Thursday, March 11, 2010

Bayaran Wad Bagi Penjawat Awam dan Pesara Dimansuhkan: Bagaimana Kami Yang Rakyat Biasa Pula??

Kerajaan akan memansuhkan bayaran wad yang dikenakan terhadap kakitangan dan pesara perkhidmatan awam yang mendapatkan rawatan di hospital kerajaan berkuat kuasa 1 April ini.

Mereka yang akan mendapatkan faedah daripada pengumuman baru kerajaan ini membabitkan 1,253,026 penjawat awam yang masih berkhidmat dan juga 528,583 pesara.

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Ismail Adam berkata, menurut Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 4 Tahun 2010 yang dikeluarkan Jabatan Perkhidmatan Awam, pemansuhan itu turut melibatkan anggota keluarga dan ibu bapa mereka.

Bagaimanapun, kata beliau, bagi pesara pula, ia hanya tertakluk kepada penerima pencen iaitu isteri serta anak-anak dan tidak melibatkan ibu bapa.

“Pemansuhan bayaran wad itu juga tidak menjejaskan kelayakan wad yang ditetapkan untuk pegawai berdasarkan gred pegawai,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurutnya, kelayakan wad untuk pegawai pengurusan tertinggi, Gred 45-54 ialah Kelas 1 bilik seorang (RM10 sehari), Gred 31-44 (Kelas 1 bilik berdua iaitu RM8 sehari), Gred 21-30 (Kelas 1 bilik bertiga iaitu RM6 sehari) dan Gred 1-20 (Kelas 2) iaitu RM3 sehari.

Kata beliau, kelayakan untuk anggota keluarga dan ibu bapa adalah berdasarkan kelayakan yang ditetapkan kepada pegawai awam berkenaan.

Kelayakan wad untuk pesara dan anggota keluarga mereka pula adalah berdasarkan gred hakiki terakhir pegawai sebelum bersara.

Ismail berkata, jika pegawai awam, pesara, anggota keluarga atau ibu bapa meminta untuk dimasukkan ke dalam wad yang lebih tinggi daripada kelayakan ditetapkan, pegawai awam atau pesara itu perlu membayar bayaran wad mengikut kadar yang dikenakan ke atas orang awam.

“Pegawai dan pesara juga dikehendaki membayar deposit sebelum dimasukkan ke wad yang lebih tinggi mengikut kadar yang ditetapkan,” katanya.

Beliau berkata, dengan berkuat kuasanya pekeliling perkhidmatan itu, perenggan C2 berkaitan kelayakan dan kadar bayaran wad di Lampiran C8 Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 4 Tahun 2002 adalah terbatal.

Selain itu, pekeliling baru ini juga membatalkan kenyataan di perenggan 11 berkaitan kadar bayaran wad sehari di Lampiran O Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 10 Tahun 1991, dan Bahagian J berkaitan permohonan perbelanjaan bagi rawatan di luar negeri di Lampiran B Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 21 Tahun 2009.

Menurut beliau, peruntukan pekeliling perkhidmatan itu pada keseluruhannya turut dipanjangkan kepada semua kakitangan perkhidmatan awam negeri, pihak berkuasa berkanun dan pihak berkuasa tempatan.

Bagaimana kami rakyat biasa? apa kah kemudahan ini tidak double standard?

No comments:

Post a Comment