Sunday, January 31, 2016

Apa Yang Dilihat Pada Pilihanraya Negeri Sarawak?

APA yang bakal dilihat pada Pilihanraya ke-11 Sarawak? Kalau daripada segi Barisan Nasional, sudah tentunya satu kemenangan mutlak atau satu kemenangan kuasa 2/3 bersama dengan undi popular. Bagi Pembangkang pula, mereka memang tiada keupayaan untuk menang, akan tetapi apa yang mereka mahu lihat, trend pengundian di samping memastikan pengundi bandar terus berpihak kepada mereka. 

Diatas kertas Pembangkang tidak mempunyai kekuatan di peringkat Dun, walaupun pada PRN-10, mereka mendapat 15 kerusi DUN dimana 12 daripadanya disumbangkan oleh parti DAP, kerana tsunami kaum cina. Ekoran tsunami kaum cina itu, maka berimpak kepada PRU-13, dimana pembangkang di Sarawak berjaya mendapat 7 Kerusi Parlimen, khususnya di kawasan bandar yang bermajoriti pengundi kaum cina.

Pilihanraya Sarawak, sebenarnya hanya melihat ke arah mana pengundi kaum cina, kerana kaum bumiputera biasanya masih berdiri teguh dibelakang parti-parti seperti PBB dan PRS. Manakala parti bumiputera lain seperti SPDP, kalau berlaku kekalahan calon-calon daripada parti itu, bukan kerana pengaruh pembangkang, akan tetapi lebih kepada persengketaan antara pemimpin.

PRN Sarawak yang bakal berlangsung pada April, akan menyaksikan 82 ADUN dipertandingkan. Pengerusi Bn Negeri Tan Sri Adenan Satem telahpun mengumumkan, daripada 82 kerusi itu, parti PBB dimana beliau merupakan Presiden akan bertanding 40, sementara komponen Bn lain akan bertanding baki 42 kerusi. Bn Sarawak hanya memerlukan 43 ADUN bagi membentuk Kerajaan dengan majoriti mudah, manakala kuasa 2/3 memerlukan 55 kerusi.

Nampak gayanya, berasaskan kepopularan Adenan Satem, kerusi-kerusi bagi kawasan Bumiputera, akan ditawan sepenuhnya oleh Bn, termasuk kawasan Baro Bian. Melalui PRN itu, hanya akan dilihat apakah penerimaan para pengundi kaum cina. Jika ada kawasan-kawasan yang dimenangi DAP boleh ditawan semula, maka harapaan Bn untuk menang bagi kawasan Parlimen pada PRU-14 akan datang amat cerah.

Penambahan kerusi Bn bagi Sarawak amat penting, bagi mengimbangi, bakal hilangnya beberapa kerusi di Semenananjung khususnya di Negeri Kedah, sehubungan berlakunya krisis kepimpinan di Negeri Jelapang Padi tersebut. 

Sarawak yang mempunyai 31 kawasan Parlimen, pada PRU-13 lalu 24 dimenangi Bn, manakala 7 dimenangi pembangkang. 

Senario lain, adalah jika pada PRN Sarawak kawasan-kawasan bumiputera ada yang berjaya ditawan pembangkang. Jika ini berlaku, maka keadaan cukup rentan bagi Bn secara keseluruhan, kerana trend itu akan merebak ke Sabah. Di Sabah, kawasan yang bakal mengikuti trend itu, selain kawasan Bandar seperti Kota Kinabalu, Sandakan, Penampang, Tawau, Tuaran, Sepanggar, Kota Marudu, Keninagau, Pensiangan dan Beluran.

Sesuatu yang amat sukar diramal jika rakyat mahu mengubah kerajaan. Ambil contoh Tahun 1976, 1985 di Sabah. Keadaan tenang-tenang, sebenarnya sangat berbahaya. Kalau berlaku perubahan itu, sebenarnya, bukan kerana kepimpinan Negeri, akan tetapi lebih menjurus kepada kepimpinan Pusat, kerana isu wang RM2.6bilion, isu 1MDB serta sara hidup yang meningkat, selain kurangnya peluang-peluang pekerjaan baru bagi generasi muda, khususnya lepasan pendidikan tinggi. Demikian juga, jika berlaku di PRN Sarawak, kalau ada kawasan-kawasan bumiputera bakal ditawan pembangkang, ianya bukan kerana kepimpinan negeri, akan tetapi kerana kepimpinan pusat. Atas sebab itu, keputusan PRN Sarawak amat mustahak untuk diikuti, kerana ianya bakal menentukan Kerajaan Pusat akan datang. Sama-sama kita tunggu.

1 comment:

Anonymous said...

Inilah masa untuk pembangkang secara habis habisan. Serang najib..dedahkan isu imdb...2.6billion.. peguam ghani patail..tsmy dipecat. Src...altantulya...rosma..wsj...mh370.
Jika tiada bukti sah dan pendedahan telus...najib lah rasuah. Pembohong....

Blog Archive