Thursday, February 11, 2010

Melucutkan Hakim Sodomy II Tiada Asas Kukuh

Anwar, Peguam Perlu Minta Maaf Kepada Utusan: Demikian Tajuk Utusan Hari ini

PUNCA kepada permohonan Ketua Peguam Anwar Karpal Singh agar YA Mohammad Zabidin Mohd Diah melucutkan dirinya dari mendengar Sodomy II kerana Hakim itu enggan membuat keputusan kepada siaran Utusan yang membawa tajuk "Tak Rela Diliwat Lagi" seperti pada gambar sebenarnya tergugur apabila terbukti saksi pendakwa utama Sodomy II memang ada menyebut perkatan "lagi" bukan sekali tetapi dua kali.

Minta maaf kepada Utusan Malaysia.Demikian saranan Peguam Cara Negara II, Datuk Mohd. Yusof Zainal Abiden terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim dan pasukan pembelaannya yang mendakwa Utusan Malaysia membuat laporan tidak tepat pada perbicaraan kes liwat beliau.

Menurutnya, berdasarkan rakaman audio dan nota prosiding mahkamah, Mohd. Saiful Bukhari Azlan semasa memberi keterangan pada perbicaraan kes itu memang ada menyebut perkataan 'lagi' dan ia bukan disebut sekali sahaja tetapi dua kali.

Jelas Mohd. Yusof, ketika disoal olehnya apa sebab dia (Mohd. Saiful Bukhari) berhenti kerja dengan Anwar, saksi itu menyatakan ''Sebab sebenar saya tidak rela lagi..." dan bagi soalan ''Apa respons kamu?'', pemuda itu menyatakan ''Saya tidak sanggup melakukannya lagi...".

''Karpal Singh dengan mudah lupa segala tuduhan yang serius terhadap Utusan Malaysia. Ini adalah serius. Dalam afidavit saya ada menyatakan 'saya rasa saya dengar dia (Mohd. Saiful Bukhari) menyebutnya'. Sekarang ia menunjukkan memang ada perkataan itu disebut. Asas kepada aduan Karpal telah terhapus sama sekali,''

Mohd. Yusof menyatakan demikian ketika berhujah bagi membantah permohonan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu supaya Hakim Datuk Mohamad Zabidin Mohd. Diah menarik diri daripada mendengar kes itu kerana didakwa berat sebelah.

Anwar mengemukakan permohonan itu setelah hakim tersebut menolak permohonannya agar Utusan Malaysia dikenakan tindakan menghina mahkamah berhubung artikel dan tajuk 'Tak rela diliwat lagi' pada keluaran 4 Februari lalu.

Ahli Parlimen Permatang Pauh itu juga tidak berpuas hati dengan tindakan mahkamah yang menolak permohonannya supaya Utusan Malaysia diberi peringatan berhubung penyiaran kapsyen gambar di muka hadapan akhbar itu pada 5 Februari lalu.

Anwar, 63, sedang dibicarakan atas tuduhan meliwat Mohd. Saiful Bukhari, 25, di Unit 11-5-1, Kondominium Desa Damansara, No.99, Jalan Setiakasih, Bukit Damansara antara pukul 3.01 dan 4.30 petang, 26 Jun 2008.

Perbicaraan masuk hari keenam hari ini tetapi ditangguhkan bagi mendengar permohonan oleh pihak pembelaan itu.

Terdahulu, Karpal menyatakan Hakim Mohamad Zabidin 'bersalah' kerana tidak memberitahu perkara yang benar dan menunjukkan bahawa beliau tidak layak untuk duduk di kerusi hakim serta meneruskan perbicaraan.

''Bagaimana Yang Arif boleh membuat kesimpulan bahawa Utusan Malaysia tidak mempunyai niat jahat. Niat itu datang dari Utusan Malaysia, bukan dari mahkamah ini.

''Yang Arif perlu menebus kekhilafan diri. Seorang hakim tidak boleh menipu atau memperkatakan sesuatu yang tidak benar,'' hujah peguam itu.

Mengenai aduan terhadap gambar tersebut, Mohd. Yusof berkata, keterangan gambar berkenaan adalah 'kabur' kerana perkataan 'tempat' dalam kapsyen itu tidak menyatakan secara spesifik ia adalah katil atau bilik.

Menurutnya, beliau tidak melihat sebarang masalah berhubung kapsyen tersebut kerana Utusan Malaysia tidak menyatakan ''katil di atas di mana kesalahan itu dilakukan''.

''Perkataan merujuk kepada katil atau bilik? Jika ia bermaksud bilik, maka ia adalah betul. Bilik dan katil ada disebut di mahkamah terbuka. Jadi, Yang Arif adalah betul,'' katanya.

Dalam keterangan Mohd. Saiful Bukhari, katanya, saksi itu ada menyatakan ''Beliau (Anwar) arahkan saya ke bilik tidur utama..." dan ''Anwar berada di hujung penjuru katil''.

Sementara itu, Mohd Yusof turut sempat menegur tindakan Karpal yang menggunakan perkataan 'berbohong' terhadap hakim tersebut yang disifatkan terlalu kasar.

''Untuk mengatakan Yang Arif berbohong adalah terlalu kasar. Walaupun kita boleh berhujah sebaik manapun untuk anak guam kita, tetapi menggunakan perkataan kasar adalah tidak wajar. Kita boleh berbuat demikian dengan sopan dan beretika,'' katanya.

Karpal ketika berhujah telah menyatakan Hakim Mohamad Zabidin 'telah menipu dan telah terbukti menipu.'

Disebabkan 'penipuan' itu, hakim tersebut, ujar Karpal, tidak mempunyai alternatif lain selain menarik diri daripada perbicaraan.

Mohd. Yusof seterusnya menyatakan, dalam membuat laporan tentang kes tersebut, pemberita mungkin tersilap dengar, tetapi tidak berniat jahat.

''Hari ini, terbukti bahawa apa yang dilaporkan adalah betul berdasarkan nota prosiding. Oleh itu, kamu (barisan peguam dan Anwar) perlu memohon maaf kepada Utusan Malaysia,'' tegasnya.

Menurutnya lagi, para hakim telah dilatih agar membataskan diri mereka kepada keterangan yang ada di mahkamah dan bukannya kepada laporan akhbar.

''Mahkamah yang adil dan tidak berat sebelah akan membuat keputusan berdasarkan bukti. Adalah terlalu awal untuk menyatakan Yang Arif bersikap berat sebelah,'' katanya.

Ujar beliau lagi, mahkamah tidak sepatutnya mengetepikan isu sebenar yang ada di hadapannya dan dalam kes ini, apa jua dilaporkan oleh akhbar adalah sesuatu yang berasal dari luar.

Maka, katanya, adalah terlalu awal untuk menyatakan Hakim Mohamad Zabidin berat sebelah kerana faktor keadilan dan tidak berat sebelah sesebuah mahkamah akan ditentukan berdasarkan kepada bukti di mahkamah.

Mohd. Yusof turut menekankan bahawa seseorang hakim tidak perlu menarik diri melainkan jika ada perkara atau sebab semasa perbicaraan bahawa hakim itu bertindak berat sebelah.

No comments:

Post a Comment