Monday, April 04, 2016

Disebalik Menjatuhkan Perdana Menteri

Tidak boleh dinafikan sepenuhnya, kenyataan mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohammad, bahawa sebelum beliau bertindak mendesak DS Najib Razak meletakkan jawatan, ada segelintir pemimpin Umno yang terlibat, namun kemudiannya berpaling tadah.

Penulis banyak mendengar bukan sahaja berasaskan “hearsay” akan tetapi keluar sendiri daripada mulut beberapa pemimpin yang berpaling tadah itu, bahawa sesuatu gerakan atau tindakan perlu dilakukan untuk mendesak Perdana Menteri meletakkan jawatan.

Rahsia umum yang telah menjadi argumentasi beberapa pemimpin parti Umno, bahawa DS Najib Razak menjadi liabilti kepada parti kerana impak daripada isteri beliau di mana secara nyata mempunyai cengaman kuat kepada tindak tanduk Perdana Menteri.

Para pemimpin tertentu itu, menyamakan keadaan semasa Pak Lah masih Perdana Menteri, di mana argumentasi masa itu, Perdana Menteri ke-5 itu dibawah cengkaman Khairy Jamaluddin, menenantu beliau yang lebih dikenali sebagai “bebudak tingkat 4”.

Kepantasan media sosial serta media alternatif, dengan berbagai cerita yang membawa imej negatif kepada Perdana Menteri, khususnya yang melibatkan isteri beliau, telah membawa beberapa pemimpin parti Umno yang tiada kedudukan pada masa itu “mendekati” Tun Dr Mahathir agar berbuat sesuatu, kononnya, tindakan itu untuk menyelamatkan parti Umno daripada ditolak rakyat pada PRU-14.

Lumrah manusia, apabila menginginkan sesuatu, dan kemudiannya keinginan itu diperolehi, maka tindakan sebelumnya yang telah dirancang, diabaikan, sebaliknya mengecam tindakan demikian sebagai tindakan jahat dan tidak mengikut sistem demokrasi berparlimen negara. 

Oleh kerana Tun Dr Mahathir sudah terlanjur menjalankan misi beberapa pemimpin tertentu itu, beliau meneruskan misi itu, seperti mana beliau lakukan. Kini, Tun Dr Mahathir sudah bertekad, rancangan awal, yang hanya mahu menurunkan DS Najib, sudah bertukar supaya parti Umno kalah dalam pilihanraya, agar supaya para pemimpin yang berpaling tadah itu jatuh tersungkur bersama-sama DS Najib.

Tun Dr Mahathir, dibantu oleh Tan Sri Muhiyiddin Yassin, Datuk Shafie Apdal, Dato Seri Mukhriz Mahathir dan beberapa pemimpin veteran Umno seperti Tan Sri Sanusi Junid, Tun Daim Zainuddin kemudiannya disokong seluruh armada pembangkang, kecuali Dato Seri Hadi Awang akan berlawan dengan parti Umno dan rakan-rakan parti terbesar itu.

Kenyataan Tun Dr Mahathir dan kawan-kawan daripada Umno, kononnya persengkokolan dengan parti pembangkang, hanya mahu menurunkan DS Najib, bukannya mahu mengalahkan parti Umno atau BN, adalah kenyataan tidak masuk akal, kerana mana ada sifirnya, pelacur membayar pelanggan atau mana sifirnya, membunuh kapten sesebuah kapal, tanpa merampas kapal? atau mana ada keadaan di mana juruterbang sesebuah pesawat dibunuh tanpa menjunamkan pesawat yang dikemudi atau mana ada pembunuh upahan, tidak menerima bayaran.

Bayaran atau upah yang bakal diperolehi pembangkang, khususnya DAP dengan permufakataan dengan Tun Dr Mahathir and The gang, adalah 37 kawasan yang dimenangi UBN pada PRU-13 dengan majoriti di bawah 1000 dan 2000, mungkin sebahagian besar kawasan itu bakal dirampas pembangkang, hanya kerana pengumpulan sokongan antara pengundi melayu, kaum cina dan india. Perkiraan ini tidak boleh diabaikan, kerana perkara ini telah terbukti melalui PRU-12 dan 13. 

Di negara ini, persepsi sebenarnya dapat mempengaruhi keputusan pengundi, khususnya pengundi atas pagar. Para pengundi seumpama ini, tidak kisah sangat pembelaan kerajaan kepada mereka, sebagai contoh, kekalahan beberapa pemimpin utama UBN pada PRU-13, yakni termasuk menteri-menteri kabinet, Timbalan Menteri serta mereka yang mempunyai kedudukan seperti setiausaha-setiausaha politik.

Jika pada PRU-13, dikatakan sebagai IBU kepada semua pilihanraya umum di negara ini, PRU-14 pula merupakan PRU penggantian pemerintahan. 

Tiada siapa pemimpinpun, boleh membendung keputusan rakyat, jika memangnya rakyat mahu mengubah kerajaan. Melihat kepada keadaan sekarang, khususnya kaum melayu yang telah terbahagi kepada empat kumpulan, adalah pertanda, bahawa kaum itu, walaupun majoriti dalam negara, akan tetapi minoriti dalam segi politik. Perlu diakui, bahawa kaum yang berkuasa dalam segi politik masa ini, adalah kaum cina.

Pada PRU-14 akan datang, kerusi-kerusi kaum cina dan india yang ada dalam UBN akan dirampas oleh pembangkang, khususnya oleh parti DAP. Parti DAP, dengan 37 kerusi Parlimen yang ada sekarang, sekurang-kurangnya akan menang 48 kerusi pada PRU-14 akan datang. Jika PKR boleh menang 40 kerusi parlimen dan Parti Pas dan Amanah 21, maka menjadikan jumlah kerusi pembangkang sebanyak 109, kurang tiga kerusi bagi majoriti mudah. Jika keadaan itu berlaku, tidak dapat disangkal, bahawa akan berlaku lompat parti, khususnya MP Bn yang tiada kedudukan atau jika tawaran jawatan yang lebih baik bagi mereka yang berjawatan.

Dalam politik semua boleh berlaku. para pemimpin UBN mempunyai berbagai strategi, demikian juga pembangkang. Apa kah, keadaan semasa Tun Abdul Razak akan berlaku? di mana parti-parti akan bergabung untuk memerintah Malaysia? kerana melalui cara itu, maka UBN akan terselamat bagi memerintah negara, atau memangnya gabungan 13 parti itu akan ikut jejak parti LDP Jepun, Parti Kongres India dan Parti Golkar Indonesia? hanya rakyat yang boleh menentukannya pada PRU-14. PRU-14 akan diadakan pada Tahun 2018, 2 tahun daripada sekarang.

Dalam dua tahun ini, mereka yang mahu menjatuhkan UBN, akan terus menyerang Perdana Menteri, kerana mereka tahu, ikan busuk bermula daripada kepala. Mereka akan terus menggunapakai, kemelut 1MDB, wang derma, serta lifestyle Perdana Menteri khususnya isteri beliau Datin Rosmah mansor. Mereka-mereka ini, akan terus memutar belit berkaitan isu-isu itu, ditokok tambah, diperbaharui, agar senantiasa segar di mata rakyat. Mereka benar-benar mengikut cara zaman Hitler, dengan senantiasa menyegarkan cerita tidak betul agar supaya rakyat menerimanya sebagai cerita betul.

Tindakan kerajaan menutup berbagai portal, tidak menghalang mereka ini membuka portal-portal baru, akaun-akaun facebook baru, untuk memviralkan dakwaan-dakwaan mereka. Nampaknya, politik negara ini akan terus diwarni isu dan persepsi. 
Walaupun apapun keadaan masa kini, PRU-14 masih berbaki 2 Tahun, mungkin para pemimpin UBN akan menemukan jalan atau cara JITU menaturalisasikan keadaan.

No comments:

Blog Archive