Latest News

Kini Jelas Sudah- W2020 Tidak Bakal Tercapai

PADA tahun 1991, Wawasan 2020 (W2020) telah diperkenalkan dengan objektif untuk menjadi negara maju menjelang tahun 2020 dengan acuan sendiri.

W2020 menggariskan hala tuju untuk mencapai status negara maju dengan mensasarkan pertumbuhan ekonomi pada kadar 7 peratus setahun sehingga tahun 2020.

Kunci kepada pencapaian negara maju ialah dengan mengatasi sembilan cabaran strategik, iaitu:

Pertama Mewujudkan negara Malaysia bersatu yang mempunyai matlamat yang serupa dan dikongsi bersama. Ia mesti menjadi negara yang aman, berintegrasi di peringkat wilayah dan kaum, hidup dalam harmoni, berkerjasama sepenuhnya, secara adil dan didokong oleh satu bangsa Malaysia yang mempunyai kesetiaan politik dan dedikasi kepada negara;

Kedua Mewujudkan masyarakat yang berjiwa bebas, tenteram dan maju dengan keyakinan terhadap diri sendiri, bangga dengan apa yang dicapai serta gagah menghadapi pelbagai masalah. Masyarakat Malaysia ini mesti dapat dikenali melalui usaha mencapai kecemerlangan, sedar semua kemampuannya, tidak mengalah kepada sesiapa, dan dihormati oleh rakyat negara lain;

Ketiga Mewujud dan membangunkan masyarakat demokratik yang matang, mengamalkan satu bentuk persefahaman yang matang, demokrasi Malaysia berasaskan masyarakat yang boleh menjadi contoh kepada banyak negara membangun;

Keempat Mewujudkan masyarakat yang sepenuhnya bermoral dan beretika, yang mana warganegaranya kukuh dalam nilai agama, dan kejiwaan dan didorong oleh tahap etika paling tinggi;

Kelima Mewujudkan masyarakat liberal dan bertolak ansur, rakyat pelbagai kaum bebas mengamalkan adat, kebudayaan dan kepercayaan agama masing-masing dan pada masa yang sama, meletakkan kesetiaan mereka kepada satu negara;

Keenam Mewujudkan masyarakat saintifik dan progresif, mempunyai daya perubahan tinggi dan memandang ke depan, yang bukan sahaja menjadi pengguna teknologi tetapi juga menyumbang kepada tamadun saintifik dan teknologi masa depan;

Ketujuh Mewujudkan masyarakat penyayang dan budaya menyayangi, iaitu sistem sosial yang mana kepentingan masyarakat lebih utama daripada diri sendiri dan kebajikan insan tidak berkisar kepada negara atau individu tetapi di sekeliling sistem kekeluargaan yang kukuh;

Kelapan pengagihan kekayaan negara secara adil dan saksama di mana wujud perkongsian sepenuhnya bagi setiap rakyat dalam perkembangan ekonomi. Masyarakat sedemikian tidak akan wujud jika masih ada pengenalan kaum berdasarkan fungsi ekonomi, dan kesemua kemunduran ekonomi berdasarkan kaum; dan

Kesembilan Mewujudkan masyarakat makmur yang mempunyai ekonomi bersaing, dinamik, giat dan kental.

Pelaksanan Wawasan 2020 terbahagi kepada tiga fasa utama. Dasar dan strategi bagi fasa pertama Wawasan 2020 digariskan di dalam Rangka Rancangan Jangka Panjang Kedua, 1991-2000 (RRJP2) iaitu Dasar Pembangunan Nasional (DPN).DPN mengandungi beberapa perubahan dasar yang memberi dimensi baru kepada usaha pembangunan dalam menghasilkan pembangunan yang lebih seimbang di samping mengekalkan prinsip asas Dasar Ekonomi Baru (DEB).

Di bawah DPN, strategi pembasmian kemiskinan memberi tumpuan khusus kepada penghapusan kemiskinan tegar di samping pengurangan kemiskinan umum. Bagi meningkatkan penyertaan Bumiputra yang lebih bermakna di dalam sektor moden ekonomi, penekanan diberi kepada pembangunan komuniti Perdagangan dan Industri Bumiputera. Harapan yang lebih besar diletakkan pada penglibatan sektor swasta dalam proses penstrukturan penyertaan Bumiputera. Pembangunan sumber manusia yang juga merangkumi nilai moral dan etika untuk mencapai objektif pertumbuhan ekonomi dan pengagihan pendapatan turut diberi penekanan.

Dalam tempoh pelaksanaan DPN, negara menghadapi Krisis Kewangan Asia yang melanda pada tahun 1997/1998. Majlis Tindakan Ekonomi Negara (NEAC) ditubuhkan pada Januari 1998 dan Pelan Pemulihan Ekonomi Negara yang komprehensif telah dilancarkan bagi menangani krisi kewangan tersebut. Antara langkah yang dilaksanakan ialah mengenakan kawalan pertukaran matawang terpilih, dan penubuhan institusi seperti Danaharta dan Danamodal. Dasar fiskal mengembang dan dasar kewangan akomodatif diperkenalkan bagi merangsang penggunaan, di samping mengekangkan tekanan inflasi.

Fasa Kedua Wawasan 2020 dilaksanakan di bawah Rangka Rancangan Jangka Panjang Ketiga (RRJP3) iaitu Dasar Wawasan Negara (DWN) yang merangkumi tempoh 2001-2010. DWN bertujuan untuk memperkukuhkan daya saing dan daya tahan serta mewujudkan masyarakat yang sasksama bagi memastikan kestabilan dan perpaduan negara. Dimensi baru yang diperkenalkan termasuk:

Membangunkan Malaysia sebagai masyarakat berasaskan pengetahuan

Menjana pertumbuhan berdasarkan sumber dan kekuatan tempatan

Menjadikan sector pertanian, pembuatan dan perrkhidmatan lebih dinamik

Membasmi kemiskinan dalam kalangan kelompok kecil miskin di kawasan bandar dan pedalaman serta meningkatkan kualiti hidup kumpulan berpendapatan 30 peratus terendah

Mencapai penyertaan Bumiputra yang berkesan serta pemilikan ekuiti sekurang-kurangnya 30 peratus menjelang 2010

Pelaksanaan fasa kedua Wawasan 2020 menghadapi cabaran berikutan momentum pertumbuhan ekonomi yang perlahan selepas Krisis Kewangan Asia 1997/98 ditambah lagi dengan Krisis Kewangan Dunia pada tahun 2008/09. Keadaan ini menyebabkan negara berada dalam perangkap pendapatan pertengahan dan mungkin tidak dapat mencapai objektif menjadi negara maju menjelang 2020.

Fasa ketiga Wawasan 2020 dilaksanakan di bawah Model Baru Ekonomi (MBE) yang dilancarkan pada tahun 2010 merangkumi tempoh masa 2011 hingga 2020. MBE akan menjadi pemangkin dalam menjana potensi pertumbuhan negara. Matlamat utama MBE ialah meningkatkan kualiti hidup rakyat dengan menekankan kepada tiga dimensi iaitu pendapatan yang tinggi, kemampanan dan keterangkuman yang menekankan golongan berpendapatan 40 peratus terendah. MBE merangkumi empat tonggak transformasi negara di bawah gagasan “1Malaysia Rakyat Didahulukan Pencapaian Diutamakan” iaituProgram Transformasi Kerajaan; Program Transformasi Ekonomi, Program Transformasi Politik dan Program Transformasi Luar Bandar. Pelaksanaan strategi MBE diperincikan di bawah Rancangan Malaysia Kesepuluh dan Rancangan Malaysia Kesebelas.

Namun, berasaskan perkembangan ekonomi dunia, khususnya kejatuhan harga minyak mentah, telah mengurangkan pendapatan negara yang berunsur dollar Amerika, meskipun kehilangan pendapatan itu diambil alih oleh pelaksanaan percukaian baru melalui Goods Services and Tax (GST). Namun pendapatan melalui GST tidak sama dengan pendapatan melalui mata wang dollar seperti mana di sumbangkan harga minyak, kerana pendapatan melalui GST hanya merupakan pendapatan dalam negeri, yang tidak menyumbangkan kepada bentuk fiskal.

Melihat kepada unjuran pertumbuhan ekonomi negara iaitu disandarkan kepada 7 peratus setahun bagi mendokong tercapainya W2020, telah terbantut, akibat krisis kewangan Tahun 1997, sehingga menyebabkan pertumbuhan ke paras negatif sehingga Tahun 2009, maka unjuran W2020 dengan sendirinya terbantut.

Dari sekian ramai pemimpin negara, hanya Datuk Dr Salleh Tun Said sahaja secara terus terang, bahawa W2020 tidak akan berjaya dicapai, seperti mana tulisan Menteri Komunikasi dan Multimedia itu melalui blog beliau www.sskeruak.blogspot.my pada 5 Februari. Menurut Salleh, W2020 tidak akan bakal dicapai, atas sebab itulah, mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohammad mencari kambing hitam, untuk dijadikan sebab mengapa W2020 gagal dicapai.

Pada mulanya selepas mantan Perdana Menteri itu menarik sokongan terhadap kepimpinan DS Najib Razak pada awal Tahun 2015, dengan mempergunakan isu 1MDB, kemudiannya GST serta BR1M, tidak ramai yang mengetahui, bahawa tujuan sebenar mantan PM itu adalah menjadikan Najib Razak sebagai kambing hitam.

Kini, telah jelas sudah, hanya kerana tulisan Salleh, ramai yang terbangun dan sedar, bahawa sebenarnya serangan bertali arus daripada Tun Dr Mahathir sambil mendesak DS Najib Razak meletakan jawatan, hakekatnya bahawa mantan PM itu mengelak dipertanggungjawabkan ke atas gagal terealisasinya W2020, mencontohi kegagalan Dasar Ekonomi Baru (DEB).

Sepertimana unjuran awal, bahawa untuk mencapai W2020, pertumbuhan negara perlu berada di paras 7 peratus setahun, namun hakekatnya, kadar itu tidak pernah dicapai lagi selepas krisis kewangan Tahun 1997.

2 Responses to "Kini Jelas Sudah- W2020 Tidak Bakal Tercapai"

Anonymous said...

Rakyat x peduli pun fasal wawasan 2020 kerana ia x people friendly. Sebaliknya ia kroni friendly berdasarkan pencetus idea ini.

MOHD SHAHRUDDIN said...

Saya yakin malaysia bakal menjadi negara maju 2020

Blog Archive