Thursday, December 13, 2018

MASA DEPAN SABAH DAN RAKYATNYA KEUTAMAAN

Sebahagian pemimpin Sabah "tidak" berparti
Kata peribahasa Berat Mata Memandang Berat Lagi Bahu Memikul. Perasaan itu lah rata-rata diharungi semua MP, ADUN dan 21 Ketua Bahagian Umno Sabah serta Badan Perhubungan Umno Sabah yang beramai-ramai meninggalkan parti pada satu sidang akhbar di sebuah hotel di Kota Kinabalu pada petang Rabu.

Tindakan keluar beramai-ramai itu diketuai Datuk Hajiji Haji Noor bersama dengan exco perhubungan Umno Sabah antara lain Tan Sri Pandikar Amin Haji Mulia, Datuk Masidi Manjun dan Datuk Nizam Abu Bakar Titingan.

Penulis teringat, sebab musabab mengapa Umno masuk ke Sabah tahun 1991, tujuannya agar kerajaan negeri diperintah oleh parti yang menerajui Kerajaan Persekutuan. Mengapa demikian? sebabnya Sabah memerlukan bantuan kerajaan persekutuan daripada segi kewangan untuk memajukan dan membangun negeri.

Menerusi PRU-14, Umno kehilangan kuasa di Peringkat Persekutuan, demikian juga di peringkat negeri. Oleh kerana matalamat utama kemasukan Umno adalah untuk memajukan dan membangunkan negeri telah dinoktahkan pada PRU-14, maka untuk menyambung kepada matalamat itu, maka para pemimpin yang membuat keputusan hari ini, memikirkan untuk menyertai sebuah parti yang sebahagian daripada Kerajaan Persekutuan.

Keperluan kemajuan dan pembangunan Sabah secara amnya dan kawasan-kawasan parlimen dan DUN khasnya memerlukan saluran kewangan yang cukup besar, kerana faktor ketinggalan daripada segi kemajuan dan pembangunan.

Sabah telah mengalamainya selama 9 tahun bermula daripada tahun 1985-1994, apabila kerajaan negeri terabaikan kerana fahaman politik. Akibatnya Sabah menjadi mundur malah menjadi negeri termiskin dalam negara.

Sebagai impak kepada kemasukan Umno dan sokongan padu daripada Kerajaan Persekutuan sehinggakan menjadi tunjang kepada kerajaan sehingga Mei, 2018, Sabah terus bertambah maju, kadar kemiskinan dapat diturunkan daripada lebih 30% tahun 1994 kepada dibawah 3% tahun 2017, KDNK daripada di bawah RM40bilion kepada RM80bilion, simpanan kewangan negeri daripada negatif kepada hampir RM4bilion, kadar pembangunan luar bandar dan bandar terus meningkat, malah pembinaan lebuh raya Pan Borneo turut dibina bagi memangkin pertumbuhan ekonomi antara daerah.

Selain itu, kerajaan tidak bertukar selama 24 tahun, sedangkan sebelumnya setiap 9 tahun kerajaan Sabah berubah.

Berasaskan pertimbangan itu, kemajuan dan pembangunan Sabah memerlukan kerajaan yang stabil dan berterusan. 

Beradasarkan kepada  senario politik semasa, kerajaan yang membentuk Kerajaan Persekutuan akan berterusan untuk jangka masa yang panjang. Adalah merugikan bagi pemimpin Sabah khasnya mereka yang keluar beramai-ramai hari ini, tidak menjadi sebahagian daripada kerajaan, kerana jika terus bertindak sebagai pembangkang, bukan sahaja merugikan negeri, malah rakyat yang mereka wakili.

Dalam perjuangan, keutamaan adalah rakyat dan negeri, bukannya kepentingan perorangan. Demikian juga dalam politik, keutamaan adalah negeri dan rakyatnya. Setidak-tidaknya itulah nawaitu para pemimpin yang tidak berparti untuk sementara waktu.

No comments:

Blog Archive