Friday, October 16, 2009

Nizar: Mula Sekarang: Umno Guna Keadah Surat Khabar lama

Tan Sri Isa Samad mengakui bahawa kemenangan beliau mempertahan kerusi DUN Bagan Pinang juga kerana beliau pemimpin setempat dan mempunyai ramai kawan dan saudara mara di situ.

Kemenangan Tan Sri Isa Samad dalam pilihan raya kecil DUN Bagan Pinang 11 Oktober lalu menjadi bahan ucapan perwakilan yang membahaskan ucapan dasar presiden dalam perhimpunan agung Umno yang yang sedang berlangsung di PWTC.

Wakil Umno Negeri Sembilan, Datuk Ishak Ismail berkata, ia menunjukkan BN boleh menang sekiranya pucuk pimpinan meletakkan calon yang dipilih oleh bahagian.

Beliau juga memuji sikap Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak yang berani menerima calon pilihan bahagian walaupun ada pihak yang tidak menyetujuinya.

Sebelum ini, mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata Isa tidak patut dicalonkan kerana Isa pernah terbabit dalam politik wang dalam pemilihan Umno pada 2004.

Ekoran itu, Isa dikenakan hukuman penggantungan keahlian Umno selama tiga tahun. Beliau juga turut melepaskan jawatan menteri Wilayah Persekutuan yang disandangnya ketika itu.

Manakala wakil Terengganu, Datuk Dr Rosli Mat Hassan pula menggesa pucuk pimpinan parti supaya jangan lagi meletakkan calon 'payung terjun' dalam pilihan raya.

Menurutnya, apabila calon yang dicadangka oleh peringkat bahagian tidak diterima oleh pucuk pimpinan, maka dalam pilihanraya umum lalu, ramai calon BN yang tewas.

'Kemenangan bermakna'

Isa yang juga bekas menteri besar Negeri Sembilan, ketika ditemui, menyifatkan kejayaannya mempertahankan kerusi DUN tersebut sebagai kemenangan kepada Umno dan BN.

Beliau juga mengakui bahawa kemenangan itu juga kerana beliau adalah pemimpin setempat dan "saya ada ramai kawan dan saudara mara (di situ)".

"Di tempat lain kita kalah di kerusi yang kita tidak menang pada 2008. Jadi mempertahankan kerusi di Bagan Pinang ini cukup besar ertinya. Sebab kerusi itu milik kita dan kita mempertahankannya," katanya lagi.

Selepas itu, katanya, tumpuan ialah untuk merampas semula kerusi parlimen Teluk Kemang yang kini dimenangi PKR dalam pilihan raya umum lalu.

Selain itu, katanya lagi, beliau akan memberi tumpuan untuk memberikan perkhidmatan di Bagan Pinang.

"Soal penjawatan tidak timbul lagi. (Sebelum ini) saya fikir bagaimana hendak menang dengan majoriti bertambah, itu Alhamdulillah dah berjaya.

"Yang kedua bagaimana hendak menyelesaikan tanggungjawab kepada pengundi di Bagan Pinang. Yang ketiga saya akan tumpukan kepada mengukuhkan Umno dan BN.

'Saya tak mahu jawatan'

"Saya tak ada fikir jawatan. Jawatan tak ada apa bagi saya sebab semua dah rasa. Saya dah pernah jadi exco, saya dan pernah jadi MB, sekarang fokus saya adalah untuk memberikan perkhidmatan kepada masyarakat Bagan Pinang, Teluk Kemang dan membantu negara.

Ketika ditanya, beliau menjelaskan telah memulakan kerja-kerja untuk merampas kembalik kerusi parlimen Teluk Kemang

"Ya itu adalah sasaran kita, kita sudah mulakan kerja-kerja... Semalam saya sudah jumpa semua pemimpin parti komponen Bagan Pinang untuk bincang soal pembangunan.

"Sehari sebelum semalam saya dah jumpa pemimpin-pemimpin Umno. Saya dah mula dah dan saya dah dapat satu senarai dan kita akan mula melaksanakan (kerja-kerja tersebut)," katanya.

Mengenai pilihan raya kecil DUN Bagan Pinang, Isa berkata isu berkaitan tindakan disiplin yang pernah dikenakan Umno ke atasnya sebelum ini tidak lagi relevan kerana beliau telah diberikan mandat oleh presiden Umno untuk memenangi kerusi berkenaan.

"Tindakan disiplin saya itu kira tolak tepilah, saya dah tak kira lagi dah. Sebab bagi saya bila diminta untuk bertanding saya punya fokus seperti yang dikehendaki presiden parti, buat yang terbaik dan capai kemenangan.

"Saya diminta tunai tanggungjawab itu saja. Tidak jadi apa masalah kepada saya walaupun tindakan disiplin itu menjadi isu yang ditimbulkan oleh pembangkang, tetapi saya ingat isu di kalangan mereka lebih besar, yang dah saya jawab awal-awal.

'Akan kerja kuat'

"Adakah saya melakukan jenayah? kalau pemimpin pembangkang mendakwa saya telah melakukan jenayah tetapi mereka telah masuk penjara dan sebagainya. Kalau orang yang telah masuk penjara boleh bertanding, takkan saya tidak boleh bertanding?" soalnya.

"Nampaknya mereka begitu gembira kerana semuanya sehingga presiden datang mengharapkan kita menang di Bagan Pinang. Oleh sebab itu sokongan Umno kepada saya sungguh kuat sekali," katanya ketika ditanya mengenai penerimaannya dalam Umno.

"Dan saya ingat mereka bekerja pun bersungguh-sungguh dan apabila kita capai kemenangan sebab itu semua orang rasa sangat gembira," katanya..

Jelasnya lagi, beliau tidak menghadapi apa-apa masalah untuk meneruskan khidmat sebagai wakil rakyat biasa.

"(Saya) tidak ada masalah sebab sebagai wakil rakyat, saya dah jadi wakil rakyat sepuluh tahun. Saya cuma tidak jadi wakil rakyat selama setahun tiga bulan. Saya juga pernah berkhidmat sebagai ahli parlimen Jempol, tidak ada masalah untuk jadi wakil rakyat biasa," katanya lagi.

Tambahnya, kemenangan BN di Bagan Pinang juga bakal menjadi dorongan moral dan titik perubahan kepada parti itu untuk memenangi pilihan raya lain selepas ini.

"Kemenangan di Bagan Pinang ini kita maklum akan jadi satu dorongan, 'turning point' yang baik untuk BN untuk bangkit semula kerana kemenangan di Bagan Pinang ini sesuatu yang menarik, selain daripada majoriti bertambah.

Menang di semua saluran

"Kita menang semua peti undi dan menariknya kita menang di semua saluran. Termasuk saluran pengundi muda," katanya lagi.

Kempen 1Malaysia yang diketengahkan oleh perdana menteri Datuk Seri Najib Razak juga disifatkan olehnya sebagai satu sebab besar kemenangannya.

"Sudah tentu sebab kempen 1Malaysia oleh Perdana Menteri di semua tempat, khususnya kepada masyarakat bukan Melayu. Respon terhadap kempen 1Malaysia itu sangat baik. Satu lagi adalah kerana saya adalah pemimpin setempat. (Saya) ada ramai kawan dan saudara mara (di situ).

Katanya lagi, PAS tidak melakukan pembaharuan dalam strategi kempen, dan menolak wujudnya tekanan ke atas pengundi-pengundi di kawasan estet yang sebelum ini menyokong PAS pada pilihan raya umum 2008.

"Pembangkang sebenarnya tidak ada banyak beza, strategi mereka serupa saja. Cuma itu (bergantung) sama ada pengundi percaya atau tidak. Bagi orang Bagan Pinang, mereka telah menolak apa-apa isu yang direka oleh mereka, yang tidak realistik.

"Saya boleh tunjuk satu kempen mereka kata mereka akan naik taraf jalan-jalan kalau mereka menang. Bagi orang yang tahu mereka akan ketawa, kalau mereka menang apa kuasa yang mereka ada (untuk tunaikan janji berkenaan). Tapi bagi orang yang tidak tahu akan terperangkap," kata Isa.

Jelasnya lagi, PAS juga tidak mempunyai isu yang ditimbulkan, selain isu rasuah dan kezaliman (Umno).

"Kalau dalam pilihan raya sebelum ini di kawasan estet kenapa mereka tidak kata begitu. Mereka sepatutnya terima sajalah (kekalahan). Bila kita kalah di Permatang Pasir, kita cuma terima kenyataan itu.

"Mereka sentiasa mencari perkara yang hendak disalahkan. Mereka tidak boleh terima. Itulah masalah dengan pembangkang ini," katanya lagi.

No comments:

Post a Comment