Friday, October 03, 2014

Umno Lambat Berubah: Nur Jazlan

MUNGKIN ramai majoriti ahli Umno tidak menyedari pada 18 September 2014, pemimpin nombor 2 parti, Tan Sri Muhyiddin Yassin memberikan satu isyarat cukup berbeza disulami nada kebimbangan ketika merasmikan Mesyuarat Umno Bahagian Putrajaya dengan melahirkan rasa bimbang terhadap undi popular Umno dan Barisan Nasional (BN) akan terus merosot pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 nanti.

Ketika ramai pemimpin Umno sebelum ini, yang lantang dan bangga dengan pencapaian parti pada PRU13 selepas memenangi 88 kerusi Parlimen, Muhyiddin nyata sedar angka berkenaan bukanlah sesuatu yang boleh dibangga dan mampu dipertahankan apabila parti Dacing melangkah masuk ke gelanggang PRU14.

Dan beliau memilih pentas yang cukup signifikan untuk meluahkan kebimbangannya itu iaitu di Putrajaya, di mana ketua bahagiannya adalah Setiausaha Agung Umno Tengku Adnan Mansor yang berjaya menewaskan Naib Presiden PAS Datuk Husam Musa dalam PRU13 lalu. Sesuatu yang pelik juga mengapa ucapan Muhyiddin berkenaan tidak mendapat liputan meluas media arus perdana, sekurang-kurangnya mendapatkan reaksi daripada pemimpin Umno berhubung kenyataan beliau itu.

Putrajaya kini, sudah pasti diteropong dari tingkat 21 Bangunan SUK kerajaan Selangor di Shah Alam yang menempatkan menteri besar Selangor baharu yang juga Timbalan Presiden PKR Mohamed Azmin Ali dalam merencanakan 'Langkah Putrajaya' Pakatan Rakyat untuk PRU14. Bersediakah Umno dalam mempertahankan Putrajaya pada PRU14? Jika soalan itu ditanya kepada rakyat biasa, majoriti akan memberikan jawapannya "50-50" atau "tidak pasti".

Apa tidaknya, rakyat memerhatikan kemelut menteri besar Selangor yang berlaku dalam Pakatan Rakyat (PR) tetapi apa yang boleh Umno lakukan bagi mengembalikan keyakinan rakyat kepada parti di negeri itu. Ada yang menuduh saya tidak layak berjuang untuk parti kerana tidak yakin BN dan Umno mampu merampas kembali Selangor walaupun berlaku isu menteri besar.

Sekurang-kurangnya, saya bercakap benar kerana itulah perasaan yang ada di peringkat akar umbi...itulah yang sebenarnya berlaku, parti tidak mempunyai kemampuan untuk merampas Selangor walaupun berlaku pertelagahan dalam PR.

Dan saya tidak mahu menjadi seperti kebanyakan pemimpin Umno yang terus memberikan janji bulan bintang serta mimpi indah kepada ahli parti tatkala semua yang sedang berlaku di negara ini, tidak menyebelahi Umno malah menyalahkan parti sebagai penyebab ia berlaku.

Atas sebab itu jugalah, timbalan presiden Umno menghuraikan situasi Umno yang dihadapi pada waktu sekarang dengan menyatakan zaman senang Umno sudah berakhir, kekalahan teruk di Selangor dan hilangnya 18 kerusi di kubu kuat Umno di Johor pada PRU13 lalu, jelas menggusarkan bekas menteri besar Johor ini.

Saya tersenyum membaca kenyataan timbalan presiden Umno ini, kerana inilah yang selama ini saya cuba sampaikan kepada pucuk pimpinan parti sejak 2008 hingga menyaksikan saya menawarkan diri untuk bertanding jawatan timbalan presiden Umno, jawatan yang akhirnya dimenangi Muhyiddin sendiri.

Walaupun ditertawakan sehingga ada yang menggelakan saya 'joker' kerana menawarkan diri dalam pemilihan timbalan presiden Umno, niat dan tujuan pada ketika itu, hanyalah bertujuan menyedarkan Umno terutama sekali pemimpinnya langit Umno tidak lagi cerah seperti sebelum ini.

Sebab itu juga, saya dalam Mesyuarat Perhubungan Umno Johor sebaik selepas PRU12 bersama Tun Abdullah Ahmad Badawi , memberanikan diri untuk meluahkan perasaan supaya Pak Lah meletakkan jawatan berikutan keputusan buruk dalam PRU berkenaan.

Walaupun sebenarnya ketika itu, ramai di kalangan ketua Umno Bahagian Johor yang turut berkongsi pandangan dan perasaaan sama tetapi tidak berani menyatakannya secara berdepan kepada Pak Lah.

Pada masa sama, saya menekankan betapa peremajaan Umno perlu digerakkan dengan segera, dan peremajaan Umno itu juga bermaksud peremajaan kerajaan kerana Umno adalah cermin kerajaan BN.

Namun 6 tahun sudah berlalu, Umno langsung tidak berubah dan cengkaman terhadap pengundi kawasan bandar dan separa bandar semakin longgar termasuklah di kalangan orang Melayu sendiri.

Luahan Muhyiddin dalam ucapannya mengenai penurunan undi popular kepada BN dalam PRU13 kepada 48% berbanding 52% yang diterima pembangkang sebenarnya, adalah 'wake up call' kepada parti.

Jika sebelum ini, pemimpin Umno memperlekehkan kenyataan pembangkang mengenai undi popular dan menyatakan Malaysia mengamalkan undi majoriti, tetapi selepas lebih setahun PRU13 berlalu, Muhyiddin nampaknya tidak mampu lagi berselindung betapa Umno berada dalam kritikal berdasarkan undi popular pada PRU13.

Itulah yang selama ini saya rasakan selepas tiga penggal menjadi ketua Umno Bahagian Pulai dan ahli Parlimen Pulai tetapi perasaan itu, sebenarnya tidak dikongsi majoriti pemimpin Umno yang terus tidak mahu memahami apa sebenarnya yang dimahukan pengundi Melayu di kawasan bandar dan separa bandar.

Sudah banyak kali saya jelaskan pengundi di dua kawasan ini, bukan mahu lagi 'gula-gula' pembangunan, strategi yang terus digunakan Umno sebaliknya, mereka menuntut perubahan yang lebih luas.

Mereka ini, lebih kritikal terhadap kerajaan terutama sekali dalam pengurusan kewangan dan pentadbiran serta tidak mahu kerajaan berterusan 'memperbodohkan' mereka dengan memberikan pelbagai pentunjuk kehidupan serta ekonomi negara ini, bertambah baik sedangkan, keadaannya jauh amat berbeza di peringkat akar umbi.

Sebab itu, saya turut cuba memberikan dimensi yang berbeza apabila dipilih sebagai pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) Parlimen Malaysia, terima kasih kepada Datuk Seri Najib Razak kerana memberikan kepercayaan kepada saya untuk jawatan berkenaan.

Melalui PAC, saya cuba membetulkan persepsi segala apa yang dilakukan kerajaan terutama sekali dalam menguruskan perbelanjaannya dipenuhi dengan unsur penyalahgunaan kuasa, korup serta rasuah.

Namun terus terang saya perlu akui, cara saya mengendalikan PAC tidak berapa disenangi segelintir pemimpin Umno kerana dilihat 'menyanyikan' lagu sama seperti pembangkang sedangkan hakikatnya, ia sesuatu yang dituntut rakyat atas nama ketelusan dan keterbukaan.

Bagi saya, PAC adalah medium terbaik untuk kerajaan mempertahankan diri daripada segala dakyah serta fitnah pembangkang yang terus melemparkan segala bentuk fitnah terhadap kerajaan walaupun, apa yang berlaku adalah sebaliknya.

Sebanyak 35 menteri Kabinet yang dipilih sudah pasti mereka yang terbaik daripada 133 ahli Parlimen BN dan jika mereka tidak berani untuk berhadapan dengan PAC bagi memberikan jawapan terhadap segala persoalan mengenai kementerian masing-masing, tidak ada gunanya menjadi seorang menteri Kabinet.

Justeru saya memuji tindakan Muhyiddin selaku menteri pendidikan kerana memberikan kebenaran kepada Datuk Seri Idris Jusoh sebagai menteri pendidikan II, hadir ke PAC bagi menjawab persoalan mengenai dua isu Kementerian Pendidikan iaitu Perkhidmatan Kawalan Keselamatan di Sekolah serta pembinaan kapal penyelidikan Universiti Malaysia Terengganu, RV Discovery.

Perubahan seperti inilah yang dituntut rakyat bukan perubahan sekadar 'air liur' atau bersifat kosmetik semata-mata sekadar untuk mengaburi mata rakyat sehingga akan mengakibatkan rakyat hilang rasa percaya kepada kerajaan dan parti.

Apabila pimpinan kerajaan BN yang ditunjangi pemimpin Umno mempunyai 'political will' untuk berubah barulah Umno juga akan turut berubah dan perubahan perlu dilakukan dengan pantas sebelum memasuki separuh penggal mandat pemerintahan PRU13.

Ketika ini, ramai termasuk saya sendiri merasakan perubahan dalam Umno berlaku dengan begitu perlahan sehingga menyebabkan rakyat muak dengan cara Umno mendekati mereka dan ia jelas ditunjukkan dan diluahkan dalam media sosial serta portal berita.

Muhyiddin sudah membuka pekung di dada dengan menggariskan sebab musabab rakyat tidak lagi mahu mendekati Umno dan kini, terpulanglah kepada parti ini sendiri sama ada mahu berdepan dengan segala sebab-sebab ini, atau terus mahu dibuai kenangan indah di masa lampau. Kemenangan Yang Berhormat Mat Razi Mat Ail dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Pengkalan Kubor, Khamis lalu, tidak boleh dijadikan kayu pengukur rakyat sudah balik semula menyokong Umno.

Kemenangan itu boleh dijadikan sebagai panduan tetapi bukan sebab untuk terus berbulan madu memandangkan apabila PRU14 semakin hampir, pembangkang akan merapatkan kembali saf perjuangan mereka serta bersatu bagi menyingkirkan Umno daripada terus berkuasa.

Ketika itu, pakatan pembangkang akan terus menayangkan 'filem-filem' Umno dan BN yang yang memberikan persepsi kepada rakyat mengenai salah guna kuasa, rasuah serta korupsi dan pembaziran yang sebahagian besar rakyat akan mempercayainya.

Oleh itu, percayalah ahli Umno segala landasan perjuangan PAS, DAP dan PKR sama ada negara Isam (Pas), negara sekular (DAP dan PKR) akan disatukan semata-mata untuk menyingkirkan Umno dalam PRU 14 dan sedarlah Umno harus berubah mulai daripada sekarang, seperti kata timbalan perdana menteri: "Saya cuma mengingatkan ini adalah masa yang sukar. Hendak terus kekal relevan, kita mesti memahami pembaharuan dan bertindak berdasarkan keadaan semasa.”

Harapnya, ada kesedaran dalam Umno selepas ini, hasil luahan Muhyiddin itu, harap tidak menjadi seperti 'mencurahkan air di daun keladi'. – 28 September, 2014.

3 comments:

Anonymous said...

Jangan pandai cakap saja Nur Jazlan. Kamu pemimpin UMNO. Kalau UMNO lambat berubah, sepatutnya mengaku, dan menanggung kesalahan. Jangan tuding pada orang lain saja. Bukan pandai mana pun...

Anonymous said...

betul la apa komen NurJazlan tu... cuma pemimpin2 UMNO je yg masih tak sedar diri...yg pengampu terus terusan mengipas bos... tapi rakyat jua yg akan menentukan nasib pemimpin...

Anonymous said...

umno has given too much ammo to the oppo dgn perangai huduh dia org.
skrng dah tak tertepis. tp pemimpin2 umno celaka tu bkn nak menepis tapi beri peluru tambahan lg kpd oppo utk tembak org islam/melayu. kalu umno terlingkup pru 14 mmng padan tp org islam/melayu yg menanggung segala kepayahan berada dibawah dap/pkr nnt. pemimpin2 celaka umno semua dah kaya raya, apa dia org peduli. kamu tu nur jazlan tak mcm pemimpin umno lain ke? pengampu najib juga!

Blog Archive