Friday, October 23, 2009

Nizar! Osman Jailu Kata Jadi ADUN BN Jauh Lebih Seronok Dibanding ADUN Pakatan

ADUN bebas di Perak Kapten (B) Mohd Osman Jailu bersyukur mendapat lebih banyak peruntukan untuk disalurkan ke kawasannya selepas keluar daripada PKR dan menyokong BN.

Beliau menerima dana hampir RM1 juta tahun ini berbanding hanya RM275,000 ketika menjadi ADUN Pakatan Rakyat dan tambahan ini membantunya memulihkan sokongan masyarakat kepadanya.

"Alhamdulillah, saya dapat peruntukan hampir RM1 juta untuk projek-projek senggaraan di DUN Changkat Jering.

"Berbanding tahun lepas, semasa saya jadi ADUN Pakatan, dapat cuma RM75,000 sebagai wakil rakyat dan RM200,000 ribu sebagai exco (kerajaan Perak)," katanya ketika dihubungi.

Mohd Osman berkata, penambahan dana itu membolehkannya berkhidmat dengan lebih berkesan kepada kira-kira 28,000 pengundi di DUN tersebut.

"Kalau masa dalam Pakatan, kita cuma dapat peruntukan daripada kerajaan negeri sahaja, tetapi ini dapat juga peruntukan daripada kerajaan persekutuan," katanya.

Mengulas kes rasuah yang sedang dibicarakan, beliau berkata ia tidak akan menjejaskan sokongan pengundi kepadanya di kerusi tersebut.

"Saya yakin boleh menang (kes ini) kerana saya yakin diri saya tidak bersalah," katanya kepada Malaysiakini lewat petang semalam.

"Bagus juga (dibicarakan) kerana ini menjadi peluang untuk saya membersihkan nama dan mengembalikan sokongan pengundi kepada saya."

Tambah Mohd Osman, makin ramai pengundi kini kembali semula kepadanya setelah beliau meninggalkan Pakatan pada Februari lalu – bersama dua lagi ADUN Pakatan – yang memulakan krisis sehingga menumbangkan kerajaan Pakatan di Perak sejurus selepas itu.

"Alhamdulillah, sokongan pengundi bertambah baik berbanding sebelum ini. Saya adakan satu majlis rumah terbuka minggu lepas, ramai yang datang dan minta maaf kepada saya," katanya.

Wakil rakyat PKR Jamaluddin Mohd Radzi, yang keluar parti bersama Osman, juga dibicarakan atas pertuduhan sama di Mahkamah Sesyen Ipoh.

Selain mereka berdua, pergolakan besar di Perak disumbangkan oleh tindakan wakil rakyat DAP Hee Yit Fong yang menyokong BN selepas meninggalkan parti lamanya.

Menjelang persidangan DUN Perak pada 28 Oktober ini, timbul pula cakap-cakap yang mengatakan Osman dan Jamaluddin kini berkira-kira untuk menyertai semula PKR dengan dakwaan tidak berpuas hati dengan BN.

"Ada yang kata saya ingin berbalik semula kepada PKR, ada yang kata saya telah meluat dengan BN," kata Mohd Osman lagi.

"Ini semua karut. Sokongan saya tetap konsisten (terhadap BN)."

Jelasnya, pandangan itu sengaja ditimbul-timbulkan oleh pemimpin-pemimpin Pakatan yang tidak mempunyai banyak pilihan lain lagi untuk mendesak pembubaran DUN Perak.

"Sebenarnya mereka kini hanya boleh mainkan sentimen saja. Mereka tidak ada cara lagi untuk membubarkan DUN Perak, kecuali berdasarkan keputusan Mahkamah Persekutuan ke atas status (kesahihan Datuk Seri Nizar Jamaluddin sebagai menteri besar negeri itu).

Tambahnya, beliau tetap akan menghadiri sidang DUN pada 28 Oktober dan akan menyokong usul bajet yang akan dibentangkan oleh Menteri Besar BN Datuk Seri Zambry Abd Kadir.

No comments:

Post a Comment