Sunday, April 24, 2016

PM Komited Memajukan Sabah: Musa

PAPAR: Projek Lebuhraya Pan Borneo bukan satu-satunya bukti komitmen kerajaan pimpinan Datuk Seri Najib Razak membangunkan Sabah, malah pelbagai lagi program dilaksanakan sejak beliau dilantik sebagai Perdana Menteri pada April 2009.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman, berkata ini termasuklah keprihatinan kerajaan Persekutuan meneruskan pembinaan Pusat Transformasi Bandar (UTC) Keningau dan Tawau.

"Walaupun dalam keadaan ekonomi tidak menentu, projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah diteruskan, begitu juga UTC di Keningau dan Tawau. Ini semua membuktikan komitmen Perdana Menteri kepada Sabah.

"Tidak cukup dengan itu, malah sejak Perdana Menteri menerajui kepemimpinan negara, pelbagai projek lain seperti penyediaan bekalan air, elektrik dan jalan raya luar bandar, pelaksanaan rumah untuk rakyat miskin, pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) serta bantuan kewangan kepada pelajar dibuat. 

"Ini adalah sebahagian kecil program yang dibuat Perdana Menteri namun kesannya kepada rakyat amat besar. Kita terharu dengan keprihatinan Perdana Menteri kepada Sabah dan rakyatnya," katanya. 

Beliau berkata demikian pada majlis pelancaran Lebuhraya Pan Borneo Sabah yang disempurnakan Perdana Menteri di Kampung Andus, di sini, sebentar tadi.

Turut hadir ialah isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor; Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof fan Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Pembangunan Infrastruktur negeri, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan. 

Musa berkata projek Lebuhraya Pan Borneo bukan saja menjadi pemangkin kepada ekonomi Sabah tetapi membantu merancakkan agenda pembangunan negeri menerusi Koridor Pembangunan Sabah (SDC).

Perdana Menteri telah melancarkan Pan Borneo Sabah bertempat di Kg Andus, Papar pada Ahad.

No comments:

Blog Archive