan pula, Abdullah Sani berkata, perkara itu masih belum diputuskan lagi.

PKR akan mengadakan mesyuarat Biro Politik esok dan perkara itu dijangka diselesaikan oleh jawatankuasa khas pemilihan yang dipengerusikan oleh Wan Azizah.

Sebelum ini digembar gemburkan bahawa PKR akan mencalon penyalaras Pakatan Zaid Ibrahim bagi mewakili pembangkang dan G. Palanivel daripada MIC bagi mewakili Barisan Nasional.

No comments:

Post a Comment