Saturday, March 20, 2010

Anwar Membisu Pendedahan Zaharin: Apa Muslihat Anwar?

Pendedahan yang dibuat Ahli Parlimen Bayan Baru, Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim mengenai tembelang Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Anwar Ibrahim yang berbohong ketika menggerakkan misi 16 September 2008 tidaklah mengejutkan.

Mungkin bagi sesetengah orang, ia sesuatu yang mengejutkan, tetapi tidak di kalangan mereka yang telah lama mengetahui sikap buruk Anwar yang sanggup melakukan apa sahaja demi kepentingan peribadi termasuk memburukkan imej negara di mata dunia.

Kini, banyak negara sudah mula mempercayai dakyah dan fitnah Anwar terutama Australia yang sanggup campur tangan dalam urusan dalaman negara kita.

Justeru, apalah sangat jika Anwar berbohong menyatakan bahawa Yang di-Pertuan Agong dan Angkatan Tentera Malaysia menyokongnya dalam gerakan misi tersebut.

Yang penting, hasratnya untuk menubuhkan kerajaan tercapai, biarpun terpaksa melutut di hadapan pemimpin asing demi mencapai cita-citanya, biarpun terpaksa menggadai maruah negara, biarpun perlu menjual negara, asalkan cita-citanya untuk menjadi Perdana Menteri Keenam tercapai.

Nampaknya, Anwar hanya berani melakukan pembohongan tetapi tidak berani mempertahankan setiap apa yang dikatakan dan dilakukannya.

Jika berada di pihak yang benar, Anwar sepatutnya tampil menjawab segala pendedahan yang dibuat oleh bekas Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Rakyat yang pernah berada di dalam PKR, bukannya melarikan diri.

Memang memalukan apabila Anwar sanggup ponteng sidang Dewan Rakyat yang sedang berlangsung sekarang. Soalnya, kenapa mahu ambil cuti ketika Dewan Rakyat berlangsung.

Alangkah lebih molek kalau Anwar menghadirkan diri dalam persidangan Dewan Rakyat, bolehlah beliau menepis dan menjawab segala isu yang dibangkitkan termasuk pendedahan Zahrain.

Mungkin Anwar berasa teramat malu kerana Yang di-Pertuan Agong dan bekas Panglima Angkatan Tentera Malaysia, Jeneral (B) Tan Sri Abdul Aziz Zainal menafikan terlibat dalam gerakan tersebut.

Mana nak letak muka, jika tidak terpaksa bercuti. Itu sahaja yang boleh Anwar lakukan dan adakah ini kualiti pemimpin yang kita mahukan.

Seperti kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak semalam, ‘Anda boleh membuat kesimpulan sendiri, dia itu lelaki jenis apa’. Rakyat boleh menilai sendiri tindakan Anwar itu.

Tetapi di kalangan mereka yang taksub, mereka akan mengiyakan apa sahaja tindakan Anwar dengan menyatakan ia satu tindakan yang betul.

Walaupun kebenaran kian terserlah dan kebatilan kian lenyap, namun masih terdapat segelintir rakyat yang terus memujanya sebagai lelaki budiman.

Tidak terlepas Nik Aziz Nik Mat menteri besar Kelantan, yang mengatakan mendedah aib seseorang pemimpin kerana tidak sudah sehaluan adalah tindakan tidak bertamadun.

Pemimpin seperti Nik Aziz pun masih menaruh kepercayaan terhadap Anwar, manakan tidaknya para penyokong Anwar yang terlalu taksub.

Anwar juga nampaknya berjaya mempengaruhi pemikiran rakyat biasa seperti pemandu teksi dan mereka yang sewaktu dengannya dalam menyokong apa sahaja yang dilakukan oleh DAP dan Pas.

“Kenapa nak marah DAP yang memperjuangkan nasib orang dia. Marahlah Tunku Abdul Rahman yang setuju bagi kerakyatan kepada orang Cina untuk jadi warganegara semasa nak merdeka dulu.

“Sekarang ini, kalau orang Cina nak hak dia...kita (orang Melayu) kena bagi la...,” kata pemandu teksi berbangsa Melayu dan berusia 52 tahun itu.

Namun, itulah realiti sekarang. Realiti yang perlu direnungi oleh setiap umat Melayu betapa kita kini tersepit dalam satu situasi politik yang merugikan agama, bangsa dan negara.

Kepada Anwar, masih belum terlambat untuk bermuhasabah diri dan renunglah perjuangan mu semula, semasa membela penduduk Baling,Kedah suatu masa dahulu.

Di London semalam, Anwar memberi alasan kenapa DEB tidak diperlukan di Malaysia,kerana DEB hanya membela segelintir kaum melayu dan bumiputra, itulah alasan Anwar. Betul Kah? Kalau tidak betul, kenapa pemandu teksi berbangsa Melayu melihatnya demikian?

Apa yang menyebabkan Anwar hanya membisu tentang pendedahan Zaharin, sebaliknya Anwar cuba lari daripada pendedahan itu dengan mengeluarkan isu-isu lain yang tiada kaitan dengan pendedahan Zaharin. Apa muslihat baru Anwar?

No comments:

Post a Comment